Di E-Mel Eksklusif untuk Malaysiaberih
oleh: Anuwa Jamalullail
Para pemimpin Barisan Nasional (BN) yang masih belum betul-betul kebah daripada penangan Pilihan Raya Umum ke-12 lalu nampaknya semakin tidak berdaya menangkis asakan pembangkang. Kekalahan memalukan di beberapa negeri lagi selain Kelantan beserta kehilangan majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri (Dun) Negri Sembilan membuatkan BN bertambah nanar dan tidak keruan.
Keadaan BN boleh diibaratkan seperti seorang kepala gedebe (samseng, penyangak, kaki buli dan yang setaraf dengannya) yang seluruh anggota badannya tercedera. Kakinya bengkak, dadanya luka, tangannya bernanah dan otaknya juga makin biul dan meracau.
Dia sudah hilang kekuatan fizikalnya. Malangnya dia belum insaf juga. Sebaliknya kejahatan dan ke-gedebe-annya sebelum ini terus menghantuinya. Rasukan itu sentiasa menguasai dirinya untuk terus mengekalkan statusnya sebagai kepala gedebe.
Bagi menjaga pangkat dan egonya, dia perlu banyak bergantung kepada saki-baki pengaruhnya di kalangan penjuak dan pencacainya. Di ketika tertentu, dia sudah tidak segan silu mengguna nama seseorang yang lebih dihormati masyarakat untuk menyelamatkan ego dirinya.
Begitulah lebih kurang hakikat dihadapi BN, khususnya Umno, dalam mendepani sepak terajang politik masa kini. Ia tidak ada kekuatan sendiri. Sebab itu saban kali pilihan raya, sama ada umum mahu pun kecil, rakyat dapat saksikan bagaimana BN dan Umno tanpa segan silu memanipulasi jentera kerajaan yang masih dikuasainya. Tenaganya tenaga pegawai dan kakitangan kerajaan yang dikerah membantu kempen BN. Wang ringgitnya juga menerusi peruntukan kerajaan.
Mutakhir ini (atau secara lebih tepatnya, selepas kekalahan memalukan dalam PRU-12), BN seakan makin berselera memanfaatkan satu lagi institusi masyarakat demi kepentingan politiknya. Dalam beberapa kes yang agak menonjol kebelakangan ini, BN tampil mengaitkan sesuatu tindakan yang dilakukan pihak lain dengan istana. BN nampaknya semakin gemar lantas segera menuduh dan melabel sesuatu yang dinilainya menguntungkan Pakatan Rakyat (PR) dan merugikan BN sebagai mengingkari keputusan istana.
Ingat lagi cerita kegawatan politik Perak sejak Februari lalu? Tindakan para pemimpin PR membantah pembentukan kerajaan ‘katak’ oleh BN, pemboikotan sidang Dun, penganjuran sidang Dun di bawah pokok dan di hotel, kempen pemakaian serba hitam menuntut pembubaran Dun Perak dan berbagai lagi, semuanya dilabelkan BN sebagai tindakan menghina Sultan Perak.
Hujah mereka, kerajaan BN adalah kerajaan yang sah dan diperkenan Sultan, menteri besarnya (apa nama dia yang suka mempersenda orang dan bercakap lepas tu?) dilantik berwatikah daripada Sultan, para anggota Exconya juga diperkenan istana. Maka kesimpulan mudah, menentang kerajaan ‘katak’ BN itu sama seperti mengingkari perkenan istana.
Tuihh!! Inikah yang dikatakan orang, bercakap tak pakai otak? Apakah kerajaan PR yang dijatuhkan BN secara tidak bermaruah itu tidak mendapat perkenan istana? Apakah Mohamad Nizar Jamaluddin yang mendapat anugerah ‘Datuk Seri’ itu menjadi Menteri Besar Perak tanpa sembah perkenan Sultan? Jika ya, apakah tindakan BN menidakkan kuasanya yang diperkenan itu juga membelakangkan perkenan istana?
Itulah gambaran pemikiran senget sebelah di kalangan para pemimpin dan pendokong BN. Nilaian sebelah pihak itu juga terserlah beberapa kali dalam hal membabitkan kritikan pelbagai pihak terhadapa Sahibus Samahah Tan Sri Mufti Perak. Agamawan yang sepatutnya menjelaskan perkara sebenar berhubung agama itu kerapkali bercakap dan mengulas isu politik secara melulu dan menjurus kepada mempertahankan tindakan Umno/BN.
Apabila hujah beliau yang sering tidak berpihak di bumi nyata dan tidak bersandarkan realiti isu terbabit disanggah pelbagai pihak, Umno dan penjuaknya segera pula melabelkan pihak yang menyanggah itu sebagai menghina Sultan Perak. Hujahnya sama, oleh kerana mufti itu terlantik dengan perkenan istana, maka apa-apa pertikaian terhadap mufti adalah boleh dikaitkan sebagai menghina perkenan itu.
Hujah sedemikian turut kita dengar dalam isu pelantikan Yang Dipertua Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP). Ura-ura pelantikan Pesuruhjaya PAS yang memenangi Dun Permatang Pasir, Ustaz Mohd Salleh Man sebagai YDP MAIPP menggantikan Adun BN, Mohd Shabudin Yahya yang akan tamat tempoh perkhidmatannya pada 31 Disember nanti juga dikaitkan sebagai mengingkari istana.
