OLEH : WAN NORDIN WAN YAACOB
KELANTAN antara negeri yang pada
pandangan Laporan Ketua Audit Negara bagi tahun 2010 menggayakan
prestasi penjimatan cemerlang yang diamalkan pentadbiran Menteri Besar,
Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Kecemerlangan menjayakan penjimatan dan seterusnya mengurangkan
ketirisan dalam pelaksanaan projek membantu rakyat terbukti dalam
laporan tersebut yang dikeluarkan barubaru ini
Laporan yang
dikeluarkan oleh Tan Sri Amrin Buang mendedahkan mengenai Negeri
Kelantan bagi tahun 2010 lalu adalah meliputi aspek penyata kewangan
kerajaan negeri dan pengurusan kewangan jabatan/ agensi.
Laporan itu disediakan hasil daripada pengauditan yang dijalankan di beberapa Jabatan/ Agensi Negeri sepanjang tahun 2010.
Di antara agensi terlibat 10 jabatan ialah Pejabat Perbendaharaan
Negeri, Pejabat Menteri Besar dan Setiausaha Kerajaan, Jabatan Pengairan
Dan Saliran Negeri, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam, Jabatan Pertanian
Negeri, Jabatan Kerja Raya Negeri, Jabatan Perkhidmatan Veterinar
Negeri, Jabatan Perikanan Negeri Kelantan, Jabatan Perhutanan Negeri,
dan Pejabat Pembangunan Negeri.
Kata laporan itu,
kesemua jabatan yang diaudit itu boleh dikatakan hampir 90 peratus
perkhidmatannya adalah terlibat secara langsung dalam menyediakan
kemudahan untuk rakyat.
Berdasarkan peruntukan
bajet 2010, kesemua bajet bagi 10 jabatan yang diaudit adalah berjumlah
RM192.25 (termasuk perbelanjaan mengejut).
“Namun
apa yang berlaku, perbelanjaan sebenar ialah sebanyak RM168.24. Maka ia
boleh dianggap sebagai penjimatan kira-kira RM24 juta. Kesan penjimatan
itu, maka nilai defisit bajet kerajaan negeri dapat diatasi,” kata
laporan tersebut.
Demikian pula, dilaporkan akaun
kena bayar (AKB) negeri Kelantan turut menurun, iaitu pada tahun 2010,
jumlah AKB adalah RM15.99 juta berbanding RM38.87 juta pada tahun 2009.
Ia adalah penurunan sebanyak RM22.88 juta atau 58.9 peratus yang mana
sekali gus boleh dikatakan beban tanggungan hutang (apa-apa perbelanjaan
yang sepatut dibayar) telah menunjukkan prestasi baik dari segi beban.
Ia berpunca daripada pengurusan membayar yang dianggap cekap yang
disokong oleh sumber kewangan yang ada dan ketulusan amalan kewangan,
kata laporan itu lagi.
Demikian juga, kerajaan
Kelantan dilihat turut melaksanakan strategi pembangunan masa depan yang
menjamin penerusan sumber hasil negeri, iaitu perhutanan. Ia dapat
dilihat menerusi Kumpulan Wang Pembangunan Hutan yang diwujudkan.
Kumpulan wang ini bertujuan untuk melaksanakan pelbagai projek seperti
menyedia, melaksana dan mengkaji semula rancangan pengurusan hutan
negeri.
Pada tahun 2010, baki Kumpulan Wang ini
meningkat sebanyak RM3.67 juta atau 8.2 peratus menjadi RM48.25 juta
berbanding RM44.58 juta pada tahun 2009.
Laporan itu juga menyebut 14 agensi kerajaan negeri Kelantan pada tahun 2009 dikira mencapai tahap akauntabiliti cemerlang.
Berikut adalah ringkasan terhadap laporan Ketua Audit Negara 2010 bagi Negeri Kelantan:
Pengesahan Penyata Kewangan
Penyediaan Penyata Kewangan Kerajaan Negeri Kelantan bagi tahun 2010
adalah baik. Kesemua angka dalam Penyata Kewangan dapat disahkan kerana
dokumen sokongan yang mencukupi telah dikemukakan. Pada keseluruhannya
Penyata Kewangan Kerajaan Negeri Kelantan menunjukkan suatu gambaran
yang benar dan saksama terhadap kedudukan kewangan kerajaan negeri bagi
tahun berakhir 31 Disember 2010.
Analisis Kewangan
Kedudukan kewangan kerajaan negeri Kelantan pada akhir tahun 2010
secara keseluruhannya adalah memuaskan. Ini adalah disebabkan kedudukan
Kumpulan Wang Disatukan bagi kerajaan negeri mengalami peningkatan
sejumlah RM51.07 juta atau 52.5 peratus iaitu daripada RM97.23 juta pada
tahun 2009 kepada RM148.30 juta pada tahun 2010.
Analisis 5 tahun Kumpulan Wang Disatukan dari tahun 2006 hingga 2010
menunjukkan penurunan pada tahun 2007 dan 2008 dan kemudiannya meningkat
pada tahun 2009 dan 2010.
Bagaimanapun, wang
tunai dan pelaburan mencatat peningkatan pada tahun 2010 di mana baki
pada tahun 2009 adalah RM97.23 juta menjadi RM148.30 juta pada tahun
2010. Selain itu, hutang awam meningkat sejumlah RM118.25 juta iaitu
daripada RM993.75 juta pada tahun 2009 menjadi RM1,112 juta.
Laporan Ketua Audit Negara 2010 menyarankan kerajaan negeri hendaklah
berbelanja secara berhemat tanpa menjejaskan mutu perkhidmatan dan
pembangunan ekonomi negeri.
Selain itu, kerajaan
negeri hendaklah memastikan tunggakan hasil dapat dipungut dan pinjaman
boleh dituntut dibayar mengikut jadual, manakala tunggakan bayaran balik
hendaklah dikutip sepenuhnya.
Seterusnya hutang kepada Kerajaan Persekutuan hendaklah dibayar mengikut jadual termasuk tunggakan bayaran balik.
Pembentangan Laporan Audit dalam PAC Negeri Kelantan Laporan Ketua
Audit Negara mengenai Penyata Kewangan Kerajaan Negeri Kelantan Tahun
2009 telah dibentangkan di Dewan Undangan Negeri pada 8 November 2010.
Jawatankuasa Kira-kira Wang Awam Negeri Kelantan telah selesai memeriksa Laporan Ketua Audit Negara bagi tahun 2008.
Sehingga 30 April 2011, jawatankuasa telah bermesyuarat sebanyak 5 kali
bagi membincangkan Laporan Ketua Audit Negara, bagaimanapun, Laporan
Jawatankuasa tersebut belum dibentangkan di Dewan Undangan Negeri.
Pengesahan penyata kewangan bagi tahun berakhir 31 Disember 2010
Laporan Ketua Audit Negara 2010 menyebut, persembahan Penyata Kewangan
Kerajaan Negeri Kelantan bagi tahun 2010 adalah selaras dengan ‘Piawaian
Perakaunan Kerajaan’.
Pada pendapat audit,
penyata kewangan Kerajaan Negeri pada keseluruhannya menunjukkan
gambaran yang benar dan saksama tentang kedudukan kewangan kerajaan
negeri bagi tahun berakhir 31 Disember 2010 dan rekod perakaunannya
telah diselenggarakan dengan teratur dan kemas kini.
Sijil Ketua Audit Negara mengenai Penyata Kewangan Kerajaan Negeri yang
disertakan bersama dengan Lembaran Imbangan, Penyata Penerimaan dan
Pembayaran Wang Tunai, Penyata Akaun Memorandum, Penyata Akaun Hasil
Disatukan dan Nota Kepada Akaun Awam.
Kedudukan kewangan kerajaan negeri
Mengikut Lembaran Imbangan, Kumpulan Wang Disatukan pada akhir tahun
2010 adalah berjumlah RM148.30 juta. Jumlah tersebut terdiri daripada
aset berbentuk wang tunai sejumlah RM131.97 juta dan pelaburan sejumlah
RM16.33 juta.
Analisis Audit mendapati Kumpulan
Wang Disatukan Kerajaan Negeri telah mengalami peningkatan ketara iaitu
sejumlah RM51.07 juta atau 52.5 peratus iaitu daripada RM97.23 juta pada
tahun 2009 menjadi RM148.30 juta pada tahun 2010.
Peningkatan ini antara lain disebabkan oleh peningkatan baki Akaun
Amanah Disatukan berjumlah RM54.53 juta atau 10.2 peratus pada tahun
2010 iaitu RM589.87 juta berbanding RM535.34 juta pada tahun 2009.
Wang Tunai
Wang Tunai merupakan aset yang terdiri daripada Wang Tunai Dalam Bank, Wang Tunai Dalam Perjalanan dan Wang Tunai Dalam Tangan.
Wang Tunai Dalam Bank adalah terdiri daripada baki akaun semasa dan
akaun lain seperti deposit dalam bank bagi tempoh 3 bulan atau kurang.
Wang Tunai Dalam Perjalanan pula adalah wang tunai yang belum dibankkan
serta wang tunai yang belum diambil kira dalam buku tunai. Manakala
Wang Tunai Dalam Tangan adalah Panjar Wang Runcit yang diluluskan kepada
beberapa pemegang panjar.
Baki Wang Tunai pada
tahun 2010 berjumlah RM131.97 juta berbanding RM79.60 juta pada tahun
2009. Analisis perbandingan kedudukan wang tunai bagi tahun 2009 dan
2010 menunjukkan peningkatan berjumlah RM52.37 juta atau 65.8 peratus.
Kutipan Hasil Meningkat
Kutipan hasil sebenar tahun 2010 berbanding 2009 pada keseluruhannya,
hasil yang dikutip oleh kerajaan negeri pada tahun 2010 adalah berjumlah
RM379.64 juta iaitu meningkat sejumlah RM44.83 juta atau 13.4 peratus
berbanding tahun 2009 berjumlah RM334.81 juta.
Penyumbang utama hasil kerajaan negeri
Hasil kerajaan negeri merupakan sumber utama yang digunakan bagi tujuan perbelanjaan mengurus.Penyumbang utama hasil kerajaan negeri adalah premium tanah, royalti
kayu kayan, cukai tanah, pemberian mengikut ramai penduduk dan premium
perhutanan.
Kata laporan itu, butiran hasil ini
telah menyumbang sejumlah RM131.02 juta atau 34.5 peratus daripada
jumlah hasil tahun 2010 yang berjumlah RM379.64 juta.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan