Penduduk berdemo di hadapan Loji Air Kampung New Zealand
MARAN: Krisis air yang berlarutan tanpa penyelesaian
melibatkan lebih 5,000 penduduk di tujuh kawasan penempatan yang
mendapatkan bekalan air bersih dari Loji Air Kampung New Zealand dekat
sini, menimbulkan kemarahan mereka.
Serentak dengan itu, beberapa orang penduduk semalam tampil membantah
secara aman di hadapan loji air berkenaan sambil mendesak Pengurusan
Air Pahang (Paip) mengambil langkah segera bagi menangani masalah
gangguan bekalan tersebut yang berlarutan sejak 10 tahun lalu.
Seorang wakil penduduk, Sheikh Abdul Halim Sheikh Hassan, 45,
berkata, catuan bekalan air yang dilakukan pada setiap hari untuk tempoh
tertentu sehingga menjejaskan aktiviti harian penduduk.
Menurutnya, keadaan bertambah menyulitkan penduduk apabila bekalan
air terputus untuk beberapa hari pada setiap bulan dengan jadual
penyaluran bekalan air yang tidak menentu.
“Apabila dibuat komplen, kami diberitahu bahawa catuan air terpaksa
dibuat bagi membolehkan semua rumah penduduk dapat air kerana sumber air
mentah terhad dan tidak dapat menampung keperluan penduduk
“Tekanan air yang rendah turut memberi kesan pada rumah di kawasan
tinggi. Perkara ini perlu diatasi segera demi keselesaan penduduk kerana
ia adalah keperluan utama bahkan untu kehidupan.
“Sebelum ini diuar-uarkan telah beberapa kali kerja naik taraf loji
tetapi nampaknya tidak memberi sebarang perubahan positif kerana
gangguan bekalan air tetap berlaku seperti biasa,” keluhnya.
Sheikh Abdul Halim berkata, kekerapan catuan bekalan air yang berlaku
setiap hari sama ada siang atau malam sehingga menjejaskan tahap
kebrsihan apabila pelbagai aktiviti harian tidak dapat dilakukan sengan
sempurna.
Menurutnya, pakaian tidak dapat dicuci menggunakan mesin mengikut
kesesuaian waktu penduduk memandangkan jadual bekalan air tidak menentu.
“Baru-baru ini ramai kanak-kanak kena jangkitan Rotavirus dan apabila
air tiada, pakaian kotor dan berbau kesan cirit-birit serta muntah
tidak dapat dicuci segera.
“Pinggan mangkuk terpaksa dibiarkan di sinki sehingga air ada semula.
Bukan semua rumah ada tangki kerana nak beli tangki air bukannya murah.
“Air keperluan penting supaya kita dapat menjaga kebersihan dengan
baik. Sebab itu kalau tiada air macam-macam penyakit boleh menular
terutamanya kepada kanak-kanak,” jelasnya.
Tambahnya, krisis air yang menimpa penduduk di sini turut amat
merumitkan apabila ada penduduk mengadakan majlis kenduri kahwin dan
peniaga warung makan yang berniaga sebagai sumber rezeki utama.
Sheikh Halim membayangkan, jika masalah seperti ini berlaku di
Selangor atau Kelantan, beliau percaya akan berlaku demonstrasi setiap
hari dan mendapat liputan televisyen.
Seorang lagi penduduk, Ghazali, berkata masalah air yang dideritai
turut menyebabkan pelajar-pelajar sekolah mengalami masalah lewat ke
sekolah kerana terpaksa mandi di sungai setiap pagi.
“Saya ada tiga anak yang bersekolah. Mereka terpaksa bangun awal
pagi, balik ke kampung untuk mandi dan patah semula ke sekolah, anak
orang lain pun macm tu.
“Jadi sampai bila masalah ini hendak selesai? Kita harap perkhidmatan
air yang sudah swasta ini segera diselesaikan jangan penduduk telefon
pun tak mahu jawap. Bayangkan penduduk yang ada anak kecil, lagi susah,”
katanya.
Kawasan Kampung Felda New Zealand terletak dalam Dewan Undangan Negeri (Dun) Luit dan Parlimen Maran.Hrkh
Tiada ulasan:
Catat Ulasan