KUALA LUMPUR, 27 Nov — Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng
menegaskan parti itu tidak pernah menjadi ancaman kepada kepentingan
orang Melayu, sebaliknya hanya Umno, yang merupakan komponen teras
Barisan Nasional (BN) mempamerkan sifat-sifat sedemikian.
Sehubungan itu kata Ketua Menteri Pulau Pinang ini, Umno bukan sahaja
menjadi ancaman kepada orang Melayu tetapi juga kepada rakyat Malaysia
dengan sikapnya yang menggunakan dan mempertahankan pelanggaran hak
asasi manusia, rasuah dan salah guna kuasa.
“Dengan menanam rasa takut serta menggunakan ugutan, Umno mengaburkan
mata rakyat daripada skandal-skandal kewangan dan rasuah yang telah
mengakibatkan kehilangan beratus-ratus bilion ringgit,” kata beliau
dalam satu kenyataan hari ini.
Lim (gambar)
berkata selama ini Umno telah menggunakan taktik kejam untuk menipu dan
menanam perasaan takut di kalangan orang Melayu, kononnya DAP menjadi
pengancam kepada hak dan kepentingan mereka.
“Ini langsung tidak berasas kerana perkhidmatan awam, polis dan
tentera semuanya dikawal Melayu. Manakala sektor-sektor kritikal dalam
ekonomi seperti insurans, perbankan, industri automobil, pelabuhan dan
lebuh raya semuanya juga dikawal oleh usahawan-usahawan atau
syarikat-syarikat Melayu,” katanya.
Dalam kenyataannya, Lim menambah, tindakan Timbalan Perdana Menteri
Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Timbalan Presiden Umno mempertahankan
agenda perkauman partinya dan bahawa beliau adalah Melayu dahulu dan
rakyat Malaysia kemudian merupakan bukti bahawa 1 Malaysia adalah slogan
kosong yang hanya bertujuan untuk mengaut undi dan akan dibuang selepas
pilihan raya umum ke-13.
“Yang lebih mengejutkan, Muhyiddin tidak merasa bahawa tindakannya
untuk memperjuangkan agenda perkauman Melayu adalah bercanggah atau
tidak konsisten dengan agenda rakyat Malaysia bukan Melayu.
“Malah Muhyiddin menggunakan logik yang tidak masuk akal bahawa
pemimpin DAP seperti Lim Kit Siang dan saya merupakan Cina cauvinis
walaupun DAP telah berjuang untuk semua rakyat Malaysia dan keahlian
parti kita terbuka kepada semua termasuk Melayu, India, Iban dan
Kadazan.
“Muhyiddin dengan mudah juga telah lupa bahawa saya telah
dipenjarakan dan kehilangan kerusi Parlimen kerana memperjuangkan nasib
seorang gadis Melayu bawah umur yang menjadi mangsa rogol,” katanya
lagi.
Semalam, Muhyiddin merasmikan Seminar Kebangsaan Pemahaman Wasatiyyah
dan 1Malaysia dengan berkata pendekatan wasatiyyah atau kesederhanaan
bersesuaian dengan komposisi masyarakat majmuk di negara ini demi
mengekalkan keamanan dan keharmonian yang dikecapi.
Muhyiddin berkata sikap fanatik dan taksub akan menyebabkan seseorang
itu menutup fikiran mereka daripada menerima sebarang maklumat daripada
pihak yang tidak mereka senangi.
Beliau berkata gagasan 1 Malaysia yang membawa nilai-nilai aspirasi
seperti budaya berprestasi tinggi, ketepatan, budaya ilmu, integriti,
ketabahan, kesetiaan, kebijaksanaan dan budaya inovasi turut diterap dan
dibudayakan dengan konsep kesederhanaan.
Muhyiddin berkata matlamat akhir pendekatan wasatiyyah masih tidak
lari daripada usaha mempertingkatkan kualiti hidup ummah, sama ada
daripada segi penguasaan ilmu pengetahuan, pembangunan insan, sistem
ekonomi dan kewangan, perpaduan, pertahanan, kenegaraan dan sebagainya.
Dalam kertas kerjanya pada seminar itu, Pengerusi Yayasan 1Malaysia
Dr Chandra Muzaffar pula berkata konsep Malaysian Malaysia bertentangan
dengan konsep wasatiyyah kerana ia berat sebelah dan idea dangkal ini
meminggirkan hakikat sejarah serta latar belakang politik di negara ini.TMI
Tiada ulasan:
Catat Ulasan