KUALA LUMPUR, 28 Mac: PKR membantah sekeras-kerasnya
tindakan Barisan Nasional seperti yang diumumkan oleh Menteri Pertanian
dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar untuk menjemput bidaan baru
bagi memilih kontraktor mengambil alih operasi Pusat Fidlot Kebangsaan
(NFC).
“Kebelakangan ini, tindakan-tindakan Barisan Nasional secara jelas
bertujuan untuk menutup secepat mungkin skandal ini tanpa merungkai soal
pertanggungjawaban semua pimpinan tertinggi Barisan Nasional yang
terbabit,” kata Pengarah Strategi PKR, Mohd Rafizi Ramli dalam satu
kenyataan.
Beliau memberi beberapa contoh tindakan yang diumumkan tetapi tidak dilaksanakan.
Ini, katanya termasuk pengumuman pembekuan aset oleh Perdana Menteri
tetapi operasi, perbelanjaan dan penstrukturan aset di dalam NFC dan
syarikat-syarikat berkaitan terus berjalan seperti biasa, bertujuan
untuk menghapuskan bukti penyelewengan.
Selain itu, tambah Rafizi, pengumuman perlantikan juruaudit bebas
oleh Timbalan Perdana Menteri tetapi sehingga kini skop audit, kepada
siapa juruaudit akan bertanggungjawab dan bilakah laporan audit akan
dibentangkan kepada Dewan Rakyat tidak diketahui rakyat.
“Saya khuatir audit yang dijalankan ini hanyalah untuk mengenalpasti
segala penyelewengan yang berlaku agar bukti-bukti penyelewengan dapat
dihapuskan secepat mungkin,” ujarnya.
Beliau menambah, persoalan pokok dalam skandal NFC ialah keterlibatan
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang bertanggungjawab
menganugerahkan projek bernilai RM250 juta secara terus kepada NFCorp
yang beliau sedia maklum tidak mempunyai pengalaman dan dimiliki
keluarga rakan karibnya, Datuk Seri Shahrizat Jalil.
Tambahnya, tindakan itu mencerminkan kecuaian Perdana Menteri dan memungkinkan berlakunya penyelewengan dan pecah amanah.
“Perkara ini masih belum dijawab oleh Perdana Menteri. Malah,
tindakan beliau mahu membuka bidaan baru jelas membuktikan hasrat beliau
untuk menutup kesalahan beliau yang menganugerahkan kontrak kepada
pihak yang tidak layak,” ujarnya lagi.
Justeru, tegasnya PKR berpendirian bahawa selagi segala persoalan
bersabit pertanggungjawaban Perdana Menteri dan pegawai-pegawai
tertinggi tidak disiasat dan dirungkai, kerajaan tidak boleh membuka
bidaan baru kerana ia cubaan memadamkan kesalahan Perdana Menteri.
“Oleh kerana niat Perdana Menteri untuk menutup kesalahan beliau itu
adalah jelas, saya tidak ada pilihan lain kecuali menumpukan kembali
fokus untuk membongkar penyelewengan-penyelewengan lain yang telah dan
masih berlaku di dalam NFC,” katanya lagi.
Beliau menegaskan, hanya dengan desakan rakyat yang memuncak barulah
Perdana Menteri akan menerima pertanggungjawaban, seperti mana yang
telah dibuat oleh Shahrizat.
Siri pembongkaran akan diteruskan bermula minggu depan, katanya.Hrkh
Tiada ulasan:
Catat Ulasan