Sahabat Ambo

Pengunjung Yang Di Hargai,Untuk Membantu Mohon "KLIK" Iklan Di Atas.Terima Kasih

Dedikasi Buat Tuan Guru Presiden Pas

Penghinaan Mahathir Terhadap Hudud


LAGI VIDEO TINTA HIJAU-DKB KLIK DI SINI

Translate

Ahad, 4 September 2011

Bongkar !!! Yayasan Warisan Johor Iktiraf 'Mat Indera' Sebagai Pejuang Kemerdekaan ?



Sebelum kita disesatkan lebih jauh lagi oleh media-media parti pemerintah, eloklah kita semua kembali ke pangkal jalan, mengkaji dan memahami semula sejarah. Sebetulnya tatkala kali pertama saya menonton klip video ceramah Mohamad Sabu (Mat Sabu) mengenai tragedi Bukit Kepong itu, hati saya telah terdetik "Apa sajalah yang UMNO akan merapu lepas ni". Dan memang saya mahu saksikan, label apakah yang hendak dicop kepada Mat Sabu rentetan daripada ceramah beliau. Sememangnya ucapan Mat Sabu telah diputarbelitkan oleh Utusan Malaysia dan kalau salah bacaan, kita juga akan terperangkap dengan permainan Utusan Malaysia. Mat Sabu tidak pernah menyebut komunis, tetapi hanya menyebut nama Mat Indera, pejuang yang telah mengetuai serangan ke atas Rumah Pasong Bukit Kepong pada 23 Februari 1950. Inti ucapan Mat Sabu ialah ketokohan Mat Indera sebagai pejuang kemerdekaan yang peranannya digelapkan oleh parti pemerintah, tetapi di tangan Utusan Malaysia, tiba-tiba Mat Sabu pula yang sokong komunis!

Yayasan Warisan Johor iktiraf Mat Indera

Saya tidak perlu membuat rujukan daripada pelbagai sumber untuk membuat pendirian bahawa Mat Indera ialah seorang pejuang kemerdekaan, seperti yang disebutkan oleh Mat Sabu. Saya hanya merujuk kepada buku biografi Pengukir Nama Johor yang diterbitkan oleh Yayasan Warisan Johor pada tahun 2004. Di dalam buku ini terdapat 22 biografi ringkas tokoh-tokoh ternama Johor dan salah seorang daripadanya ialah Mat Indera sendiri. Jangan tak percaya, Yayasan Warisan Johor meletakkan nama Mat Indera sebaris dengan Almarhum Sultan Ismail dan Tun Sulaiman Ninam Shah, bekas pengerusi tetap UMNO. Malah foto Mat Indera juga menjadi sebahagian daripada kulit hadapan buku ini. Buku ini adalah hasil karya pelbagai penulis, tetapi biografi Mat Indera ditulis oleh Ismail Adnan, bekas guru kanan yang pernah menjadi Timbalan Pengarah, Institut Kepimpinan dan Latihan Semangat Dato' Onn. Buku ini juga telah disunting oleh Profesor Datuk Abu Bakar A. Hamid, bekas Profesor di Jabatan Pengajian Media, Universiti Malaya dan Md Ismail Zamzam, Tokoh Guru Berjasa Johor 2002. Prakata buku ini pula ialah daripada Menteri Besar Johor sendiri, Dato' Abdul Ghani Othman. Pendek kata, penerbitan buku ini mendapat restu kerajaan Johor. Nah, saya tak pasti adakah selepas ini nama-nama ini pula akan dilabelkan sebagai pengkhianat tetapi merekalah yang bertanggungjawab mengangkat ketokohan Mat Indera sebagai pejuang kemerdekaan.

