Normala Sudirman dengan gaya sendiri menjawab soalan pemberita pada sidang media sempena kempen hari ketiga hari ini. — Foto oleh Choo Choy May
PAS Johor mahu mengambil tindakan undang-undang terhadap Ahli Parlimen Labis Chua Tee Yong( gambar kiri ) kerana didawka telah memfitnah calon PAS-Pakatan Rakyat Normala Sudirman ketika kempen pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang.
Laporan akhbar harian China Press hari ini memetik Chua, anak Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek, sebagai berkata Normala ada bertanya kepada seorang peniaga Cina “kenapa jual minuman arak” ketika berkempen.
Menurut Timbalan Pesuruhjaya PAS Johor, Dzulkefly Ahmad, pihaknya akan menyaman Chua kerana telah membuat tuduhan yang tidak berasas.
Selain itu, Dzulkefly memberi tempoh 24 jam kepada Chua untuk membuktikan tuduhan tersebut.
“Tuduhan itu adalah satu pembohongan, dalam masa 24 jam kita minta Tee Yong untuk buktikan nombor kedai, tempat dan masa kejadian itu berlaku.
“Kalau gagal kita akan hantar surat peguam dan memfailkan saman fitnah di mahkamah.
“Calon kita tidak lakukan perkara itu, jadi kita minta Chua Tee Yong buktikan kepada kita,” katanya.
Sementara itu, Setiausaha Publisiti DAP Tony Pua menggesa Chua supaya meminta maaf kepada Normala kerana telah membuat tuduhan palsu.
“Chua Tee Yong kata Normala pergi ke sebuah kedai kopi dan jumpa dengan bos kedai itu kenapa jual arak?
“Ini adalah satu tuduhan palsu yang dibuat oleh Chua Tee Yong, saya dah maklumkan kepada PAS dan Normala sendiri menafikan perkara itu,” katanya.
Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara itu percaya tuduhan yang dibuat Chua itu adalah kerana mahu menakut-nakutkan pengundi-pengundi bukan Melayu di kawasan Tenang.
“Ini adalah untuk takutkan pengundi Cina, ia adalah satu kenyataan yang tidak bertanggungjawab, dia (Chua) perlu minta maaf kepada Normala,” katanya.
Sebelum ini MCA telah menimbulkan kontroversi mengenai cara bersalam Normala yang enggan bersalam dengan lelaki.
Kontroversi itu terlebih dahulu ditimbulkan Dr Chua dan ia diikuti beberapa pemimpin MCA yang turut mempertikaikan pendekatan Normala itu.
Selain itu, Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub pula berkata tuduhan itu dibuat kerana mahu menimbulkan keresahan di kalangan pengundi bukan Melayu khususnya orang Cina.
“Cikgu Mala (Normala) telah menafikan sekeras-kerasnya bahawa itu adalah tuduhan berniat jahat.
“(Ia) satu perancangan yang jahat untuk menimbulkan keresahan dan ketakutan orang Cina,” katanya.
Gelanggang kempen kerusi DUN Tenang dibuka secara rasmi kelmarin dengan menyaksikan persaingan satu lawan satu antara calon Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat.
BN menurunkan Mohd Azahar Ibrahim iaitu bekas Penolong Pentadbir Tanah Daerah Kecil Rengit.
Pilihan raya kecil DUN Tenang diadakan berikutan kematian penyandangnya dari BN, Allahyarham Datuk Sulaiman Taha pada 17 Disember lalu.Hari pengundian adalah Ahad ini.TMI
Tiada ulasan:
Catat Ulasan