SHAH ALAM, 9 April — Pentadbiran Najib harus menarik pengundi
muda kerana pemberian wang tunai daripada kerajaan tidak memberikan
kesan kepada mereka, kata Dr Mohd Khir Toyo.
Bekas Menteri Besar Selangor itu berkata pemberian wang tunai itu
memang mewujudkan “rasa senang” rakyat Malaysia, namun ia hanya dirasai
oleh mereka yang berumur 50 tahun ke atas. Tawaran yang dibuat Datuk
Seri Anwar Ibrahim untuk memansuhkan pinjaman Perbadanan Tabung
Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sekiranya Pakatan Rakyat (PR)
memerintah turut memberikan tekanan kepada kerajaan Barisan Nasional.
Khir (gambar)
turut memberi amaran kerajaan BN mempunyai tugas sukar — bagaimana
hendak menarik perhatian mereka sedangkan pengundi lingkungan 21-30 dan
30-50, sudah “muak dengan politik”.
“Rasa senang itu ada namun terhad kepada pengundi berusia 50 tahun ke
atas ... mereka sudah sememangnya menentukan siapa yang akan mereka
undi.
“Mereka berusia lingkungan 30 ke 50 masih belum membuat keputusan,
tapi lebih bahaya adalah mereka yang berumur 21-30 yang tidak minat
politik,” katanya kepada The Malaysian Insider dalam satu temuramah eksklusif baru-baru ini.
“Saya beritahu perdana menteri, (Datuk Seri Najib Razak) pengundi 21
ke 30 tahun adalah masalah. Mereka tidak menikmati faedah daripada BR1M
... bagaimana hendak menarik perhatian kumpulan ini,” kata Khir merujuk
kepada Bantuan Rakyat 1 Malaysia.
Najib telah mengumumkan sejumlah RM500 untuk isi rumah berpendapatan
kurang RM3,000 sebulan dalam pembentangan belanjawan Oktober lalu, bagi
mengurangkan beban peningkatan kos sara hidup.
Pemberian wang tunai besar-besaran itu dianggarkan diterima oleh 5.3
juta isi rumah dengan kos RM2.3 bilion. Perdana menteri bulan lalu
menjelaskan 80 peratus, atau 3.74 juta daripada 4.78 juta isi rumah
memohon untuk BR1M sehingga pada 1 Mac, menjadikan sejumlah RM1.92
bilion sudah diserahkan.
Bukti kurangnya sokongan terhadap BN jelas Khir adalah “tidak semua belia” menyokong sayap pemuda parti Pemuda Umno.
Tambah Khir, walaupun pemberian-pemberian daripada kerajaan
“diterima”, pengundi muda mahukan penyelesaian jangka panjang bagi
menangani masalah peningkatan harga barang.
“Pengundi muda professional berumur 40 dan ke bawah adalah kumpulan
kritikal, mereka semakin muak, kerana kita menghadapi banyak sangat
masalah ... Lebih-lebih lagi perbezaan pendapatan dengan kos kehidupan.
“Tiada penyelesaian mutlak diberi pemimpin kedua-dua parti, Pakatan
Rakyat atau kerajaan,” tambahnya dan menjelaskan janji Anwar untuk
menurunkan harga minyak jika PR memerintah.
“Sekiranya Anwar kata beliau akan turunkan harga minyak, saya tidak rasa harga gula akan turun, roti canai tidak akan turun.
“Sesetengah isu yang perlu diambil berat adalah perkhidmatan awam
yang murah ... saya tahu Transit Aliran Deras (MRT) sedang dalam
pembinaan tapi dalam tempoh interim, apa tindakan yang dibuat untuk
meningkatkan mutu pengangkutan awam?” soal Khir.
Adun Sungai Panjang ini menjelaskan beliau kerap berjumpa pengundi
muda dan kebanyakan merek sudah jelik deng, politik dan ahli politik
kedua-dua belah pihak dan perpecahan politik ini memusnahkan mereka.“Masyarakat semakin muak,” katanya sebelum menamatkan sesi temuramah berkenaan.
BN menghadapi pilihan raya terburuk pada 2008 apabila hilang lima
negeri kepada Pakatan Rakyat termasuk kehilangan dua per tiga majoriti
di Parlimen.
Namun begitu, Perdana Menteri Najib memperlihatkan beliau akan
melaksanakan pilihan raya dalam masa terdekat, ditambah keyaki,an yang
tinggi terhadap BN. The Malaysian Insider difahamkan pilihan raya hanya akan dibuat awal Jun dengan Parlimen dijangka akan dibubarkan pertengahan Mei depan.TMI
Tiada ulasan:
Catat Ulasan