Sahabat Ambo

Pengunjung Yang Di Hargai,Untuk Membantu Mohon "KLIK" Iklan Di Atas.Terima Kasih

Dedikasi Buat Tuan Guru Presiden Pas

Penghinaan Mahathir Terhadap Hudud


LAGI VIDEO TINTA HIJAU-DKB KLIK DI SINI

Translate

Rabu, 28 Julai 2010

Tan sri hj harussani hj zakaria; kenapa dia berbeza dengan kita

Oleh nik mohamad abduh bin nik abdul aziz
Wujudnya ulama yang menyokong kerajaan sekular yang beragama Islam bukanlah suatu yang pelik dan baru. Sejak aliran pemeritahan sekular di negara umat Islam pasca penjajahan barat ke atas negara Islam bertapak, golongan ulama penyokong inilah yang banyak membantu ke arah ketahanan dan penerusan aliran ini sehingga hari ini, walau pun wujud faktor – faktor lain yang mungkin lebih besar.
Di negara – negara Arab, kebangkitan perjuangan ke arah Islam yang syumul yang dipelopori oleh gerakan al Ikhwan al Muslimun dan jamaah – jamaah Islam yang lain banyak direncat kemajuannya oleh fatwa, hukum, pandangan dan penentangan daripada segolongan ulama yang terus menyokong pemerintahan sekular di negara mereka.
Mereka menjadi sebab besar kekeliruan umat dan rakyat di dalam memahami perjuangan Islam, bahkan di dalam memahami agama Islam yang benar dan asli.
Sebelum rakyat tewas, ulama ini telah tewas lebih awal. Mereka gagal berperanan kerana mereka sendiri memiliki tubuh yang cacat dan terencat di sana sini. Era penjajahan yang panjang mewariskan Islam yang semakin terpinggir daripada arus depan dan atas. Pengajaran dan pendidikan Islam yang merupakan nadi kekuatan umat telah menjadi mangsa serangan musuh yang dirancang rapi untuk dirosakkan sehingga ke akar umbinya.
Maka lahirlah di muka depan umat sebuah Islam dalam maknanya yang tidak asli, layu dan jauh daripada pejuang dan pendukungnya yang benar. Inilah Islam yang didokong oleh ulama jenis tadi dan merekalah yang mendodoinya sehingga para pemerintah sekular muslim menjadikan mereka sebagai tongkat yang memeberi mereka kekuatan untuk terus menjadi penguasa yang batil ke atas umat Islam sehingga kini.
Mereka ini cukup untuk digolongkan dalam dua aliran;
Pertama, aliran nifaq dan penipu yang hidup untuk dunia. Inilah golongan yang menjual agama dengan kehidupan dunia. Apabila didesak dan ditanya mengapa mereka sanggup membelakangi kebenaran, mereka tidak segan untuk menjawab bahawa kami hanya mahu cari makan, kami mahu keselesaan sebagaimana orang lain, kami memilih untuk menjauhi pertembungan dan kemudharatan dan kami sudah diberi kedudukan baik untuk menyebarkan Islam (Islam yang cacat)!
Ulama al su’. Ulama jahat. Inilah nama yang dilabelkan ugama ke atas golongan ulama jenis ini yang sering diperingatkan oleh Allah dan rasulNya sallaLlahu alaihi wasallam dengan azab yan pedih daripada sisi Allah kerana menyembunyikan kebenaran dan meredhai kemungkaran di hadapan mereka.