 
Siapa Mat Indera

Mat Indera, atau Ahmad bin Indera lahir di Kampung Gombak, Peserai, Batu Pahat, Johor pada tahun 1920. Beliau pernah bertugas sebagai guru agama di Parit Setongkat, Muar pada tahun 1937. Diceritakan juga Mat Indera pernah berguru dengan Haji Yassin, ayah kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menggesa Mat Sabu supaya bertaqwa baru-baru ini. Di dalam peperiksaan Darjah Khas untuk guru-guru agama, Mat Indera pernah menerima anugerah butang perak daripada kerajaan Johor di atas kecemerlangannya di dalam peperiksaan tersebut. Selepas lulus peperiksaan Darjah Khas, beliau bertugas di Sekolah Agama Bandar Pontian sebagai guru agama.
Sewaktu pendudukan Jepun, Mat Indera bekerja sebagai peniaga beras. Setelah British kembali, Mat Indera bertugas pula sebagai ketua pengangkut beras di Pelabuhan Muar. Di waktu inilah Mat Indera membabitkan diri di dalam perjuangan menuntut kemerdekaan. Pada awalnya, Mat Indera dilantik menjadi Setiausaha Angkatan Pemuda Insaf (API) daerah Muar sewaktu API dipimpin oleh Ahmad Boestamam. Ketika British menguatkuasakan undang-undang darurat pada tahun 1948, semua parti politik berhaluan kiri diharamkan, termasuklah API (UMNO masih halal ketika ini dan hanya pernah haram sekali sahaja pada tahun 1988). Secara tidak langsung, Mat Indera menjadi buruan penjajah British. Oleh kerana hanya komunis sahaja yang berjuang menentang British di dalam hutan, tidak dapat tidak Mat Indera terpaksa menjalinkan hubungan dengan komunis. Tindakan Mat Indera bersatu tenaga dengan komunis mencetuskan kemarahan British yang menawarkan hadiah sebanyak $25,000.00 kepada sesiapa yang berjaya menangkap Mat Indera. Ibu bapa Mat Indera, adiknya Johan Shah serta datuk dan nenek Mat Indera terpaksa keluar masuk penjara selama beberapa bulan kerana disoal siasat oleh pihak British, namun Mat Indera masih gagal diberkas oleh penjajah.
 
Mat Indera dan Bukit Kepong

Peranan Mat Indera di dalam tragedi Bukit Kepong juga hangat diperdebatkan. Banyak teori yang dikemukakan, ada yang mengiyakan, tapi tak kurang juga yang menafikan. Namun hampir kesemuanya bersetuju Mat Indera terbabit secara langsung menyerang Rumah Pasong Bukit Kepong. Misalnya, anggota polis marin yang terselamat di dalam tragedi itu, Abu Bakar Daud menafikan bahawa Mat Indera turut menyerang anggota polis, sebaliknya Mat Indera melindungi dan menyelamatkan keluarga anggota polis daripada menjadi mangsa pihak komunis. Seorang komunis Melayu, Shahran Abdul Ghani yang pernah aktif di kawasan Yong Peng mengesahkan bahawa serangan ke atas Rumah Pasong Bukit Kepong diarahkan oleh Mat Indera. Adik Mat Indera, Johan Shah pula mendedahkan bahawa abangnya mengaku bahawa beliau (Mat Indera) bertanggungjawab mengarahkan serangan ke atas Rumah Pasong Bukit Kepong tetapi tidaklah sehingga ke tahap membunuh dan membakar balai polis. Apa yang berlaku ialah orang-orang bawahannya yang berbangsa Cina telah melanggar arahan Mat Indera dan membuat pakatan rahsia tanpa pengetahuan Mat Indera.
Apa pun peranan sebenar Mat Indera dalam tragedi Bukit Kepong itu, pihak British telah melabelkan Mat Indera sebagai pengganas dan tawaran dinaikkan kepada $75,000.00 untuk sesiapa yang berjaya menangkap Mat Indera. Rancangan demi rancangan diatur, akhirnya pada 1952, Mat Indera tertangkap setelah diperdayakan oleh rakan yang dipercayai olehnya. Beberapa pemimpin Melayu, antaranya Kadi Haji Ahmad Shah Haji Abdul Jabar cuba memujuk Mat Indera supaya bertolak ansur dengan penjajah sewaktu perbicaraan di mahkamah untuk melepaskan diri daripada hukuman mati, tetapi semua ini ditolak oleh Mat Indera. Akhirnya, Mat Indera didapati bersalah dan dihukum gantung sampai mati pada 30 Januari 1953.



