KUALA LUMPUR, 5 Dis ― Keluarga kepada Aminulrasyid Amzah yang
ditembak mati oleh anggota polis dua tahun lalu tidak berpuas jati
dengan keputusan Mahkamah Tinggi hari ini yang membebaskan tertuduh,
Koperal Jenain Subi daripada tuduhan menyebabkan kematian remaja lelaki
berumur 15 tahun pada ketika itu.
“Keputusan mahkamah tidak adil. Saya pun tengah duduk baca berita tentang ini.“Memang saya tengok keputusan yang diberikan ini, memang sangat tidak
adil kepada pihak kami,” kata Azura Amzah, kakak kepada Aminulrasyid
apabila dihubungi oleh The Malaysian Insider sebentar tadi.
Semasa mahkamah mengumumkan keputusan pagi ini, Azura dan keluarganya
tidak pergi sendiri untuk mendengar akan tetapi mengikuti perkembangan
melalui internet.
Hakim Datuk Abdul Rahman Sebi memutuskan keputusan tersebut selepas menerima rayuan Jenain (gambar),
49, terhadap sabitan dan hukuman penjara lima tahun yang dijatuhkan ke
atasnya oleh Mahkamah Sesyen di sini pada September tahun lepas.
Dalam penghakimannya, Abdul Rahman berpuas hati anggota polis itu
melepaskan tembakan hanya untuk memberhentikan kereta proton Iswara
dipandu Aminulrasyid dan bukan dengan niat untuk membunuh remaja lelaki
itu.
Abdul Rahman juga berkata tiada kes prima facie dibuktikan ke atas
Jenain dan anggota polis itu tidak sepatutnya dipanggil membela diri.
Pada 13 Sept tahun lepas, Hakim Latifah Mohd Tahar menjatuhkan
hukuman penjara lima tahun selepas mendapati Jenain bersalah melakukan
kesalahan itu.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan Tarian 11/2, Seksyen 11, di sini antara 1.10 pagi dan 2 pagi pada 26 April 2010.
Jenain didakwa mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan yang
memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan denda jika sabit
kesalahan.
Apbila ditanya apakah tindakan seterusnya yang akan diambil oleh
pihak keluarga Aminulrasyid, sambil menangis dengan teresak-esak, Azura
menjawab, “Kami akan bincang balik dengan peguam kami untuk tindakan
seterusnya”.
Kes kematian Aminulrasyid, mendapat liputan meluas dan kecaman
masyarakat selepas remaja itu mati terkena tembakan di kepalanya ketika
dikejar anggota peronda yang sebelum itu mengarahkan beliau
memberhentikan kereta Proton Iswara yang dipandunya.TMI
Tiada ulasan:
Catat Ulasan