PETALING JAYA: Dalam suasana rakyat Malaysia menyambut ketibaan tahun
baru dengan semangat kesetiakawanan dan perpaduan pelbagai kaum,
Umno-Barisan Nasional (BN) terus dengan sifat angkuh mereka dan
beranggapan rakyat mudah diperbodohkan.
Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail berkata, keterdesakan
Umno-BN di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak
semakin terserlah dan jelas tidak boleh diselindung lagi.
“Perkiraan Najib untuk membubarkan Parlimen dan mengadakan pilihan
raya umum dalam tempoh terdekat ini bakal mengundang padah yang besar
bagi dirinya dan isteri beliau Rosmah Mansor serta pada keseluruhan
parti usang Umno-BN.
“Umum mengetahui bahawa strategi serangan terhadap Anwar Ibrahim
adalah usaha terus-terusan Umno-BN dan menghumban Anwar ke dalam
penjara dianggap bakal memberi sedikit nyawa untuk mereka terus wujud
dan merompak harta rakyat dan negara,” tegas beliau dalam satu
kenyataan media hari ini.
RPK tabur fitnah lagi
Menurut Saifuddin, terbaru sekali adalah kepolokkan Utusan Malaysia
dan Berita Harian, media pembohong milik Umno yang cukup pantas memetik
dan memperbesar kenyataan Raja Petra Kamaruddin (RPK) tentang fitnah
dan tohmahan kes salah laku seks terhadap Anwar di muka hadapan akhbar
masing-masing.
“Umum tidak harus lupa bahawa RPK yang kini semakin diketahui sebagai
‘blogger upahan Umno’ juga pernah membuat kenyataan bersumpah bahawa
Najib dan Rosmah terlibat dalam pembunuhan kejam model Mongolia
Altantuya Shariibuu tidak lama dahulu yang walaubagaimanapun,
sememangnya dan tentunya tidak dilapor langsung oleh akhbar-akhbar ini,”
katanya.
Fitnah pertuduhan liwat yang selama ini menjadi ancaman kepada Najib
dan Rosmah bakal diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur tanggal 9
Januari 2012 ini.
Ujar Saifuddin yang juga ahli parlimen Machang, “terdesaknya Umno
adalah apabila belum apa-apa, hasrat rakyat kebanyakan untuk keluar
memberi sokongan kepada Anwar terus dianggap sebagai cubaan mencetuskan
huru-hara.
“Harus ditekankan bahawa Anwar merupakan Ketua Pembangkang Parlimen
Malaysia, Ahli Parlimen Permatang Pauh dan Ketua Umum PKR,” tegasnya.
Sebagai seorang pemimpin politik katanya, tentunya Anwar mempunyai
pengikut dan penyokongnya. Kehadiran pengikut dan penyokong Anwar dan
anggota-anggota PKR dan Pakatan Rakyat bagi menunjukkan sokongan
terhadap beliau tidak harus dianggap sebagai cubaan menghuru-harakan
negara.
Umno cetus provokasi
Tegas beliau, “dari nada pimpinan Umno dan media milik Umno berhubung
perkara ini kebelakangan ini serta dari pengalaman lampau, saya dapat
menjangka bahawa Umno sendirilah yang akan mencetuskan provokasi pada
hari tersebut.
“Saya sekali lagi menyeru kalangan anggota dan penyokong PKR untuk
berhati-hati dan tidak terjebak dengan perangkap Umno-BN yang ingin
menjadikan 9 Januari ini suatu hari hitam dalam diari perjuangan kita,”
katanya.
Katanya lagi, nyata keterdesakan Umno-BN untuk terus mengekang dan
memadam kebangkitan rakyat telah menjangkau ke tahap kritikal. Umno-BN
kini umpama ‘telur di hujung tanduk’.
“Rakyat dan pengundi negara ini telah celik dan cukup sedar bahawa
Umno-BN telah gagal dalam melaksanakan tanggungjawab yang dimandatkan
untuk memimpin negara dan membela nasib mereka.
“Kesemua penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa pimpinan Umo-BN yang
telah dibongkar masih belum dapat dijawab oleh Najib dan kabinetnya,”
tambah beliau.FMT
Tiada ulasan:
Catat Ulasan