KUALA LUMPUR 24 Oktober: Pakatan Rakyat (Pakatan) sekali lagi
mengulangi jaminan akan mereformasi sistem pendidikan negara dengan
memberi pendidikan percuma serta menghapuskan pinjaman Perbadanan Tabung
Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) jika membentuk Kerajaan Persekutuan
yang baru.
Pengarah Strategi KEADILAN, Rafizi Ramli berkata, Pakatan mempunyai
beberapa pendekatan untuk mengurus ekonomi antaranya mereformasi
pendidikan, meningkatkan pendapatan rakyat dan mengurus sumber dengan
baik tanpa ketirisan.
“Malaysia perlu bertukar daripada ekonomi yang bergantung kepada
komoditi kepada negara modal insan yang inovatif dan kreatif. Caranya
adalah mereformasi sistem pendidikan, memberi pendidikan percuma dan
menghapus PTPTN,” katanya dalam forum “Bagaimana Kerajaan Pakatan Rakyat
akan membelanjakan wang rakyat” di Dewan Perhimpunan Cina Kuala
Lumpur-Selangor (KLSCH), kelmarin.
Rafizi
berkata, untuk meningkatkan pendapatan boleh guna rakyat, Pakatan
berhasrat melaksanakan gaji minima RM1,100 yang dijangka dapat
melepaskan rakyat daripada garis kemiskinan.
Menurutnya, Pakatan juga akan mengurangkan kos sara hidup antaranya penurunan harga minyak, cukai kereta serta penghapusan tol.
“Sebahagian besar pendapatan rakyat dibelanjakan untuk membayar
ansuran kereta, membayar tol dan minyak. Jika kita dapat mengurangkan
beban ini kita dapat meningkatkan lebihan daripada pendapatan mereka,”
katanya.
Mengupas mengenai kebajikan wanita, Ahli Parlimen Kota Raja, Dr Siti
Mariah Mahmud berkata, Pakatan berhasrat membelanjakan sehingga RM4.5
bilion peruntukan dalam Belanjawan 2013, merangkumi Skim Caruman Wanita
Nasional (SCWN) yang menelan kos RM3 bilion dan Skim Elaun Penjagaan
Anak (SEPA) melibatkan peruntukan RM940 juta setahun.
Menerusi SCWN, beliau berkata, Pakatan berhasrat memberi caruman
sebanyak RM600 setahun kepada suri rumah sebagai persediaan keselamatan
sosial termasuk kematian suami, penceraian atau kurang upaya.
Sementara itu, Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago pula menegaskan,
kajian Bank Dunia menyatakan gaji minima RM1,100 Pakatan tidak akan
memufliskan negara.
Katanya, dasar tersebut mampu mengurangkan penggunaan tenaga kerja warga asing dan meningkatkan kualiti hidup rakyat.
“Satu kajian lain di Indonesia pada 1990 merumuskan perlaksanaan gaji
minima bukan mengurang pengangguran malah dapat mewujudkan perniagaan
baru, peluang pekerjaan dan merapatkan jurang kekayaan,” katanya.KD
Tiada ulasan:
Catat Ulasan