KUALA LUMPUR: Bekas pensyarah undang-undang Universiti Islam
Antarabangsa (UIA) Prof Dr Abdul Aziz Bari memfailkan saman terhadap
Anggota Parlimen Kulim-Bandar Baharu Datuk Zulkifli Noordin dan Utusan
Melayu (Malaysia) Berhad berhubung dakwaan menerbitkan kata-kata fitnah.
Dalam saman itu Abdul Aziz menamakan Zulkifili, yang juga seorang
peguambela dan peguamcara, Ketua Pengarang kumpulan akhbar Utusan
Malaysia dan juga akhbar Mingguan Malaysia Datuk Abdul Aziz Ishak dan
Utusan Melayu sebagai defendan.
Beliau memfailkan saman itu melalui Tetuan Mohamed Hanipa &
Associates pada 22 Dis tahun lepas. Media memperoleh salinan pernyataan
tuntutan itu hari ini.
Peguam Azhana Mohd Khairudin, yang mewakili Abdul Aziz, memberitahu
pemberita bahawa Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Norhatini Abdul
Hamid menetapkan 10 Feb ini untuk pengurusan kes itu semasa menemui
pihak-pihak yang terlibat dalam kamarnya ketika kes itu disebut di
hadapannya.
Dalam pernyataan tuntutannya, Abdul Aziz mendakwa Zulkifli pada 17
Okt tahun lepas telah mengeluarkan kata-kata fitnah mengenainya yang
kemudiannya diterbitkan di akhbar Utusan Malaysia sehari selepas itu
dalam satu artikel bertajuk “Zulkifli Noordin sahut cabaran Aziz Bari”.
Abdul Aziz mendakwa kata-kata fitnah itu adalah secara langsung
merujuk kepadanya kerana nama dan jawatannya telah disebut secara
spesifik dalam artikel itu.
Beliau berkata kata-kata fitnah itu di dalam makna asal dan biasa
bermaksud beliau antara lain adalah seorang individu dan profesor
undang-undang yang kurang ajar dan biadab serta tidak layak menjadi
pensyarah undang-undang.
Abdul Aziz menuntut ganti rugi am, teladan, melampau, kos dan satu
perintah supaya defendan-defendan meminta maaf dan menarik balik tuduhan
fitnah itu.
- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan