KUALA LUMPUR, 26 Mac — Sidang khas Dewan Undangan Negeri (DUN) khas tidak diperlukan bagi menyelesaikan kemelut dalaman Istana Kelantan, kata Timbalan Menteri Besar Datuk Ahmad Yaakob.
“Kita melihat bukan satu keperluan untuk mengadakan sidang DUN khas bagi menyelesaikan masalah dalam institusi diraja.
“Lagipun kemelut ini adalah masalah dalaman pihak istana, jadi lebih baik sekiranya mereka yang mencari jalan penyelesaian,” kata beliau ketika dihubungi The Malaysia Insider hari ini
Justeru kata beliau, sidang DUN khas tidak akan dipanggil bagi menyelesaikan krisis.
“Lagipun tiada dalam perlembagaan mengatakan ia perlu dilakukan,” katanya lagi.
Beliau berkata demikian ketika mengulas cadangan Pengerusi Kelab Penyokong-penyokong Kerajaan (BBCBN) Kelantan, Abdullah Yaacob supaya DUN mengadakan sidang khas dalam usaha menyelesaikan kemelut dalaman isu istana Kelantan yang semakin meruncing sekarang ini.
Abdullah berkata, langkah itu penting memandangkan isu tersebut tidak berkesudahan walaupun ia berlarutan sejak sekian lama.
Mengulas lanjut, kata Ahmad, tugas serta fungsi DUN adalah untuk membuat dan menggubal undang-undang di peringkat negeri bukan menyelesaikan masalah yang berlaku dalam institusi diraja.
“Fungsi DUN adalah untuk membuat undang-undang diperingkat negeri, jadi semasa DUN bersidang hanya perkara ini yang akan dibahaskan.
“Kita bukan tidak ambil tahu mengenai apa yang berlaku dalam institusi diraja sekarang, tetapi adalah lebih baik sekiranya pihak istana sahaja yang menyelesaikan kemelut yang berlaku,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata penahanan Setiausaha Sulit Sultan, Datuk Wan Hashim Wan Daud malam tadi mungkin kerana “ada kesnya.”
“Tidak ada komen. Hendak komen macam mana...itu kerja polis.
“Kerja polis, ada kes lah sebab itu ditangkap,” kata beliau semasa ditemui selepas solat Jumaat di masjid Semut Api, Pantai Cahaya Bulan, Kota Baru hari ini.
Wan Hashim ditahan selepas tidak sampai 12 jam mengumumkan pelucutan Tengku Mahkota, Tengku Muhammad Faris Petra sebagai Pemangku Raja.
Difahamkan Wan Hashim cuma bertindak selaku penyampai kenyataan daripada Pengerusi Majlis Perajaan Negeri (MPN), Tengku Abdul Aziz Tengku Hamzah.
Menjawab kerajaan negeri tidak rasa tersepit ekoran krisis tersebut Nik Aziz berkata, “Alhamdulillah kerajaan negeri selamat, bahkan kalau ada perkara-perkara yang menyusahkan kerajaan.”
“Kalau polis tolong selesai masalah, saya terima kasih banyak,” katanya.
Krisis Istana Kelantan malam tadi menyaksikan Majlis Perajaan Negeri melantik Tengku Abdul Halim Al-Haj Sultan Ibrahim sebagai pengerusi baru majlis itu.
Nik Aziz ketika diminta mengulas perkara itu memberitahu, adalah masalah perlembagaan.
“Ini masalah perlembagaan, masalah perlembagaan saya serah kepada orang yang berkenaan iaitu Datuk Abdul Halim Hamad,” katanya.
“Saya ucap terima kasih kepada Datuk Halim kerana membuat kenyataan benda-benda begini.
“Yang pentingnya tuanku sekarang masih gering, kalau tuan-tuan rasa nak melawat saya ucap terima kasih banyak.
“Ziarah… menghadap sendiri sejauh mana kesihatan tuanku, boleh ke buat kerja atau masih berkerusi roda atau sebagainya,” kata beliau tidak akan campur perkara-perkara seumpama itu.TMI
Tiada ulasan:
Catat Ulasan