KUALA LUMPUR - Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan perselisihan faham antara Naib Presiden PKR, Azmin Ali dengan Datuk Zaid Ibrahim bukan masalah besar kerana ia boleh terjadi kepada mana-mana pemimpin.
Menurutnya, beliau juga pernah berselisih faham dengan pemimpin Pakatan Rakyat (PR) yang lain sebelum ini tetapi disebabkan komitmen tinggi terhadap rakyat, perkara ini boleh diselesaikan secara baik dengan berunding.
“Ini bukan konflik MCA, bukan konflik MIC mahupun peperangan dalam UMNO, perkara ini menjadi besar kerana digembar-gemburkan oleh media yang dikawal UMNO-Barisan Nasional (BN),” katanya kepada media selepas menghadiri Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri anjuran PKR Lembah Pantai di sini hari ini.
Katanya lagi, PKR sentiasa berpendirian bahawa mana-mana pemimpin pusat boleh datang ke majlis-majlis anjuran negeri atas pelawaan seperti mana beliau hadir ke rumah terbuka di mana-mana sahaja.
“Zaid boleh hadir ke mana-mana majlis atas pelawaan PKR negeri dan ini adalah pendirian kita,” katanya.
Selain itu, Anwar yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh turut menegaskan andaian sesetengah pihak yang berpendapat pemegang jawatan pengerusi negeri akan dilantik menjadi Ketua Menteri atau Menteri Besar adalah tidak betul kerana jawatan tersebut boleh berubah bila-bila masa.
“Kita beri tempoh sehingga 25 Oktober ini untuk tentukan PKR negeri memilih siapa yang akan mengetuai PKR negeri Sabah.
“Perkara yang paling penting adalah penerimaan semua pihak dan bukannya popular di satu-satu tempat sahaja,” katanya.
Isu ini timbul apabila Azmin dikatakan tidak senang dengan peranan Zaid yang akan dihantar ke Sabah berselindung di sebalik perjumpaan sambutan Aidifitri untuk menyelesaikan penolakan ketua-ketua bahagian terhadap Azmin, yang dilantik sebagai pengerusi Majlis Pimpinan Negeri Sabah.
Sehubungan itu, Zaid telah membuat pengumuman mengejut untuk bercuti selama enam bulan berkuat-kuasa serta-merta.
Dalam perkembangan lain, Anwar yang juga Ketua Pembangkang di Parlimen turut menyifatkan UMNO melakukan pindaan perlembagaan parti semata-mata untuk kelangsungan hidup parti tersebut dan BN.
Menurutnya, ia dibuat untuk memberi gambaran kepada rakyat bahawa UMNO bersungguh-sungguh mahu membanteras politik wang sedangkan perkara lain seperti sistem kehakiman, polis dan media langsung tidak berubah.
“Walaupun mereka menukar polisi dan agenda parti mereka, bagaimana pula dengan sistem-sistem yang dikawal oleh UMNO-BN, semua ketua adalah dari muka-muka lama, contohnya seperti Ketua Polis Negara (Tan Sri Musa Hassan) yang dilantik semula, jadi perubahan apa yang mereka cakapkan?
“Oleh itu mereka sanggup buat apa sahaja demi kelangsungan hidup UMNO, kelangsungan hidup pemimpin-pemimpin UMNO dan memanjangkan sedikit riwayat hidup mereka,” katanya.
Selain itu, beliau turut menjelaskan UMNO sanggup melakukan perubahan tersebut kerana perjuangan rakyat yang dibawa oleh PKR dan PR selama ini telah menggerunkan mereka.
“Antara ketuanan Melayu dengan ketuanan rakyat, saya berdiri di sebelah ketuanan rakyat kerana perjuangan ini lebih besar maknanya.
“UMNO harus faham dan PR juga harus memahami konsep ini kerana sekiranya kita mahu menang, inilah perjuangan yang kita harus bawa,” katanya.
Ditanya sama ada PKR turut melakukan pindaan terhadap parti, Anwar menjawab PKR selama ini jauh lebih telus dari UMNO tetapi sedikit pengubahsuaian harus dilakukan.
“Kita akan ubah sedikit, isunya ialah korupsi, adakah mereka (UMNO) serius untuk membanteras korupsi seperti kita, sudah tentu tidak,” katanya.
Pada Perhimpunan Agung UMNO minggu lalu, tujuh pindaan perlembagaan parti telah diluluskan untuk mengubah kaedah pemilihan bagi jawatan parti supaya terbuka dan tanpa kuota dalam usaha membanteras politik wang dan menjadikan UMNO sebuah parti yang benar-benar bersih.SH
Tiada ulasan:
Catat Ulasan