KUALA LUMPUR, 26 Okt ― Pendedahan kelemahan dan pengurusan
pentadbiran kerajaan Barisan Nasional (BN), oleh Laporan Ketua Audit
Negara 2010 kelmarin, adalah satu perkembangan mengaibkan negara, kata
Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Sungguhpun (Perdana Menteri Datuk Seri Najib (Razak) mengumumkan
pelbagai janji untuk menangani kepincangan kelemahan dan ketirisan,
namun ternyata janji-janji tersebut masih belum terpenuhi,” kata Anwar (gambar).
Laporan Ketua Audit Negara 2010 mendedahkan dan menjadi bukti
kegagalan dasar transformasi yang dirangka Perdana Menteri, kata beliau
dalam satu kenyataan.
Anwar berkata Pakatan Rakyat tuntas menyatakan segala perubahan dan
setiap reformasi sistem yang menyeluruh memerlukan iltizam politik yang
jitu serta ikhlas demi manfaat rakyat Malaysia.
Justeru, Ketua Umum Pakatan Rakyat ini menambah, tanpa iltizam serta
kegigihan dan tiadanya penyertaan rakyat untuk bersama-sama membangunkan
negara ini, segala kebijakan mahupun dasar yang dirangka pastinya
menemui kegagalan.
Laporan Ketua Audit Negara meneruskan tradisi dengan mengetengahkan
pelbagai kelemahan ― lebihan perbelanjaan, projek gagal dilaksanakan,
pengurniaan projek tanpa melalui tender dan ketiadaan penyenggaraan
sewajarnya termasuk ke atas Stadium Nasional dan Stadium Putra di Bukit
Jalil.
Anwar, bekas menteri kewangan berkata, Laporan Ketua Audit Negara
2010 yang gagal dikemukakan dalam Dewan Rakyat bersekali dengan Laporan
Ekonomi dan dokumentasi belanjawan negara sejajar dengan amalan Parlimen
Malaysia sekian lama, akhirnya diedarkan sebagai Kertas Perintah 40
Tahun 2011 kepada Ahli-Ahli Dewan Rakyat kelmarin.
Pengedarannya lewat 17 hari dari tarikh pembentangan Bajet 2012 pada 7 Oktober lalu.
Anwar juga berkata kegagalan pengedarannya dibangkitkan berulang kali
oleh ahli-ahli Parlimen Pakatan Rakyat meskipun sebenarnya Laporan
Ketua Audit Negara Mengenai Aktiviti Kementerian/Jabatan Dan Pengurusan
Syarikat Kerajaan Persekutuan telah siap ditandatangani oleh Ketua Audit
Negara pada 8 Julai dan Laporan Ketua Audit Negara Mengenai Pengurusan
Kewangan Dan Aktiviti Serta Pengurusan Syarikat Subsidiari Badan
Berkanun Persekutuan ditandatangani pada 16 Jun.
“Sewajarnya tidak timbul masalah lewat mengedarkan laporan tersebut
kecuali lah ada muslihat untuk menyembunyikan fakta sebenar dari
pengetahuan rakyat,” katanya.
Di sebalik kelewatan itu kata beliau, hasil penelitian prestasi
terhadap pelaksanaan aktiviti di bawah 32 kementerian dan
jabatan-jabatan persekutuan dan pengurusan tuju syarikat kerajaan,
Laporan Ketua Audit Negara mendedahkan bahawa dari segi pelaksanan
aktiviti dan projek yang dijalankan terdapat beberapa kelemahan yang
berpunca daripada penyeliaan yang kurang rapi, ketiadaan pemantauan yang
berkesan, kekurangan peruntukan kewangan dan kekurangan kakitangan
serta kepakaran. Laporan Ketua Audit Negara juga mendedahkan kelemahan,
kepincangan dan penyelewengan yang berlaku dalam 45 aktiviti dan projek.