Kedua, aliran lemah dan jahil mengenai perjuangan Islam dan dakwah. Dalam denyut dan nada yang ikhlas untuk ugama, mereka menyeru kepada Islam sedangkan mereka sebenarnya memimpin dan menunjuk kepada kesamaran dan kekeliruan. Ia bermula daripada kefahaman mereka sendiri terhadap Islam, dakwah dan perjuangan yang cetek dan lemah.
Mereka mengenali Islam dan mempelajarinya di luar lingkungan praktikal perjuangan, sedang ugama ini mestilah difahami dan dihidupkan di dalam dunianya, acuannya yang ditetapkan Allah. Acuan Allah.
Aliran kedua ini bukanlah seburuk aliran pertama yang telah rosak keikhlasan dan telah membesar kerakusan mereka terhadap habuan duniawi yang diterima. Aliran ini walau bagaimanapun adalah penyakit yang perlu dirawati dan rawatannya adalah rumit kerana ia melibatkan kumpulan pemuka ugama yang kepada merekalah tergadai kepercayaan umat dan ke atas merekalah tanggung jawab memimpin umat ini.
Sekarang saya perturunkan beberapa inti dan persoalan, yang menjadikan aliran ini terus gagal untuk bersama dalam kelompok perjuangan Islam yang syumul yang berjalan di atas sunnah al Rasul yang jelas dan terang benderang;
1) Perihal sekularisme: Aliran ini walaupun memahami bahaya sekularisme tetapi masih meladeninya dan menganggap ia bukan bahana besar umat dan boleh diubati dengan mudah melalui nasihat dan teguran terhadap pemerintah. Justeru mereka kekal mendukung pemerintah sekular dengan harapan mampu mengislamkan mereka.
Sebaliknya, aliran perjuangan Islam memutuskan bahawa sekularisme adalah punca utama kejatuhan umat Islam dan ia menjadi senjata ampuh musuh untuk menghancurkan tamadun Islam dan umatnya. Justeru gerakan Islam melihat bahawa kebangkitan Islam dan kemajuannya tidak mungkin tercapai sehinggalah faham sekularisme ini dicabut dari akar umbinya dengan menukar pemerintahan negara kepada pemerintah Islam yang tulen dan syumul.
2) Perihal faham kebangsaan: Aliran ini melihat semangat kebangsaan adalah tidak bertentangan dengan Islam. Melayu adalah Islam dan Islam adalah Melayu. Maka kedua – duanya berkepentingan bersama. Justeru apabila pemerintah menjadikan kebangsaan sebagai dasar pemerintahan, mereka mempertahankannya dan melihatnya sebagai kemenangan untuk Islam.
Sebaliknya, aliran perjuangan Islam yang syumul melihat faham nasionalisme adalah umpan penjajah yang dilepaskan ke seluruh dunia Islam untuk menjauhkan mereka daripada Islam yang bersifat sejagat dan juga untuk memecah – belahkan kesatuan umat Islam sedunia agar menjadi lumpuh dan kekal tewas selama – lamanya. Justeru memerangi fahaman ini dengan menukarkannya dengan fahaman Islam yang menyeluruh, sejagat dan sederhana di sisi perjuangan Islam adalah kewajiban yang mesti dilaksanakan. Oleh kerana pemerintahan semasa umat mendukung dan membenih fahaman ini, maka mereka wajar ditukar dengan pemerintahan Islam yang sebenar.
3) Perihal teguran dan jihad terhadap pemerintah: Aliran ini melihat pemerintahan umat Islam hari ini mestilah ditaati sebagaimana arahan Allah dan rasulNya. Sebarang perlanggaran terhadap ugama seperti kezaliman, rasuah dan sebagainya hendaklah diselesaikan melalui nasihat dan teguran yang tidak menjejaskan tiang pemerintahan. Gerakan menjatuh dan menukar pemerintahan dengan apa cara sekalipun adalah bertentangan dengan Islam dan disifatkan sebagai penderhakaan terhadap ugama.
Sebaliknya, aliran perjuangan Islam melihat bahawa pemerintahan Islam yang zalim dan keluar daripada tuntutan agama berhak dan mesti ditukar jika mereka terus dan enggan berubah. Kesalahan hanya berlaku jika usaha itu membawa kepada pertumpahan darah yang disengajakan seperti menghalakan senjata ke arah pemerintah. Islam mengharamkan pertumpahan darah sesama ummat syahadah.
Dalam konteks sistem demokrasi negara, jatuh bangun pemerintahan adalah tanpa pertumpahan darah, bahkan hanya melalui undi dan suara majoriti. Justeru menukar kerajaan zalim seperti kerajaan negara Malaysia yang sekular dan penuh penjarahan terhadap hak rakyat adalah jihad yang syar’ie dan wajib.
4) Perihal dakwah dan perjuangan Islam: Aliran ini menafsirkan kalimah ‘hikmah’ dalam berdakwah dengan tafsiran yang berbeza dengan aliran perjuangan Islam. Mereka dilihat lebih memilih jalan kompromi demi menjaga hati pemerintah dan demi memperolehi tempat dan jawatan yang mengekalkan mereka dalam enjin pemerintahan. Bagi mereka, kekal dalam kerajaan dan mengelak pertembungan dengan mereka adalah hikmah besar untuk kebaikan Islam.
Ini di sisi aliran perjuangan Islam adalah tafsiran yang mencacatkan pengertian hikmah dan perlaksanaannya. Di sinilah kedua – dua aliran tersebut bertembung.
