Oleh RUHI HAYATI THANI
DALAM Perhimpunan Agung Umno, Timbalan Presidennya, Muhyiddin Yassin telah membacakan doa
Rabitah yang boleh ditemui dalam Al-Ma’thurat. Ia disusun oleh Imam
Hasan Al- Banna. Hal Umno mesti berjihad dan berinfak juga bergema di
bibir Muhyiddin yang menjadi imam saat mewiridkan lafaz sumpah bai’ah
itu.
Nampaknya Umno mula belajar
mengenali Islam Haraki walaupun para pendukung jemaah-jemaah Islam
inilah yang mereka tindas selama ini. Presiden Umno, Najib Razak dengan
riak wajahnya yang bersahaja, telah berucap hal agama de ngan
memberikan tumpuan terhadap ungkapan Wasatiyyah beberapa hari sebelum
perhimpunan itu. Semua ucapan ini cuma hiasan bagi mewajahkan Umno
sebagai sebuah parti bernuansakan Islami. Realitinya, ia tidak boleh
mengasuh pun MCA dan mendorongnya ke arah memahami Islam, khasnya dalam
mengangkat permasalahan hukum hudud.
Misalnya,
dalam forum hudud pada 4 Disember lalu di Wisma MCA, Presiden MCA, Dr
Chua Soi Lek berkata, Malaysia sukar mencari pelabur disebabkan rekod
hak asasi Malaysia merosot diakibatkan oleh hukuman hudud yang dianggap
kejam. Lalu, kata beliau, para pelabur akan lari dari negara ini.
Bagi mengimbangi kelemahan Umno yang sangat ketara ini, maka di
sinilah peranan Perkasa. Setiausaha Agung Perkasa Syed Hassan Syed Ali
contohnya telah menyelar Soi Lek sebagai celopar. Katanya, Soi Lek
kabur tentang hudud ketika mendakwa pelaksanaan hudud membawa
kemusnahan ekonomi.
Maka, beliau ingin Umno
sebagai ‘imam’ Barisan Nasional ‘mengajar mulut celopar’ Soi Lek itu.
Cara ‘mengajar’ itu, kata Syed Hassan, ialah Umno perlu menasihati Soi
Lek supaya menarik semula kenyataannya baru-baru ini dalam forum hudud
itu.
Untuk pengetahuan Syed Hassan, Umno sudah
lelah dan kalah dalam pusingan awalnya ketika Najib tunduk akur kepada
MCA. Di sini, tiada ertinya lagi jika beliau mengemis bantuan Umno
untuk menginsafkan MCA. Kesilapan Syed Hassan ialah beliau seperti
tidak mengerti bahawa Umno telah kecundang.
Lalu, apa diharapkan lagi kepada Umno yang sudah KO dibelasah MCA dalam sayembara mempertahan hudud ini?
Bagaimanapun, Syed Hassan tidak meminta Soi Lek meminta maaf sebab
sedar, pemimpin MCA itu tidak faham, tapi sebaliknya Soi Lek perlulah
menarik semula kenyataannya dalam sehari dua ini. Jika tidak, kata Syed
Hassan, Perkasa akan ‘mengajar MCA secukupnya pada pilihan raya umum
ke-13.’
Kalau maksud Syed Hassan itu adalah
Perkasa tidak akan undi calon MCA, maka kita tertanya-tanya juga
bagaimana Perkasa mahu ajar MCA sedangkan Umno sudah bersumpah baiah
dalam Perhimpunan Agung baru-baru untuk tidak mengundi calon lain,
melainkan Umno BN saja. Hal inilah yang mesti beliau perjelaskan kepada
setiap ahli Umno yang menganggotai Perkasa itu.
Bagi mengukur sukat kejujuran Syed Hassan dan Perkasa termasuklah Umno
ini, maka umat Islam perlu selalu menguji dan menyemak kenyataan mereka
berulangkali. Contohnya, kata Syed Hasan, Perkasa sokong hudud kerana
ia adalah hukum Allah. Yang ditolak Perkasa hanyalah hudud PAS.
Kenyataan ini persis ucapan Dr Mahathir Mohamad yang enggan
melaksanakan hudud yang kerap dinisbahkan kepada hudud PAS.
Yang jelasnya hingga kini, Umno tidak berdaya membawa hudud yang
didakwa sebagai hudud Allah itu. Tambah Syed Hassan, kalau hudud
dilaksanakan dengan tidak tepat mengikut prinsip sebenar, akan berlaku
ketidakadilan. Kata beliau, banyaklah terpesong daripada hudud sebenar
yang ingin dilakukan oleh PAS ini. Jika hudud sebenar dilaksanakan,
negara bertambah baik, katanya.
“Sudah pasti
jenayah akan kurang, rasuah akan sifar, rogol dan buang bayi tak akan
terjadi kerana ada hudud sebenar. Jika ini boleh berlaku, ia membuat
negara aman damai. Cuma Perkasa percaya negara belum bersedia
melaksanakan hudud sebenar,” kata beliau tanpa menjelaskan kesanggupan
NGO itu sama ada mereka sudi berkempen atau tidak ke arah pelaksanaan
hudud yang sebenarnya.
Syed Hassan mungkin
pernah dengar sebelum ini bahawa ada kepemimpinan PAS meminta kepada
umum agar diberikan peluang melaksanakan hudud di Kelantan sebagai
percubaan.
Namun, Umno pula yang menolak ‘pilot
project’ itu dengan berkata, bahawa kini bukan masanya yang sesuai
untuk berbuat demikian. Maka, kepada Syed Hassan, kita bangunkan
pertanyaan – apakah model hudud sebenar jika benar mereka boleh
tampilkan?
Dan, jika mereka berkata bahawa
negara atau masyarakat belum bersedia, soalan kita - adakah Syed Hassan
ingin berkempen dan memberi penerangan ke serata negara dalam upaya
membangunkan fikiran rakyat agar menerima hudud sebenar yang Perkasa
perkatakan itu.Detikdaily
1 ulasan:
takde punye diorg nak jawab....
Catat Ulasan