MELAKA: BN telah gagal dalam 6 ujian anti-rasuah iaitu
pengisytiharan harta secara terbuka, pelaksanaan tender tebuka, melarang
ahli keluarga daripada urusan perniagaan dengan kerajaan, menggugurkan
pemimpin BN yang hidup mewah, melindungi peniup wisel yang tulen dan
berterus terang tentang sumbangan politik.
Justeru, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, rakyat Malaysia
kecewa kerana Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menganggap
sumbangan RM40 juta kepada Umno Sabah dibuat dengan cara yang betul dan
juga menolak dakwaan kekayaan luar biasa Ketua Menteri Sarawak Tan Sri
Taib Mahmud.
Lagi satu kes, ujarnya adalah kehidupan luar biasa Ketua Menteri
Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam, di mana seramai 130,000 orang tetamu
telah dijamu dalam kenduri kahwin yang memecahkan rekod.
“Sehingga hari ini, Ali Rustam gagal menjelaskan siapa yang menaja
kenduri mega tersebut, yang Ali Rustam mengatakan hanya menelan belanja
RM600,000,” ujarnya dalam ucapan pada Konvensyen Tahunan DAP Melaka di
sini, hari ini.
Sehubungan itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan berkata, DAP mencadangkan enam langkah untuk membanteras rasuah.
Pertama, ujar beliau pengisytiharan harta secara terbuka hendaklah diinstitusikan.
Ini, katanya telah dilakukan di Pulau Pinang di mana Ketua Menteri
dan seluruh barisan Exco negeri telah mengisytiharkan harta secara
terbuka, malah diiktiraf oleh firma akauntan antarabangsa.
“Jika Pulau Pinang boleh melakukannya, kenapa Perdana Menteri dan
Kabinet Persekutuan atau Ketua Menteri Sarawak dan barisan Exconya tidak
boleh buat yang sama?” soal Lim yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang.
Kedua, katanya pemimpin-pemimpin BN yang hidup mewah dengan memiliki
rumah-rumah mewah, kereta, akaun bank peribadi yang besar di luar negeri
harus digugurkan; ketiga, ahli keluarga harus dilarang daripada urusan
perniagaan dengan kerajaan untuk mengelak lagi satu skandal RM250 juta
"lembu dan kondo".
“Keempat, peniup wisel tulen yang membongkarkan kes rasuah yang
mengakibatkan dakwaan mahkamah harus dilindungi dan bukan dianiaya.
“Kelima, BN harus berterus terang tentang sumbangan politik seperti
sumbangan RM40 juta kepada Umno Sabah. Akhirnya, tender terbuka harus
dilaksanakan,” katanya lagi.
Beliau menambah, tanpa tender terbuka, projek-projek awam dirunding
terus dan dianugerahkan kepada para kroni, lantas menyebabkan kerugian
dana awam seperti jualan murah tanah Pangkalan Tentera Udara Sungai
Besi.Hrkh
Tiada ulasan:
Catat Ulasan