Sejak isu Kota Siputeh tercetus , UMNO khabarnya bukan sahaja termimpi-mimpikan tetapi mengigau untuk meragut Kedah.Dengan kedudukan kerusi PAS 16 , BN 14, PKR 4, DAP 1 dan Bebas 1 – ramai calon UMNO mahu mandi bunga mencuba nasibApa tidaknya. Abu Hassan Sarif ADUN Siputeh sangat banyak masalahnya. Ia sedang uzur. Banyak mesyuarat UMNO dan juga DUN diabaikannya. Pengundi kawasan merungut sukar menemuinya.
Ada kakitangan kerajaan yang memberitahu, jika berkesempatan, ia akan hadir mesyuarat tindakan Daerah Kubang Pasu. Di sana nanti, ia akan mengambil kesempatan melanggar kromo jabatan-jabatan yang pada fikirannya tidak betul.
Ramai kakitangan kerajaan melahirkan kekesalan terhadap sikapnya itu.Itu sebabnya, Mukhriz Mahathir , Shafie Apdal dan lain-lain pemimpin UMNO dan BN mendiamkan diri sehingga ke saat ini. Mereka laksana burung diam dalam sangkar – tiada faedah membela Abu Hassan.
Mereka mahu Abu Hassan pergi meninggalkan Kota Siputeh tanpa merasakan dirinya tidak dikehendaki oleh parti. Bagi UMNO yang yakin untuk menang kerusi itu dengan nyahnya Abu Hassan, harapan mereka agar ayam dapat, musang pun dapat.
Malangnya SPR telah mencampur mulut urusan yang tidak patut ia buat keputusan.
UMNO meracau-racau siang dan malam mahukan tempat Abu diganti. Ada yang mencadangkan supaya Mukhriz Mahathir diletakkan di DUN tersebut sebagai persediaannya menjadi Menteri Besar Kedah yang kesebelas.
Mahadzir Khalid anak emas Abdullah Badawi yang penyombong itu sudah tentu tidak akan kembali ke politik Kedah. Lebih-lebih lagi apabila Tun Mahathir beberapa hari yang sudah mengatakan bahawa dia salah seorang yang cuba mengusirnya keluar dari UMNO satu masa dahulu.
Bashah Hanipah ADUN Bakar Bata merangkap Timbalan Pengerusi UMNO Kedah yang sentiasa kemas dari segi pakaiannya, dikatakan cukup selekeh dari segi kerjanya. Beberapa penggal menjadi ADUN dan Exco, habuk pun tarak.
Apapun untuk Mukhriz menjadi MB Kedah dalam waktu terdekat, bbeerapa ADUN Pakatan Rakyat perlu menyeberang ke Barisan Nasional. Siapa yang agaknya bercadang melintas jambatan atau membuat lompatan jarak jauh itu ?
Jika setakat bermimpi sahaja, tidak akan ada yang tahu. Inikan riuh rendah sewaktu tidur didengar pula orang, seperti ayam di Jitra bertelur sebutir, riuh pula senegeri Kedah.
Pastinya Khairy Jamaludin sedang menanti perkembangan ini. Jika Mukhriz diletakkan di negeri, KJ dapat bangun, mengembangkan sayapnya ke peringkat kebangsaan dengan lebih selesa.
Itupun jika Najib memberikannya ruang. Percaturan politik Kedah semakin menggelojak. Ustaz Azizan Abd Razak dan PAS ibarat air yang tenang meneropong perkembangan ini.
UMNO harus berwaspada, jangan-jangan semua umpan habis dimakan - seekor ikan pun tak kena!Detikdaily
Tiada ulasan:
Catat Ulasan