Jahatnya BN, dalam keadaan ia sudah tidak memerintah kerajaan negeri dan sudah maklum tentang pelantikan YDP MAIPP baru, ia masih merasakan layak menentukan sesuatu yang di bawah bidang kuasa kerajaan negeri. Mereka telah lebih awal mencadangkan nama seorang akademik menggantikan Shabudin dan mendakwa nama tersebut telah mendapat perkenan Yang Dipertua Agung selaku Pengerusi MAIPP.
Maka apabila kerajaan negeri tampil dengan nama pilihannya untuk jawatan tersebut, Umno memanipulasi keputusan itu sebagai menolak keputusan yang telah dibuat pihak istana. Memang jahat lah Umno ini, bukan? Agaknya kalau tak jahat, memang tak layak duduk dalam Umno, ya?
Isu pelantikan Ahli Jawatankuasa (AJK) Masjid di Perak sepertimana disiarkan Berita Harian, Khamis (17 Disember) pula boleh dijadikan contoh terkini. Laporan itu, yang memetik tulisan Adun BN-Slim River, Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib, dalam laman blognya mendakwa Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIP), Datuk Sheikh Mohamad Nor Mansur Al-Hafiz cuba bermain politik dalam pelantikan pengerusi dan AJK masjid kariah.
Sheikh Mohamad Nor didakwa membelakangkan senarai yang telah diperkenan Raja Muda Perak, Raja Dr Nazrin Shah, selaku Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIAMP). Kononnya beliau mengarahkan Pegawai Tadbir Agama memotong nama yang diperkenan dan menggantikannya dengan nama pemimpin PAS.
Sejauh manakah dakwaan itu berasas tidak dapat dipastikan. Pihak-pihak yang terbabit dalam perkara itu dilaporkan enggan membuat sebarang ulasan, selain menganggap sesuatu yang membabitkan pihak istana adalah isu sensitif.
“Saya tidak boleh komen sehingga ada bukti,” akhbar itu memetik ulasan ringkas Sheikh Mohamad Nor.
Memang Sheikh Mohamad Nor dikenali sebagai pendokong PAS. Beliau pernah bertanding sebagai calon PAS, malah dilantik ke jawatan Pengarah JAIP juga di zaman pemerintahan PR pimpinan PAS tahun lalu.
Namun perlu diingat beliau adalah seorang yang mempunyai pengalaman luas sebagai penjawat awam. Beliau telah menjadi Imam Besar Negeri Perak lama sebelum ini. Beliau malah diperkenan istana untuk dilantik semula walau pun selepas melepaskan jawatan untuk menjadi calon PAS. Tahap profesionalismenya dalam menyempurnakan tugas pentadbiran tidak sepatutnya sebegitu mudah diperkelehkan semata-mata kerana pendirian politik peribadinya.
Pemimpin Umno perlu rasional dalam hal ini. Otak mereka perlu lebih terbuka dan menerima perbezaan pendirian dan aliran pemikiran. Bukankah kita sekarang di tengah alunan irama 1Malaysia? Masakan masih ada seorang bertahap wakil rakyat berfikir macam katak bawah tempurung, sehingga melihat semua jawatan kerajaan mesti diisi hanya oleh mereka yang sealiran pemikiran dengan Umno/BN sahaja? 1Malaysia kan untuk semua, bukan untuk satu parti saja!
Lagi pun pelantikan Sheikh Mohamad Nor ke jawatan Pengarah JAIP juga membabitkan perkenan istana. Selaku Pengarah JAIP beliau juga menyertai Raja Dr Nazrin dalam MAIAMP selaku Setiausaha.
Ertinya bidang tugas dan tanggungjawab beliau saling berkait dengan pihak istana. Maka apabila Umno mempertikaikan apa-apa keputusan dan arahan pentadbiran dibuatnya, apakah itu juga tidak boleh dikaitkan sebagai menghina pihak istana yang telah memperkenankan pelantikan beliau?
Kalau dalam kes pelantikan Menteri Besar Perak (apa nama dia tu?) dan kes mufti Perak tadi, Umno mendakwa mempertikaikan mereka sama ibarat mempertikai istana yang memperkenan pelantikan mereka. Apakah Umno tidak berpegang kepada hukum sama dalam kes Pengarah JAIP ini?
Paling penting sekali, sepatutnya dalam apa juga pertarungan politik, Umno/BN perlu gentlemen. Hadapilah parti lawan secara anak jantan dan bermaruah. Berhentilah daripada tabiat buruk yang ‘sikit-sikit heret istana’ dalam isu politik. Soalnya, apakah BN/Umno masih ada maruah untuk akui keadaannya yang nazak dan amat terdesak mengharapkan bantuan pihak lain?
1 ulasan:
apapasal amno xbley heret istana dalam politik???? orang buta dan tak sekolah pun tau yang rajagopal tu sendiri dah amno.... tula rajagopal x sedar diri, makan enak dan pakai cantik hasil keringat rakyat marhaen. cuba bagitau rajagopal mana yang ada gugur keringat kebumi untuk mencari rezeki yang halal??? semuanya menganga dan menyelinap celah kangkang!!! apa nak heran kalau amno heret mereka dalam politik? heret dan seret la macam anjing semaumu.......
Catat Ulasan