KUALA LUMPUR: Ketua Wira Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Arman Azha Abu Hanifah( gambar ) mengumumkan peletakan jawatannya berkuat kuasa serta-merta pada Selasa.
Difahamkan, beliau melepaskan jawatan kerana mahu menumpukan tugasnya dalam Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Petaling Jaya Utara.
Arman berkata, keputusan itu dibuat atas dasar peribadi dan bukan disebabkan desakan mana-mana pihak serta kekecewaan terhadap pucuk pimpinan Perkasa.
"Saya tidak kecewa atau disunting mana-mana parti tetapi ingin memberi peluang kepada generasi baru untuk membawa Perkasa melangkah ke peringkat lebih tinggi," katanya pada sidang media di sini, petang Selasa.
Menurutnya, tindakan untuk mengundurkan diri itu dibuat atas dasar prinsip peribadinya iaitu memperjuangkan agama, bangsa dan tanah air.
"Kalau kita tengok senario di negara pada hari ini, apa saja perubahan yang ingin dilakukan harus memerlukan kesungguhan dalam keputusan politik (political will).
"Walaupun Perkasa merupakan badan pendesak terbesar untuk memartabatkan agenda agama, bangsa dan negara, ia memerlukan 'political will'. Dalam erti kata ini, saya ingin melangkah lebih jauh dengan berpegang kepada prinsip saya iaitu perjuangan dari segi politik," jelasnya yang memegang jawatan Ketua Wira Perkasa selama dua setengah tahun.
Arman memberitahu, beliau belum berundur daripada Umno tetapi akan melihat mana-mana parti politik yang akan mengangkat martabat agama, bangsa dan negara sebagai prinsip perjuangannya.
"Saya tidak cakap akan menyertai mana-mana parti politik tetapi saya akan melihat dan mengkaji parti yang memperjuangkan prinsip saya. Hanya dengan kuasa politik saja, kita dapat memastikan kuasa, hak dan martabat bumiputera khususnya dikekalkan.
"Walaupun saya dilihat berada di Stadium Melawati untuk mendengar caramah tentang fitnah kedua, itu menunjukkan saya terbuka untuk mendengar apa yang disuarakan kedua-dua pihak," tambahnya.
Sementara itu, Arman turut menafikan dakwaan dia mempunyai masalah dengan Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali.
"Tidak. Saya melayan Ibrahim Ali seperti bapa saya. Dia sentiasa menjadi mentor dalam perjuangan saya dan saya amat menghormatinya. Dia sering menasihati dan menjaga saya seperti seorang anak. Namun akhirnya keputusan harus dibuat kerana perjuangan di hadapan lebih besar," ujarnya.
Arman juga menolak keputusan beliau meletak jawatan kerana dipengaruhi tindakan mengejut Ketua Wiranita Perkasa, Raihan Sulaiman Palestin, bulan lalu.
"Saya sudah memikirkan mengenai perkara itu sejak dua atau tiga bulan lalu. Setelah mendapat nasihat daripada pemimpin lama dan petunjuk daripada Allah akhirnya keputusan untuk meletak jawatan dibuat malam tadi (Isnin)," katanya.
Jelas beliau, surat peletakan jawatan itu sudah difaks ke ibu pejabat Perkasa awal pagi Selasa dan khidmat pesanan ringkas sudah dihantar kepada Ibrahim Ali berhubung perkara tersebut.
"Walaupun saya sudah meletak jawatan, saya masih ahli Perkasa seumur hidup," tegasnya.Mstar
Tiada ulasan:
Catat Ulasan