KUALA LUMPUR : Pemimpin-pemimpin Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air
(Kita), yang dipimpin Datuk Zaid Ibrahim menggesa kepimpinan parti itu
menyelesaikan isu dalaman terlebih dahulu daripada mengadakan program
jelajah ke seluruh negara bagi meminta sokongan rakyat terhadap usaha
pentadbiran Najib memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).
Selain itu mereka juga menggesa Zaid meninggalkan Kita dan kembali
menjadi Umno jika mengambil pendirian yang lari daripada matlamat Kita —
iaitu melahirkan pandangan sebagai pembangkang dan membetulkan
mana-mana kekurangan yang wujud.
Zaid (gambar)menyertai Parti Keadilan Rakyat selepas dipecat oleh
Umno. Beliau keluar PKR tahun lalu dan kemudian menerajui Kita.
Seorang anggota jawatankausa eksekutif pusat Mohd Zahrein Zakariah
berkata, Zaid tidak mengadakan perbincangan untuk mengadakan program
jelajah bagi menyokong pentadbiran Najib.
“Ramai pemimpin dalam Kita tersinggung dengan pendekatannya (Zaid).
Beliau sudah sampai satu peringkat yang sungguh memalukan dan beliau
menerajui Kita ke arah yang salah. Saya ulangi, Kita bukan Zaid Ibrahim
dan beliau bukan Kita.
“Kita merupakan pergerakan sosial yang mahu melahirkan pendirian
tegas mengenai isu-isu semasa di Malaysia. Kita, secara fundamental,
merupakan pembangkang. Jadi, tidak munasabah Kita perlu, dan boleh
menyokong Perdana Menteri, yang jelas sudah hilang keyakinan rakyat,”
katanya dalam satu kenyataan semalam.
Justeru kata Zahrein, “saya mengesyorkan agar Zaid meninggalkan Kita dan kembali ke Umno, kita tidak lagi memerlukan beliau.”
Dalam pada itu, Abd Latif A Tambi yang dipecat sebagai setiausaha
pusat Kita baru-baru ini memberitahu, langkah segera yang perlu diambil
untuk menyelamatkan parti yang berusia setahun di bawah kepimpinan Zaid
ialah menyelesaikan kepincangan dan kecacatan yang wujud bagi menghadapi
pilihan raya umum.
Pada masa yang sama, kata beliau, segala perkara yang berkaitan
dengan hala tuju parti dan dasarnya seharusnya dibincangkan di peringkat
jawatankuasa eksekutif pusat ataupun dengan kepimpinan negeri untuk
mendapatkan konsensus terlebih dahulu.
“Ini adalah parti yang ada ahli dan milik rakyat. Anggota
jawatankuasa eksekutif pusat dan negeri mewakili ahli.
Keputusan-keputusan tidak boleh diambil oleh satu orang kerana parti
kita bukan berdiri sendiri,” kata Latif dalam satu kenyataan SMS kepada
The Malaysian Insider.
“Kedua, apa keperluan mengadakan program jelajah apabila hanya ada
500 ahli. Adakan satu mesyuarat pusat dengan jawatankuasa eksekutif
pusat dan pemimpin negeri, mereka akan melakukan penjelasan kecuali
mereka menentang idea itu.
“Jadi apa keperluannya mempertimbangkan program jelajah ke seluruh
negara. Ketiga, isu-isu yang dihadapi sekarang mesti ditangani terlebih
dahulu. Rungutan mesti ditangani dengan segera,” kata beliau lagi.
Kedua-dua mereka mengulas laporan media bahawa Kita akan menjelajah
ke seluruh negara bagi meminta sokongan rakyat terhadap usaha Perdana
Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak memansuhkan ISA dan tiga proklamasi
darurat.
Dalam satu kenyataan media kemarin, Kita berkata pengumuman
pemansuhan undang-undang darurat, ISA dan undang-undang berkaitan
akhbar, yang memberikan kebebasan berhimpun dan bersuara kepada rakyat,
adalah perisytiharan yang penuh bermakna dan bersejarah.
“Adalah amat penting bagi rakyat di semua peringkat di negara ini
memahami tujuan dan maksud transformasi dasar ini. Tanpa pemahaman yang
mendalam, rakyat boleh dikelirukan oleh kumpulan-kumpulan yang menentang
transformasi berkenaan.
“Usaha Perdana Menteri wajar mendapat sokongan semua pihak tanpa
mengira fahaman politik kerana transformasi berkenaan mendatangkan
manfaat kepada rakyat seluruhnya,” kata Kita.
Parti itu seterusnya menjelaskan adalah penting bagi memastikan usaha
murni Perdana Menteri tidak tergendala dengan mengadakan pertemuan
dengan orang ramai untuk memberi penjelasan dan penerangan dalam
beberapa hal berkaitan dengan isu ini.
Pada peringkat pertama, parti itu akan ke Pasir Putih (27 September),
Kota Baharu (28 September), Jerantut (2 Oktober), Petaling Jaya (4
Oktober), Kapar (6 Oktober), Bangi (9 Oktober), Seri Andalas (14
Oktober), Kota Kinabalu (17 Oktober), Sungai Petani (20 Oktober) dan
Kelana Jaya (26 Oktober).
“Jadual bagi kawasan-kawasan lain akan diberitahu kelak,” tambah
kenyataan itu. Latif sebelum ini mencabar tindakan Zaid dengan mendakwa
pemecatannya sebagai setiuasaha pusat parti dibuat dengan tidak telus,
sebaliknya sudah beralih daripada matlamat penubuhan.TMI
Tiada ulasan:
Catat Ulasan