Tafsiran sejarah bukannya pengkhianatan
 
Buku ini turut memuatkan biografi tokoh yang terlibat secara langsung menangkap Mat Indera iaitu Bajuri Haji Siraj atau Sarjan Bajuri. Beliau merupakan pegawai yang terlibat untuk memberkas Mat Indera dan menerima habuan $75,000.00 seperti yang ditawarkan oleh pihak British. Beliau pernah memegang jawatan sebagai Ketua Pemuda UMNO Pontian dan pernah bertanding sebagai calon bebas setelah tidak terpilih sebagai calon Perikatan di dalam pilihanraya kecil Dun Pontian Kecil pada tahun 1961.
Di bahagian Pendahuluan buku ini, Profesor Datuk Abu Bakar A. Hamid menyifatkan bahawa kedua-dua versi cerita (Mat Indera dan Sarjan Bajuri) merupakan subjek yang amat menarik untuk terus diperbincangkan dan dibuat kajian lebih lanjut. Ada yang menganggap Mat Indera sebagai wira dan ada pula yang menganggap Sarjan Bajuri sebagai wira. Menurut beliau, sejarah ialah apa yang ditafsirkan dan dikemukakan oleh para sejarawan berdasarkan bukti yang mereka dapati. Katanya lagi, "proses pembuktian dan pentafsiran ini berjalan terus menerus tanpa henti selagi manusia mampu menggali dan berfikir untuk mencari 'kebenaran'".
Kebenaran inilah yang dicari oleh setiap pengkaji sejarah. Apa yang dipohon oleh Mat Sabu ialah pihak parti pemerintah memberikan gambaran yang seadil-adilnya kepada para pejuang kemerdekaan dan tidak hanya memberi fokus kepada UMNO sahaja. Golongan kiri, golongan alim ulama' dan golongan yang "bukan UMNO" turut terbabit memperjuangkan kemerdekaan, hatta Dato' Onn Jaafar yang pernah dicop oleh UMNO sebagai boneka British juga turut berhasrat memperjuangkan kemerdekaan. Berikanlah kepada mereka penghormatan yang sewajarnya berdasarkan neraca intelek, bukan bidasan jelik. Tidak dapat difahami mengapa tafsiran sejarah yang berbeza berasaskan hujah-hujah akademik boleh dilabel sebagai pengkhianatan, petualang dan entah apa-apa lagi.
 
Rasional bukan emosi

Apabila seorang tokoh politik seperti Mat Sabu memberi tafsiran sejarahnya (yang bukannya tiada asas), mengapa reaksi-reaksi yang timbul langsung tidak ilmiah malah disulami kecaman demi kecaman yang penuh emosi? Berfikirlah secara rasional dan selak kembali lembaran-lembaran sejarah yang mungkin kita terlepas pandang. Sumber yang saya utarakan ini pun bukannya daripada Wikileaks atau maklumat daripada kerajaan British, tapi berdasarkan buku terbitan Yayasan Warisan Johor. Johor tau, Johor, tempat Umno beranak, negeri Umno terkuat di dunia. Sumber satu hala ini pun boleh meraikan perbezaan, kenapa kita masih tak mahu mengerti?
Bacalah biografi Mat Indera di dalam buku ini, betapa keperibadian Mat Indera disanjung. Latar belakangnya juga mengagumkan. Secara jelas Ismail Adnan menukilkan bahawa "Pihak Inggeris telah berjaya mempengaruhi pemikiran rakyat Tanah Melayu bahawa seorang manusia Melayu beragama Islam yang kuat pegangan agamanya bernama Mat Indera itu adalah seorang penderhaka kepada negara, membelakangkan ajaran agama Islam serta menjadi pengganas komunis yang kejam dan tidak berperikemanusiaan". Di akhir biografi ringkas Mat Indera, penulis ada menyebut "Adakah Mat Indera seorang petualang atau pejuang? ...Dia tidak mempunyai kepentingan peribadi. Dia juga tidak mempunyai niat jahat terhadap bangsa dan negaranya. Dia rela mempertaruhkan nyawanya demi memperjuangkan hak kedaulatan sebuah negara yang terbelenggu oleh rantai penjajahan. Justeru Mat Indera sewajarnya diabadikan namanya sebagai seorang pejuang, bukan seorang petualang". Kenyataan ini saja sudah membuatkan saya tertanya-tanya, adakah Yayasan Warisan Johor juga mahu menjadi pengkhianat seperti Mat Sabu? Bilakah pula agaknya Utusan Malaysia ingin mengisytiharkan Yayasan Warisan Johor sebagai pengkhianat?