“Mengaibkan adalah pendedahan terhadap kepincangan beberapa aktiviti
atau projek yang mensasarkan golongan berpendapatan rendah dan rakyat
termiskin,” katanya.
Menurut Anwar, antara projek dan aktiviti tersebut adalah:
― Kelemahan pengurusan Program Pembasmian Kemiskinan di bawah Unit
Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri dengan peruntukan
RM691.52 juta pada 2010 dan didapati mengalami kegagalan 54.4 peratus
daripada pencapaian objektifnya.
― Kelemahan pengurusan Skim Insentif Peningkatan Hasil Padi di bawah
Kementerian Pertanian yang mendedahkan kegagalan Kerajaan Persekutuan
membayar insentif berjumlah RM110.67 juta kepada 73,291 pesawah kerana
peruntukan tidak mencukupi. Insentif Peningkatan Hasil Padi (IPH) adalah
untuk memberi galakan kepada petani untuk meningkatkan hasil padi
semasa dan meningkatkan tahap sara diri.
― Kelemahan pengurusan penyenggaraan jalan persekutuan yang
diswastakan di Sarawak setelah sejumlah RM462.46 juta telah
dibelanjakan. Program penswastaan penyenggaraan jalan persekutuan di
negeri Sarawak dilaksanakan oleh tiga syarikat konsesi iaitu PPES Works
(Sarawak) Sdn Bhd, Endayan Construction Sdn Bhd dan HCW Engineering Sdn
Bhd.
Mengikut perjanjian penswastaan, jalan persekutuan yang perlu
disenggarakan setakat 14 Julai 2003 ialah sepanjang 1,326km dan telah
meningkat kepada 1,566km setakat 31 Disember 2009. Pengauditan yang
dijalankan antara bulan Ogos hingga Disember 2010 mendapati secara
umumnya keadaan jalan persekutuan adalah kurang memuaskan walaupun
sejumlah RM462.46 jua telah dibelanjakan untuk penyenggaraannya bagi
tempoh tahun 2005 hingga 2010.
― Kelemahan pengurusan projek di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Kedua
di pelbagai kementerian dan jabatan yang terdedah kepada pelbagai
bentuk penyelewengan perbelanjaan, bayaran dan peruntukan.
Laporan Ketua Audit Negara turut menyentuh Pakej Rangsangan Ekonomi
Kedua berjumlah RM60 bilion yang dilancarkan pada 10 Mac 2009 bertujuan
merangsangkan ekonomi negara dalam tempoh yang singkat.
Pakej Rangsangan Ekonomi Kedua telah dirancang untuk dilaksanakan
dalam tempoh dua tahun iaitu tahun 2009 dan 2010 dengan peruntukan
berjumlah RM15 bilion. Sehingga 31 Disember 2010, Kementerian Kewangan
telah mengagihkan RM13.23 bilion kepada 27 kementerian/jabatan/skim
untuk melaksanakan 51,560 projek.
Daripada jumlah yang diagih, hanya RM10.09 bilion (76.3 peratus)
telah dibelanjakan melibatkan 49,169 (95.4 peratus) projek. Pengauditan
yang dijalankan pada tahun 2010 terhadap sembilan program di enam
kementerian/jabatan yang melibatkan 201 projek mendapati kesemuanya
telah siap dilaksanakan dengan bayaran berjumlah RM426.69 juta kecuali
satu projek iaitu Pembinaan Jambatan Sungai Padas Kedua, Beaufort,
Sabah.TMI
1 ulasan:
Ada apa dengan laporan odit.. bentanglah seberapa banyak.. dan seberapa tebalpun.... bukan ada apa2 tindakan yang dikenakan kepada setiap penyelewengan.. pung... pang .. pung.. pang bertikam lidah di parlimen.. senyap. Tahun depan tunggu lagi satu laporan keluar.... pung ... pang.. pung.. pang menjerit diparlimen macam orang utan.. pastu senyap
selagi mesia diperintah ameno.. inilah saja yang mampu dilakukan.... ada aku kesah
Catat Ulasan