Selasa, 7 Jun 2011

Senarai Penuh AJK Kerja [ Termasuk Yang Dilantik ] Dewan Pemuda Pas Pusat sesi 2011/2013

KUALA LUMPUR, 7 Jun: Dewan Pemuda PAS Pusat (DPP) memenuhkan exconya dengan melantik ramai golongan profesional dalam kabinet yang dibentuknya.

Dewan itu melantik 20 ahli jawatankuasa (AJK) barunya sebagai tambahan kepada anggota yang telah dipilih di dalam Muktamar ke-52 dewan itu di Shah Alam baru-baru ini.

Majoriti yang dilantik untuk bersama kabinet baru itu adalah dari kalangan profesional dalam bidang masing-masing.

Mereka termasuklah dua orang bekas calon timbalan ketua yang tewas, Suhaizan Kaiat dan Firdaus Jaafar dan bekas calon Naib Ketua, Nasir Zakaria.

Ketiga-tiga mereka dilantik sebagai exco dewan itu.

Keputusan itu dibuat pada perbincangan hampir empat jam mesyuarat pertama kabinet baru dewan itu, pada 5 Jun lalu di Pejabat Dewan Pemuda PAS Malaysia, bangunan Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut Kuala Lumpur.

Untuk Jawatankuasa Dewan Harian Pemuda PAS pula, Khairul Faizi Ahmad Kamil kekal sebagai setiausaha dewan itu manakala jawatan bendahari diisi oleh Ir Hj Muhd Khairil Nizam Khairudin.

Ketua penerangan dewan itu pula diamanahkan kepada Ustaz Riduan bin Mohamad Nor manakala pengarah pilihan raya disandang Mohd Sany Hamzan.

Ketuanya, Nasrudin Hassan ketika diminta mengulas parlantikan AJK baru itu berpendapat dewan itu kini mempunyai kabinet berimbang setelah banyak pihak melihat keputusan pemilihan dewan itu dimenangi majoriti oleh kelompok ulama.

"Struktur organisasi DPP Malaysia sebagaimana biasa disusun dan dilengkapkan secara seimbang dan sepadu berasaskan kepelbagaian tahap upaya dan latar belakang disiplin penguasaan ilmu.

"Saya mengharapkan kabinet ini mampu menghadapi cabaran baru dalam iklim politik masa kini sekaligus menunaikan amanah anggota Dewan Pemuda PAS dengan penuh tanggungjawab dan dedikasi," ulasnya ketika dihubungi Harakahdaily.

Katanya, biarpun sukar untuk memuaskan hati semua pihak, namun beliau yakin kabinet baru itu mampu menggalas tanggungjawab untuk memimpin kebangkitan anak muda dan mendepani Pilihanraya Umum (PRU) ke 13.

Dalam pada itu beliau juga menyatakan kesediaan untuk ditegur bukan sahaja oleh pimpinan parti malah semua pihak termasuk dari luar PAS.

"Dalam masa terdekat, insyaallah DPP Malaysia akan mengadakan retreat untuk memantapkan roadmap pemuda, mengatur strategi terkini dan menyesuai potfolio serta memperkasakan organisasi DPP Malaysia.

"Sungguhpun keputusan ini mungkin tidak mampu memuaskan hati semua pihak, saya mengharapkan ia adalah skuad yang boleh membantu parti dengan lebih baik dan insyaallah, lebih dari hari semalam," tegasnya.

Berikut adalah senarai penuh Ahli Jawatan Kuasa Kerja Dewan Pemuda PAS Pusat:

Presiden Pas tidak mahu jawatan PM jikapun Pakatan menang

KUALA LUMPUR, 7 Jun – Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, beliau tidak mahukan jawatan Perdana Menteri jika Pakatan Rakyat berjaya dalam pilihan raya umum ke-13.

Hadi (gambar), yang juga Ahli Parlimen Marang berkata, perjuangan PAS adalah untuk menyelamatkan negara dan memperkenalkan dasar negara berkebajikan yang dibawa oleh pakatan pembangkang.

“Yang penting kita mahu selamatkan negara... sesiapapun boleh jadi Perdana Menteri,” katanya ketika ditemui pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat di Kota Baru hari ini.

Laporan Bernama Online memetik beliau mengulas kenyataan ahli Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Nazri Aziz bahawa perubahan kepemimpinan PAS yang kini dikuasai golongan profesional menunjukkan parti itu mahu berkuasa dalam pakatan pembangkang, termasuk Abdul Hadi yang berhasrat untuk menjadi Perdana Menteri.