Sumber : Facebook Mohamed Hadi Al-Majwi

9 ulasan:

usin berkata...

kita seorang guru, kita banyak membantu org kampung yg kesusahan. kesusahan org kampung adalah kesusahan kita. kita berjuang sedaya upaya dan tanpa batas agar sebahagian org yg kita bantu akan selesa. kita berjuang tanpa inginkan 'NAMA'. tapi diakhir dan dihujung riwayat kita, kita telah menjadi pembunuh. org yang kita bunuh ialah org2 yg telah kita bantu sebelum ini. org yg kita perjuangkan sebelum ini, atas nama perjuangan yg kita sendiri faham ttp bertentangan dengan norma masyarakat dan agama kita sendiri. kita membunuh jiwa yg sepatutnya kita pelihara. jadi dimanakah kedudukan kita? adakah kita masih diikhtiraf sebagai pejuang atau kita telah menjadi penderhaka? apa justifikasi kita?

Tanpa Nama berkata...

Dalam Islam, membunuh sesama Islam tergolong dalam dosa2 besar. Satu nyawa setara dengan membunuh seluruh nyawa...apakah ukuran kita pula?

Abangpi berkata...

Saya faham, pada mulanya beberapa orang Melayu seperti Mat Indera dan lain-lain adalah ikhlas mahu berjuang untuk kemerdekaan Tanah Melayu pada masa itu. tetapi landasan perjuangan yang terlalu kiri dan melampau telah menyebabkan mereka dipengaruhi oleh komunis dan sama-sama bersubahat dengan komunis. saya percaya tidak sewajarnya kita mencaci Mat Indera tetapi tidak wajar kita menyanjung tinggi beliau melebihi Sarjan Jamil. kita boleh bayangkan apa yang boleh berlaku jika ada 10 orang lagi Mat Indera dan apa yang akan berlaku jika tiada seorang Sarjan Jamil???

Saya ingin bertanya kepada orang yang condong menyokong Mat Indera, wajarkah perjuangan beliau dikatakan perjuangan yang benar? apa yang akan berlaku kepada negara ini jika ditakdirkan perjuangan Mat Indera berjaya pada tahun 1950?
lihat negara-negara komunis. tuan-tuan mahukah negara kita jadi negara komunis?

beliau mungkin berniat memperjuangkan bangsa tetapi jalan yang beliau pilih adalah salah.

beliau tidak patut dan tidak berhak dilebihkan darjatnya dari Sarjan Jamil dan anak-anak buahnya.
Terima kasih.

Abangpi berkata...

Adakah tuan-tuan percaya bahawa Mat Indera boleh dimaafkan dengan hanya kerana beliau membantu melindungi beberapa orang anak isteri anggota polis Bukit Kepong tersebut?

Abangpi berkata...

Mat Sabu mengatakan bahawa Mat Indera adalah hero sebenar peristiwa Bukit Kepong. ini bermakna darjat Mat Indera adalah dilebihkan dari darjat Sarjan Jamil.
Terima Kasih.

Abangpi berkata...

