PETALING JAYA, Jan 1 — Bekas mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainal Abidin yang kini cuba “dipikat” parti-parti politik menggesa agar para pengundi memilih parti yang sanggup memberi "ruang dan hak bersuara yang adil" untuk mereka pada pilihan raya umum ke-13 kelak.
Sungguhpun tarikh pilihan raya umum itu masih belum dapat dibayangkan oleh mana-mana pihak, Asri (gambar) berkata para pengundi seharusnya sudah mula memikirkan perkara tersebut mulai sekarang.
Asri berkata beliau mahu pertimbangan dan penilaian dimulakan sekarang oleh pengundi agar mereka tidak "panik apabila menghadapi pilihan raya umum ke-13 nanti."
"Jangan tunggu sehingga pilihan raya umum ke-13 baru hendak fikir... sebab itu saya minta mereka mula membuat penilaian dari sekarang," katanya.
"Pilih parti dan calon yang bersikap terbuka, yang boleh memberikan hak bersuara yang adil... kita tengok parti mana yang menggunakan cengkaman, tidak memberi ruang dan hak untuk mereka bersura dan ia perlu ditolak," katanya.
Ketika dihubungi The Malaysian Insider, Asri berkata beliau memberikan pandangan itu tanpa merujuk kepada mana-mana parti politik.
Asri yang kini berhadapan dengan tuduhan mahkamah bahawa menyampaikan kuliah tanpa tauliah sedang dipujuk oleh kedua-dua Umno dan PAS sejak kebelakangan ini.
Kedua-dua parti itu dilaporkan sudah mendampingi beliau sejak beberapa bulan yang lalu.
Pada 9 Nov lalu, Asri berkata beliau sedia menyertai politik sebagai jalan terakhir jika usahanya untuk menyebarkan dakwah melalui ceramah agama berdepan dengan halangan.
Menurutnya, beliau memang tidak bercadang menyertai politik dan lebih menumpu kepada usaha menyebarkan pemikiran Islam yang dianggap luas kerana Islam adalah agama untuk semua.
Beliau ditahan oleh Jabatan Agama Islam Selangor 1 Nov.
Apabila ditanya sama ada ia petanda beliau sudah mula memutuskan muktamad untuk menyertai parti politik, Asri menolak tanggapan sedemikian.
Dalam tulisan blognya dua hari lalu Asri menyeru para pencinta perubahan, penyokong keluasan minda dan usaha-usaha tajdid terutama generasi muda, agar mula menilai parti politik yang lebih meraikan "keluasan pendapat dan memberi ruang serta hak bersuara kepada rakyat secara adil."
"Nilailah juga parti mana yang tidak mesra dengan perkara ini.
"Dengan arus yang ada ini, pastikan undi anda pada pilihan raya ke-13 membantu ke arah semangat perubahan dan keluasan pendapat yang kita harapkan," kata Asri.
Tulisan itu menambah beliau bersyukur kerana sebahagian besar rakyat Malaysia, terutama generasi muda yang memberikan sokongan yang tidak putus-putus kepada usaha-usaha tajdid.
"Namun, saya agak kecewa kerana ada saluran media yang tidak bersikap positif dengan usaha tajdid yang sedang berlaku. Mungkin ada gangguan pihak tertentu.
"Pihak TV3 telah menjemput saya juga Tuan (Muhammad) Uthman Muhammady dalam rancangan al-Kulliyyah secara langsung.
"Malang sekali apabila tiba waktu siaran, dimaklumkan kononnya tidak mendapat ‘lampu hijau’ untuk disiarkan secara langsung.
"Janji mereka rakaman tersebut akan disiarkan, namun tidak muncul sehingga kini. Alhamdulillah, nasib baik ada pihak yang merakamkan program dan ia telah disiarkan dalam Internet serta mendapat sambutan," katanya.
Asri menambah pihak RTM1 pada 28 Dis lalu telah menyiarkan siaran langsung Uthman Muhammady dan seorang penceramah yang tidak dikenali membuat tafsiran yang salah terhadap perbezaan pendapat dan usaha pembaharuan.
"Sepatutnya, mereka hendaklah terbuka pada zaman ini dengan menjemput secara adil kedua-dua pihak memberi pendapat. Masyarakat kini sudah bijak untuk menilai.
"Alhamdulillah, walaupun RTM1 membuat demikian, kajian yang mereka buat dalam rancangan tersebut tetap menunjuk majoriti penonton menganggap positif perkembangan pemikiran atau yang mereka istilah sebagai pertembungan," katanya.
Malah dalam tulisannya Asri juga berterima kasih kepada kerajaan Kelantan memberikan pentas terbuka yang dihadiri ribuan orang di Kota Baru baru-baru ini.
"Ia memberi ruang untuk saya yang tidak berparti berforum secara terbuka dengan Datuk Nik Amar (PAS), Datuk Nakhaei (Umno) dan Ustaz Afandi (Pemuda Umno). Rakyat dapat melihat dan menilai," katanya.
Wacana Perdana Islam di Malaysia — Realiti dan Harapan itu membariskan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pembangunan Islam dan Dakwah Negeri, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah; Asri, bekas Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiyah Malaysia (Yadim) Datuk Mohd Nakhaei Ahmad dan Pengerusi Biro Agama Pemuda Umno Malaysia Afandi Yusof.TMI
Tiada ulasan:
Catat Ulasan