KUALA LUMPUR, 2 Dis – Badrul Hisham Shaharin yang tewas dalam saingan merebut jawatan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) enggan mengulas desas-desus mahu meninggalkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) atas alasan kecewa dengan proses pemilihan yang dikatakan tidak demokratik dan cacat.
“Bab itu (desas-desus mahu meninggalkan parti) saya tak nak komen dulu,” kata Badrul Hisham atau yang dikenali sebagai “Chegubard” menerusi laman sosial Facebooknya.
Badrul Hisham mengambil sikap berdiam diri apabila sesawang Umno-Reform mendakwa beliau akan meninggalkan PKR dalam masa terdekat.
“Saya pilih untuk diam diri dulu status saya dan hubungan politik kepartian,” kata beliau lagi.
Bagaimanapun Badrul Hisham bercadang untuk memberi respons pagi Isnin ini iaitu sehari selepas himpunan protes ke atas Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) dan kerajaan pusat mengenai isu kenaikan tarif air.
Ia dianjurkan oleh kerajaan negeri Selangor.
“Isnin (selepas) Subuh kenyataan rasmi akan dibuat, kalau tak tidur lokap (pada) 5 (Disember) malam ha ha ...,” ujar Badrul Hisham lagi.
Badrul Hisham yang juga pengasas dan pengerusi Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) - pertubuhan tak berdaftar - turut mengulangi iltizam politik menyokong inisiatif kerajaan negeri Selangor melancarkan perhimpunan aman Ahad ini.
Umno-Reform Selasa lalu melaporkan desas-desus tersebut timbul kononnya ekoran tindakan Badrul Hisham, yang membuat laporan mengenai kepincangan dalam pemilihan PKR baru-baru ini, tidak menghadiri Kongres Nasional Ketujuh Jumaat lalu.
Ia turut melaporkan Badrul Hisham menolak tawaran serta janji politik untuk memegang jawatan tertinggi dalam parti seperti dirujuk pada ucapan Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Satu sumber memberitahu bahawa bekas Ketua AMK Senator Ezam Mohamad Nor pernah mempelawa Badrul Hisham memandangkan mereka pernah bersama-sama dalam AMK dan pertubuhan bukan kerajaan Gerakan Anti Rasuah dan Korupsi Malaysia (Gerak).
Namun sumber tersebut memberitahu The Malaysian Insider, jawapan muktamad bergantung pada Badrul Hisham sendiri pada Isnin depan.
Dalam pada itu, Badrul Hisham berkata, SAMM telah memutuskan akan bersama dengan Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim dalam satu himpunan aman bagi mengadap Yang di-Pertuan Agong bagi memohon campur tangan baginda dalam isu hak air rakyat Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
“SAMM sudah bertemu dengan pihak penganjur bagi untuk bersama memastikan himpunan aman ini lancar.
“Sekurangnya 50 orang ‘marsyal demo’ yang berpengalaman akan diturunkan bagi memastikan kelancaran dan mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.
“Mereka ini berpengalaman sejak 1998, mereka ini terdiri dari yang pernah mengendalikan himpunan Bersih, Kesas dan lain-lain.
“Difahamkan seperti biasa unit sukarelawan merah (unit amal) akan menjadi petugas utama dalam acara tersebut. Maka petugas SAMM akan menbantu dan bergabung dengan mereka,” kata beliau dalam kenyataan dikeluarkan hari ini.
Badrul Hisahm berkata, SAMM juga menyeru semua anak muda untuk turun bersama atas semangat ketuanan rakyat mempertahankan hak asas.
“Ini juga kali pertama dalam sejarah himpunan anjuran kerajaan negeri,” katanya lagi.TMI
1 ulasan:
sabahal khair
kabar angin saja
AWAS DEB KEMBALI
Catat Ulasan