Peristiwa Bukit Kepong adalah satu peristiwa yang sangat sensitif kepada rakyat negara ini kerana pihak PKM berjaya menunjukkan mereka adalah satu kumpulan 'armed mob' yang bila menghadapi satu kumpulan yang kurang dari segi persenjataan dan bilangan anggota, terus membunuh dan menganiaya hampir semua mereka yang menentang. Kalau komunis yang menyerang Balai Polis Bukit Kepong pada 23 Februari 1950 hanya membunuh semua anggota polis yang bertugas, tanpa membunuh beberapa anggota keluarga dan membakar balai polis dan berek polis yang mereka tentu tahu masih ada beberapa orang yang masih hidup termasuk isteri dan anak-anak anggota polis yang mungkin telah cedera dan tidak mampu melarikan diri dari api, tentu Peristiwa Bukit Kepong tidak akan menjadi satu peristiwa yang sensitif. Peristiwa ini membuktikan gerombolan komunis tersebut adalah kejam dan tidak akan teragak-agak untuk membunuh dan menganiaya orang yang lemah terutama apabila mereka marah kerana anggota polis di Bukit Kepong memberikan tentangan yang hebat diatas tujuan mereka hendak menawan balai itu. Pemimpin komunis yang terlibat iaitu Mat Indera samada tidak mahu atau tidak berupaya mengekang perlakuan kejam tersebut. kerana saya seorang Islam dan Mat Indera juga saya percaya masih Islam, saya mahu menganggap bahawa beliau tidak berupaya mengekang kelakuan 'mengamuk' anggota beliau tersebut. tetapi kita boleh perhatikan bahawa Mat Indera tidak mahu bertaubat dan peristiwa tersebut tidak membuka mata beliau bahawa ideologi komunis itu adalah salah. sehingga beliau digantung sampai mati pun beliau tidak menunjukkan penyesalan.

kesan dari peristiwa Bukit Kepong ini, komunis semakin jauh dari hati orang-orang Melayu. bila disebutkan Peristiwa Bukit Kepong, kita akan membayangkan kekejaman komunis yang kebetulan pada masa itu terdiri dari majoriti orang cina. Kita juga mula membayangkan kepahlawanan polis-polis Melayu tersebut yang tidak takut mati mempertahankan apa yang mereka yakin adalah kebenaran.

sejak Peristiwa Bukit Kepong kita tidak lagi mendengar ada peristiwa yang melibatkan pertempuran komunis dengan pihak berkuasa yang sekejam itu. tetapi Alhamdulillah, the damage was done and the communist fate was sealed, mereka kalah secara keseluruhan di Malaya.

saya nak sebut sekali lagi, Peristiwa Bukit Kepong adalah satu peristiwa yang sangat sensitif kepada orang Melayu sehingga digelarkan 'the Malayan Alamo'. jika Mat Sabu berkeras untuk menggunakan ini sebagai modal kempen maka sokongan orang Melayu tidak akan berpihak kepada PAS.

Sudahlah peristiwa pihak DUMC membangkitkan kebencian orang Melayu kepada PAS, ditambah lagi pula kata-kata dari Mat Sabu ini....

PAS mahukan sokongan orang Melayu tetapi mengenepikan sensitiviti orang Melayu dan mengutamakan sensitiviti orang bukan Melayu. saya andaikan pemimpin PAS tidak lagi memerlukan sokongan orang Melayu....

Tanpa Nama berkata...

apa nak sanjung si sarjan kamil pulak.. tak tau ke hakikat sebenar si sarjan kamil tu anjing british.. dan pada masa tu sarjan kamil tengah mabuk yamseng dan main judi...

Abangpi berkata...

anjing british atau mabuk arak, komunis Mat Indera tidak berhak melakukan apa yang dinamakan atrocity keatas orang awam. cuba buktikan bahawa Mat Indera tidak melakukan atrocity.

Abangpi berkata...

sila kemukakan bukti bahawa polis sedang mabuk pada ketika itu. kita menuduh orang yang telah lama mati dan tidak berupaya lagi membela diri dari tuduhan.

Hudud : Kenyataan Najib VS Kenyataan Tok Guru Nik Aziz

Bermula 31/7/2009

Pengunjung Ambo dari....