KUALA LUMPUR, 30 Nov — Dewan Pemuda PAS pusat menyifatkan gesaan Tan
Sri Muhyddin Yassin agar ahli-ahli Umno berjihad mempertahankan
kedudukan parti teras Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum
ke-13 sebagai “ melucukan.”
Semalam, dalam ucapan merasmikan tiga sayap Umno Muhyiddin mahu ahli
parti itu berjihad mempertahankan kedudukannya dalam pilihan raya umum
ke-13 yang disifatkan sebagai “ibu kepada segala pilihan raya”.
Pengarah Pilihan Raya Pemuda PAS, Mohd Sany Hazan berkata, cabaran
Timbalan Perdana Menteri kepada para Puteri, Pemuda dan Wanita Umno
untuk menjadi mujahid dan mujahidah yang akan berjihad untuk
mempertahankan bangsa Melayu dalam pilihan raya umum yang akan datang
adalah sebuah lelucon yang amat menggelikan hati.
“Umno sebagai sebuah parti sekular yang memisahkan agama di dalam
agenda perjuangan politik mereka sanggup menggunakan istilah-istilah
Islamik supaya nampak agenda Islam mereka tetapi, sebaliknya bersifat
munafik semata-mata.
“Sepatutnya jihad yang utama adalah menegakkan hukum syariat Allah di
atas muka bumi ini dan bukannya berjihad di atas nama bangsa,” katanya
dalam satu kenyataan hari ini.
Sany menambah, Jabatan Pilihan Raya Dewan Pemuda PAS merasa cukup
sedih dan kecewa di atas ucapan Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden
Umni sama sekali tidak menunjukkan beliau selaku orang-orang negara yang
mempunyai daya fikir intelek yang tinggi dan budi bahasa yang baik.
“Semasa merasmikan serentak persidangan tahunan Puteri, Pemuda dan
Wanita Umno, beliau meneruskan perseteruan terhadap Pakatan Rakyat dan
PAS secara khususnya dengan alasan yang berbentuk fitnah dan dangkal,”
katanya lagi.
Sany menambah Jabatan Pilihan Raya Dewan Pemuda PAS ingin
mengingatkan Umno bahawa keangkuhan mereka sebagai parti yang tiada
galang ganti untuk meneruskan agenda perjuangan bangsa Melayu sudah
lapuk ditelan zaman kerana PAS sudah bersedia untuk memimpin bangsa
Melayu ke arah suasana politik yang lebih kondusif, bahkan lebih lagi
PAS menawarkan perjuangan bangsa Melayu menurut ajaran Islam yang
syumul.
Katanya, PAS akan menggantikan Umno untuk membela nasib bangsa Melayu yang selama ini menjadi mangsa ‘belasahan’ Umno.
“Jadi, Umno sememangnya berada di dalam keadaan cukup terdesak kerana
PAS dan Pakatan Rakyat semakin mendapat tempat di hati rakyat untuk
memerintah negara ini.
“Jabatan Pilihan Raya Dewan Pemuda PAS Malaysia turut mengingatkan
kepada seluruh jentera pemuda di semua peringkat supaya meningkatkan
kewaspadaan dan kebersediaan untuk menghadapi pilihanraya yang
mendatang,” kata beliau sambil menambah kenyataan Datuk Seri Najib Razak
bahawa pilihan raya ke-13 akan datang ini akan menjadi sesuatu yang
‘luar biasa’ menunjukkan Umno dan BN akan melakukan strategi yang ‘kotor
dan hina’ untuk memastikan kemenangan berada di pihak mereka.
“Jabatan Pilihan Raya Dewan Pemuda PAS Malaysia melihat Umno kini
semakin gawat dan tidak keruan, tidak mustahil sepanjang Perhimpunan
Agung Umno ini akan menjadi perhimpunan yang akan dipenuhi dengan segala
macam kenyataan-kenyataan yang bersifat hasutan, ancaman, tuduhan,
prejudis, rasis dan sebagainya.
“Oleh itu, Jabatan Pilihan Raya Dewan Pemuda PAS Malaysia meminta
supaya rakyat Malaysia yang cintakan keamanan dan keadilan menolak
secara total parti Umno dan Barisan Nasional kerana pembawaan politik
sempit mereka sudah tidak diterima lagi oleh rakyat,” katanya lagi.TMI
Tiada ulasan:
Catat Ulasan