SHAH ALAM – Mahkamah Tinggi di sini hari ini mengekalkan sabitan dan
hukuman penjara enam tahun dan denda RM400,000 terhadap Ahli Parlimen
Sabak Bernam, Datuk Abdul Rahman Bakri dan pembantu khasnya, Rosli Busro
kerana membuat lapan tuntutan palsu membabikan RM80,000 bagi
program-program yang tidak dijalankan, empat tahun lalu.
Hakim Datuk Akhtar Tahir membuat keputusan itu selepas menolak rayuan
mereka untuk mengetepikan sabitan dan hukuman yang diputuskan Hakim
Mahkamah Sesyen Azhaniz Teh Azman Teh, 1 Mac lalu.
Selain itu, Akhtar juga menolak permohonan Abdul Rahman dan Rosli untuk
penangguhan pelaksanaan hukuman sebaliknya memerintahkan mereka
menjalani hukuman penjara bermula hari ini.
Akhtar dalam penghakimannya berkata Abdul Rahman menghadapi lapan
pertuduhan membuat tuntutan palsu ketika beliau menjadi Ahli Dewan
Undangan Negeri (Adun) Sungai Air Tawar dan Rosli pula didakwa
bersubahat dengannya melakukan kesemua kesalahan itu.
Menurutnya, hujahan peguam mewakili mereka yang mendakwa keterangan dua
saksi penting dalam kes itu iaitu Mohd Harmizar Sulaiman dan Rizam
Ismail tidak sepatutnya diterima oleh mahkamah atas alasan kedua-dua
mereka merupakan rakan sejenayah.
"Saya telah baca keterangan kedua-dua saksi itu dan saya tidak anggap
bahawa mereka 'accomplice'. Mereka lebih sebagai pak turut atau menurut
apa-apa yang diminta oleh Abdul Rahman dan Rosl serta keterangan mereka
disokong oleh keterangan saksi bebas lain.
"Saya berpendapat hakim Mahkamah Sesyen tidak melakukan kesilapan
apabila menerima keterangan kedua-dua saksi ini. Bedasarkan keterangan
mereka jelas membuktikan kedua-dua tertuduh mempunyai niat untuk membuat
tuntutan palsu," katanya.
Akhtar berkata ini terbukti apabila wang yang diterima bukan digunakan
untuk program atau aktiviti seperti dalam tuntutan tetapi lebih kepada
untuk kegunaan sendiri.
"Peguam tertuduh ada berhujah bahawa tuntutan berkenaan bukan palsu
kerana program itu telah diadakan tetapi bukan di tempat yang dinyatakan
seperti dalam tuntutan itu. Bagaimanapun saya lebih cenderung
menyatakan ia adalah tuntutan palsu.
"Justeru, saya puas hati dengan keputusan hakim Mahkamah Sesyen dan
tiada kesilapan yang dibuat oleh hakim tersebut serta rayuan terhadap
sabitan serta hukuman ditolak dan hukuman dikekalkan," katanya.
Abdul Rahman, 47, didapati bersalah menggunakan lapan dokumen
peruntukan palsu iaitu surat Adun mengandungi butiran bagi tuntutan
program dan aktiviti yang tidak pernah dijalankan.
Tuntutan itu membabitkan pembelian hadiah, cenderamata dan jamuan
program motivasi pelajar di peringkat Dewan Undangan Negeri Sungai Air
Tawar, program mesra rakyat dan hari keluarga di Dewan Simpang 4 Bagan
Nokhoda Omar (BNO), program perdana peringkat mukim BNO, program mesra
rakyat dan sambutan Maulud Nabi serta program mesra rakyat hari keluarga
guru kemas.
Setiap tuntutan palsu itu membabitkan RM10,000.Semua perbuatan itu dilakukan Abdul Rahman ketika berkhidmat sebagai
Adun Sungai Tawar di Pejabat Daerah Sabak Bernam, antara 21 Januari
hingga 12 Februari 2008.
Sementara itu, Rosli, 44, juga didapati bersalah atas lapan tuduhan bersubahat dengan Abdul Rahim.Mereka bersalah mengikut Seksyen 11(c) Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan
boleh dihukum mengikut Seksyen 16 akta sama yang memperuntukkan hukuman
penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai
suapan atau RM10,000, mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan
Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Abdul Razak Musa manakala peguam Badrul
Munir mewakili kedua-dua tertuduh.SH
Tiada ulasan:
Catat Ulasan