5) Perihal jamaah Islam: Aliran ini melihat bahawa jamaah Islam adalah setiap umat yang menyeru kepada al makruf dan menegah kemungkaran walaupun mereka tidak terikat dengan mana – mana kumpulan Islam yang terikat dengan peraturan dan syarat jama’ie. Justeru keperluan untuk menyokong atau mendukung jamaah – jamaah Islam adalah tidak perlu selagi mereka berkerja untuk Islam juga. Taat kepada pemerintah adalah kerana pemerintah adalah jamaah Islam juga.
Sebaliknya, aliran perjuangan Islam terlalu mementingkan kewujudan jamaah Islam yang dilengkapi peraturan, ciri, syarat dan visi perjuangan yang membawa umat Islam yang hanyut tanpa khilafah yang menaungi mereka hari ini ke arah kehidupan Islami yang tunduk dan wala’ kepada pemimpin Islam di dalam jamaah sehinggalah kelahiran khilafah yang baru. Kesempurnaan Islam adalah pada mengikat diri pada jamaah Islam yang syumul.
Inilah 5 inti dan isu terpilih yang memisahkan dan membezakan ulama aliran ini dengan aliran perjuangan Islam yang dipelopori gerakan – gerakan Islam di serata dunia. Ia bermula dan berpunca daripada kefahaman yang berbeza terhadap Islam dan tuntutannya selain perbezaan pada kedalaman dan keluasan lingkaran praktikal Islami yang dilalui oleh kedua – dua aliran tersebut.
Tan Sri Hj Harussani Hj Zakaria mewakili golongan ini. Beliau aliran kedua daripada aliran ulama yang sentiasa memberikan ketaatan dan mendukung pemerintahan sedia ada walaupun beliau tahu betapa sekularnya pemerintahan kerajaan Malaysia.
Di Mesir misalnya, anda akan sentiasa menemui ulama jenis ini dengan ilmu dan sumbangan yang tidak kecil dan tidak boleh diketepikan untuk kemajuan Islam, tetapi mereka sering menjadi penghalang kepada gerakan Islam yang syumul di dalam membina keyakinan dan kefahaman terhadap ummah ke arah kemenangan Islam yang diimpikan.
Beliau bukan aliran pertama yang jelas kerosakan dan kejahatannya. Tumpukan senjata tajam anda pada ulama UMNO yang mengangguk dan sujud pada ketua mereka di dalam UMNO walaupun sampai mengharuskan judi, rasuah dan kezaliman yang berleluasa.
Gagal membezakan di antara dua aliran inilah yang akhirnya mencetuskan kata nista, hukuman dan terjahan yang salah dan tidak boleh diterima akibatnya. Islam sentiasa diawasi oleh ilmu, disiplin, adab dan hak yang mesti dijaga dan diraikan. Jika tidak, perjuangan Islam akan sentiasa dimasuki unsur yang akan mencemari sifatnya yang qudwah dan sederhana.
Selepas anda memahami pada tahap ini, anda boleh dengan mudah untuk memahami mengapa orang yang turut menyumbang kepada kemajuan Islam di Malaysia seperti Tan Sri Hj Harussani Hj Zakaria dan seumpamanya sering berbeza dengan aliran perjuangan Islam dalam beberapa isu pokok seperti;
1- Pendiriannya untuk menyokong rampasan kuasa di Perak.
2- Sikapnya untuk melihat perpaduan Melayu tanpa syarat di antara PAS dan UMNO.
3- Ketegasannya dalam beberapa isu yang menyentuh pemerintah dan kekendurannya di dalam beberapa isu yang lain.
4- Kejelasannya di dalam menganggap kesultanan mesti ditaati kerana peranannya sebagai ulul amri minkum.
5- Sikapnya yang lebih meraikan kerajaan pusat walaupun melihat kebaikan pemerintahan Islam di Kelantan dan negeri – negeri Pakatan Rakyat.
6- Ketakutannya terhadap terhapusnya Islam dengan terhapusnya ketuanan Melayu ( Melayu adalah UMNO dan UMNO adalah Melayu. PAS? )
Teruskanlah dengan isu – isu lain yang akan sentiasa lahir. Anda akan melihat perbezaan pendapat yang mengelirukan umat Islam melalui pandangan ulama seperti beliau yang akan menyanggah pandangan perjuangan Islam.
Sudah pasti, kefahaman Islam yang jelas daripada tafsiran dan pengajaran ulama Islam yang muktabar yang menyeru kepada Islam yang syumul akan menolak pandangan aliran kedua ulama kerajaan di atas yang berpunca daripada kecetekan memahami Islam dan tuntutan semasanya.
Tan Sri Hj Harussani mestilah diingatkan dengan kesilapannya, memasuki ruang yang bukan dalam bidang dan kepakarannya yang telah menjebakkan beliau ke dalam kancah pertentangan yang merosakkan reputasinya sebagai ulama yang pernah cemerlang dan dihormati kerana ketegasannya dalam isu – isu tertentu walaupun tidak disenangi pemerintah.
Beliau harus malu untuk memikul tanggung jawab yang telah mengelirukan umat Islam yang di luar kemampuannya, selain mengheret perdebatan sesama ulama dan umat Islam yang tidak perlu ke arah pembinaan sebuah negara yang lebih baik.
PAS ada hak yang jelas dalam politik Islam. Ia lahir sejak sebelum merdeka dalam dunia politik tanah air. Berikan laluan untuk PAS mendapat sokongan umat tanpa menambahkan kekeliruan yang menguntungkan musuh perjuangan. Inilah bahasa saya untuk Tan Sri. WaLlahu a’lam.

