KOTA BARU, 16 Jun – Kerajaan Kelantan akan memulau majlis perasmian Fiesta Kelantan 2010 yang sepatutnya dirasmikan oleh Pemangku Raja Kelantan dan dihadiri Datuk Seri Najib Razak di perkarangan Stadium Sultan Mohammed Ke-IV di sini malam ini dengan alasan penganjur mungkir janji dengan tidak membenarkan Menteri Besar Datuk Nik Aziz Nik Mat berucap.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri, Datuk Takiyuddin Hassan berkata penganjur bersama majlis itu, Red Carpet World Wide Sdn Bhd, telah melanggar syarat-syarat perjanjiannya dengan kerajaan negeri.
Beliau berkata mengikut perjanjian asal, Pemangku Raja Kelantan Tengku Muhammad Faris Petra dijadual merasmikan fiesta itu dan Nik Aziz turut berucap tetapi mengikut keputusan terbaru, Nik Aziz tidak dibenarkan berucap manakala majlis itu tidak dirasmikan oleh Pemangku Raja Kelantan.
Bercakap kepada pemberita selepas mesyuarat mingguan Exco Kerajaan Negeri di sini hari ini, Takiyuddin berkata, tindakan penganjur itu menyinggung perasaan kerajaan negeri yang diketepikan dalam banyak perkara.
Takiyuddin, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Fiesta, juga berkata kerajaan negeri tidak akan menghalang sebarang aktiviti yang dijalankan sepanjang Fiesta selama tiga hari itu selagi ia memenuhi syarat yang diluluskan oleh pihak berkuasa tempatan.
Bagaimanapun, katanya, semua acara melibatkan kerajaan negeri seperti pertunjukan 1001 pesilat dan pembuatan gendang terbesar, dibatalkan. – Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan