TANAH MERAH, 30 Okt: Dalam tempoh seminggu lebih 300 ahli dan penyokong Umno meninggalkan parti itu di bahagian Tanah Merah.
Ini secara tidak langsung memberi cabaran kepada ketua bahagian,
Datuk Ikmal Hisyam Aziz yang sebelum ini mengimpikan laluan mudah di
kerusi parlimen pada pilihan raya umum ke-13 tidak lama lagi.
Bagaimanapun kemenangannya pada pertandingan merebut jawatan ketua
bahagian dua tahun lalu dipertikai ahli Umno atas dakwaan cawangannya
dianggap tidak sah.
Bekas Setiausaha Umno Tanah Merah, Amran Abdul Rahman sebelum ini
membawa kes tersebut ke Mahkamah Tinggi. Bagaimanapun ekoran tindakan
itu Amran dilucut keahlian Umno pada 1 Mac 2010.
Ikmal Hisyam bukan sahaja terpaksa berdepan dengan Amran, malah bekas
anggota parlimen Tanah Merah, Datuk Shaari Hassan kini dikatakan
berganding bahu dengan abangnya, Datuk Ismail, seorang tokoh korporat
menggugatkan kedudukannya.
Kemelut yang tidak sudah berpenghujung dalam Umno di Tanah Merah
menyebabkan sebahagian ahli dan penyokong Umno di peringkat akar umbi
semakin bosan.
Maka sebahagian daripada mereka mengambil jalan pintas keluar
daripada parti itu dan menyertai PAS beramai-ramai. Pada 21 Oktober lalu
seramai 160 ahli dan penyokong Umno dari lima kampung di Dun Gual Ipoh
keluar daripada parti itu.
Mereka diketuai Rustam Musfafa daripada Cawangan Umno Bukit Kelidang
mewakili rakan-rakan menyerah borang menyertai PAS kepada Pesuruhjaya
PAS Negeri, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Dan selang tiga hari kemudian seramai 155 lagi bekas ahli Umno di
Kampung Bechah Peleting di Dun Bukit Panau diketuai Mohd Saidi Abdul
Rahman, 39 mengisytihar secara terbuka menyertai PAS.
Mohd Saidi bekas anggota tentera yang kini berniaga berkata, banyak
peristiwa yang berlaku ke atas dirinya membawa beliau mengambil
keputusan meninggalkan Umno.
“Kalau sebelum ini kita pernah mendengar di Tanah Merah ada tukang
kebun sekolah yang boleh mendesak guru sekolah ditukar kerana
kedudukannya dalam Umno di peringkat bahagian.
“Semua perkara yang tidak masuk akal boleh berlaku kerana Umno mahu
mempamerkan kuasa politik mereka. Inilah membuat saya semakin muak
dengan Umno,” katanya ketika ditemui selepas menyerah borang menyertai
PAS kepada Menteri Besar.
Hadir sama di program ceramah tersebut Timbalan Pesuruhjaya PAS
Kelantan, Datuk Mohd Amar Abdullah, Timbalan Yang Dipertua PAS Tanah
Merah, Datuk Mejar (B) Md Anizam Abdul Rahman dan Adun Bukit Panau,
Abdul Fattah Mahmood.
Beliau juga mendedahkan ketika berkhidmat sebagai anggota tentera
pernah diarah pegawai atasan memangkah kertas undi milik anggota tentera
lain.
Menurutnya beliau melakukan perkara itu tanpa kerelaan hatinya biar pun tahu menyalahi peraturan SPR.
Bechah Peleting sebelum ini merupakan kubu kuat Umno dan sukar ditembusi PAS. (Ikuti berita lanjut dalam Harakah edisi cetak keluaran akan datang).Hrkh
Tiada ulasan:
Catat Ulasan