KOTA BHARU, 6 Ogos (Hrkh) – Pelajar Institut Latihan Perindustrian (ILP) Pengkalan Chepa, yang cedera di bahagian mata kanan akibat terkena serpihan kelosong gas pemedih mata menuntut ganti rugi sebanyak RM10 juta
Muhammad Huzaifah Mohd Noor, 18 mengalami kecederaan itu semasa rusuhan di perkarangan Stadium Sultan Mohamad Ke IV, April lalu ketika berakhir perlawanan bola sepak Piala FA.
Saman itu difailkan menerusi peguamnya, Shaharuddin Mohamed dari Tetuan Shaharuddin Hidayu & Marwaliz di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi jam 3.10 petang tadi.
Pelajar berkenaan menamakan Pegawai Medan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU), Asisten Superintendan Sathasivam a/l Maniam sebagai defendan pertama, defendan kedua – Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan kerajaan Malaysia defendan ketiga.
Mohd Huzaifah menuntut ganti rugi am di atas kecederaan parah di mata kanannya akibat terkena tembakan peluru gas pemedih mata sehingga menyebabkan buta.
Tuntutan tersebut sebagai ganti rugi teruk dan teladan atau apa-apa jumlah difikirkan sesuai oleh mahkamah di atas kecuaian defendan.
Dalam tuntutan itu plaintif mendakwa pada 7 April 2009, jam 5 petang beliau bersama sepupunya, Abdul Rahman Husin berniaga burger dan minuman di sebelah Restoran Faridah, Stadium Sultan Muhammed IV ketika perlawanan bola sepak Kelantan dengan Negeri Sembilan.
Plaintif mendakwa pada jam 11.30 malam ketika mengemas barangan jualan, tiba-tiba sepasukan anggota FRU yang diketuai defendan pertama, yang mana seorang anggotanya melepaskan tembakan gas pemedih mata ke arahnya.
“Tembakan itu tepat mengenai bahagian mata kanan saya sehingga mengalami cedera parah dan teruk dan telah disahkan buta,” katanya.
Sementara itu, ibunya Hajah Kamariah Hari, 60, memberitahu walau pun tuntutan RM10 juta dibuat ia tidak sama dengan kehilangan pancaindera anaknya.
Menurutnya akibat peristiwa tersebut anaknya secara tidak langsung telah bergelar Orang Kurang Upaya (OKU).
Kata Kamariah sejak peristiwa itu beliau tidak pernah kering air mata mengenangkan nasib anaknya.
“Walaupun kini anak saya masih trauma dengan tragedi itu, namun Alhamdulillah dia sudah dapat melalui kehidupan sehariannya seperti sedia,” ujarnya.
Akibat perisitiwa tersebut beliau dimasukkan ke Hospital Raja Perempuan Zainab (II). Plaintif merupakan anak bongsu daripada 12 adik beradik.
Beliau juga menuntut faedah di atas jumlah penghakiman pada kadar 8 peratus setahun dari tarikh penghakiman dibuat.
http://www.harakahdaily.net
Tiada ulasan:
Catat Ulasan