Malahan Nazri menegaskan peluang Umno untuk meraih undi kaum Melayu pada pilihan raya umum akan datang lebih besar selepas PAS menukar dasar parti itu untuk tidak lagi mempertahankan perjuangan membina negara Islam, sebaliknya memperjuangkan ‘negara berkebajikan’ di mana Umno sudah pun melaksanakannya sejak merdeka.

Hadi juga menafikan Timbalan Presiden Mohamad Sabu sebagai liabiliti kepada parti setelah beliau dipilih oleh perwakilan dalam pemilihan pada Muktamar PAS minggu lalu.

“Bagi Umno, Mohamad Sabu adalah satu peluang untuk menjatuhkan PAS. Tetapi bagi PAS, Mohamad Sabu adalah satu senjata untuk menjatuhkan Umno,” katanya.

Hadi turut menafikan bahawa wujudnya anggota parti yang kecewa dengan perubahan dasar perjuangan parti itu setelah beliau mengumumkan belum tiba masanya PAS menegakkan negara Islam yang menjadi dasar perjuangan parti itu selama ini, sebaliknya mahu memulakan dulu pelaksanaan negara berkebajikan sejajar tuntutan pakatan pembangkang.

Malahan, katanya konsep negara berkebajikan itu mempunyai elemen yang lebih murni dalam menyelamatkan negara kerana PAS akan menerapkan konsep halal dan haram dalam pelaksanaannya.TMI

Najib dikecam guna program rasmi untuk urusan pribadi



KUALA LUMPUR, 7 Jun: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak didakwa menggunakan program pribadi untuk menguruskan perkahwinan anaknya dengan dicampuradukkan dengan program kerajaan semasa ke Kazakhstan sekarang.

Tindakan ini disifatkan AJK PAS Pusat, Dr Dzulkefli Ahmad sebagai langkah yang 'tidak ada kelas langsung'.

Kecaman ini dibuat ekoran tindakan Najib menggunakan segala kemudahan kerajaan dan wang rakyat untuk memenuhi keperluan keluarganya di Kazakhstan sekarang.
(Gambar atas: Laporan Harakahdaily semalam)

"Tindakan Najib ini tidak ada kelas langsung iaitu menggunakan wang kerajaan dan rakyat untuk urusan pribadi," kata Dr Dzulkefli kepada Harakahdaily.

"Ini pula bukan pertama kali. Semasa anaknya menerima ijazah di Universiti Georgetown, Washington, Amerika dia dan keluarga juga ke sana dengan program rasmi kerajaan.

"Saya bimbang ia menjadi rujukan pemimpin bawahan beliau sebagaimana bidalan Melayu, bapa kencing berdiri anak kencing berlari," kata beliau.

Semalam Harakahdaily melaporkan, Najib bersama isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor ke Kazakhstan untuk menguruskan perkahwinan anaknya, Noryana Najwa dengan seorang anak pembesar negara itu.

Untuk memenuhi hasrat itu, beliau dikatakan meminta program rasmi kerajaan diatur untuk beliau dan rombongan ke sana. Perkara ini dikesali oleh pelbagai pihak termasuk wartawan yang menyertai program beliau itu.

Hasilnya, kerajaan terpaksa menanggung segala perbelanjaan bukan sahaja untuk beliau berdua bahkan juga menteri, wartawan dan pegawai kerajaan yang terpaksa mengiringi beliau ke sana.

Dalam sejarah Islam, kata Dr Dzulkefly, Khalifah Umar Abdul Aziz pernah memadamkan lilin milik negara apabila ada yang datang bertemu beliau untuk berbincang hal pribadi.

"Mana pergi good governance, intergriti kepimpinan dan ini akan menghakis keyakinan rakyat kepada beliau dan bakal menjadi suri tauladan kepimpinan BN dan pegawai kerajaan di bawah beliau," katanya.

Sebelum ini, di Dewan Rakyat pernah dibangkitkan perbelanjaan besar yang dibuat oleh Rosmah dan kini ia berlaku lagi.

Dr Dzul yakin, jika perkara ini diodit oleh jabatan kerajaan tidak akan ditemui kesalahannya berdasarkan ianya mengikut prosedur biasa kerajaan iaitu mendapat kelulusan dari Perdana Menteri.

"Tetapi dari segi moralnya ia sangat salah," tegas Dr Dzulkefly (gambar kanan).

Bagi beliau, apa yang berlaku adalah Najib dan Rosmah mengatur program kerajaan ke Kazakhstan untuk memenuhi program pribadinya iaitu menguruskan perkahwinan anaknya.