KUALA LUMPUR, 5 Sept — Zakaria Ahmad(gambar), khatib yang dikaitkan dengan isu khutbah Pulau Pinang bulan lalu berkata, beliau sudah mengambil keputusan muktamad untuk memfailkan saman fitnah terhadap dua akhbar harian dan seorang pemimpin Umno negeri itu selepas sambutan Aidilfitri.
“Saya memutuskan untuk mengambil tindakan saman fitnah selepas pihak-pihak terbabit enggan memohon maaf kerana mengeluarkan kenyataan yang menjatuhkan reputasi saya sebagai seorang khatib,” kata Zakaria ketika dihubungi The Malaysian Insider hari ini.
“Mula-mula saya memberi mereka yang mengeluarkan kenyataan tidak betul tentang diri saya selama dua hari untuk mohon maaf, tetapi meskipun saya menanti sehingga kira-kira seminggu, mereka tidak mengambil apa-apa tindakan untuk memohon maaf... jadi saya memutuskan untuk mengambil tindakan saman.
“Peguam saya sedang menguruskan perkara ini, dia sedang meneliti segala kandungan kenyataan mereka,” kata beliau lagi.
Kata Zakaria, sekurang-kurangnya jika mereka meminta maaf beliau bersedia untuk memaafkan lebih-lebih lagi sempena bulan Ramadan sekarang.
“Saya seorang ahli PAS dan seorang yang beragama Islam saya sanggup untuk memaafkan mereka... Islam mengatakan kita harus memaafkan orang lain jika mereka memohon maaf, tetapi malangnya walaupun mereka telah memfitnah saya tetapi enggan memohon maaf,” kata beliau lagi.
Zakaria tidak menolak untuk memaafkan mereka jika tampil memohon maaf secara terbuka sebelum 1 Syawal.
Sebelum ini, Zakaria mempertahankan tindakannya berdoa untuk Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng dalam khutbah Jumaat di beberapa masjid di Pulau Pinang sambil menegaskan, ia tidak salah di sisi agama.
“Bagi saya, berdoa (untuk orang bukan Islam) itu tidak salah cuma cara berdoa dan tempat (ketika khutbah Jumaat) itu yang dikatakan menjadi kesalahan.
“Insya-Allah lepas ini saya tidak akan mendoakan lagi (khutbah Jumaat) kalau hendak mendoakan pun di tempat lain,” katanya.
Zakaria menyifatkan isu berdoa itu adalah kecil tetapi telah diperbesarkan oleh orang politik dan beliau berterima kasih kepada Majlis Agama Islam Pulau Pinang kerana memberi bimbingan kepadanya.
Isu membaca doa didakwa menggunakan nama Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng bagi menggantikan nama Yang di-Pertuan Agong dalam khutbah Jumaat didedahkan oleh Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri Datuk Seri Dr Zahid Hamidi.
Pada 21 Ogos lalu, Ahli Dewan Undangan Negeri Permatang Berangan dari Umno, Shabudin Yahaya berkata doa yang dibacakan oleh khatib pada khutbah kedua solat Jumaat di Masjid Jamek Padang Menora 25 Jun lalu dibuat dalam bahasa Melayu.
Kandungan doa itu adalah meminta Ketua Menteri terus kekal dan berjaya mentadbir negeri Pulau Pinang selain tidak menyebut nama Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Yang Dipertua Negeri Tun Abdul Rahman Abas.
Shabudin menafikan dakwaan kononnya berlaku salah faham dalam kalangan jemaah yang tidak memahami doa kerana ia dibacakan dalam bahasa Arab.
Menurut Shabudin, biasanya doa dalam khutbah dibaca untuk ketua agama negeri seperti Yang di-Pertuan Agong atau Yang Dipertua Negeri dan tidak melibatkan unsur-unsur lain.
Shabudin mendakwa Zakaria tidak memiliki tauliah untuk membaca khutbah yang dikeluarkan oleh Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang.TMI
Tiada ulasan:
Catat Ulasan