4 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Ulamak sangkut ka atau ulamak cucuk hidung dia ni...

sama2 kita fikir macam Ha....Ha...HarusSanaSini kata tu

Acilut60 berkata...

Saranan seorang ulamak agar orang-orang Melayu (dalam konteks ini orang Islam di Malaysia) bersatu telah disanggah oleh Nik si pengarang ini. Bersatu merupakan satu kewajipan umat Islam. Kita bersatu kerana ISLAM. Tetapi kita telah berpecah kerana POLITIK. Yang Mana pilihan kita, Islam atau politik. Yang mana patut didahulukan. Jawapannya ialah dahulukan Islam. Politik hendaklah dikemudiankan. Bersatu adalah fardu Ain manakala politik adah fardu kifayah. Kerana politiklah umat Islam Melayu Malaysia berpecah belah yang mengakibatkan kita lemah. Malah kita sanggup memberi ruang pada orang kafir mempermainkan Kalimah ALLAH, mempertahankan BABI dan sebaliknya memperlekehkan institusi RAJA MELAYU. 'Kita' mengambarkan dalan artikel ini seolah-olah Tan Sri Penyokong Kerajaan. Adakah ini benar. Ini merupakan satu andaian penulis 'kita' sahaja.
Bahagian awal artikel ini nampaknya mengandungi begitu banyak fitnah. Orang berilmu Islam tentu faham fitnah sama dosa seperti membunuh orang. Dan dosa itu hanya dapat dilupuskan dengan meminta maaf pada orang yang difitnah.
Mengapa 'kita' lebihkan Guan Eng dan Karpal Singh daripada Tan Sri Hj Harussani Hj Zakaria. 'Kita' nampaknya sudah kehilangan punca, semata-mata kerana tagih dan kemaruk undi.
Penulis ini meminta kita berbalik kepada 'Islam Asli' tetapi saya sarankan kita berbalik kepada ajaran islam yang sebenar seperti yang diajarkan oleh Rasulallah s.a.w, berlandakan Al Kuran dan Hadis. Saya juga sarankan kepada penulis ini, banyakkan pembacaan kitab-tab dan rujukan sebelum menulis sesuatu yang anda tidak mengetahui dan bukan hanya menjadi pengikut, tanpa disemak dahulu fakta yang hendak ditulis. Satu fitnah disebarkan melalui internet, ribuan manusia akan terkeliru dan akibatnya sangat buruk pada diri sendiri dan umat islam dunia dan akhirat.

Saya juga ingin sarankan ulamak-ulamak sebenar PAS supaya berani menasihati 'ulama-ulama' PAS yang tidak jelas ajarannya(yang tidak mengajak kepada kesatuan ummah dan memecahbelahkan umat islam lain dan orang Melayu dengan pelbagai label) supaya mereka insaf dan bertaubat agar umat Islam di Malaysia ini kuat kembali dan tidak akan disepak terajang oleh bangsa-bangsa kafir.

Jawapan saya pada tajuk pengarang - Kenapa dia berbeza dengan 'kita'
Jawapanya ialah : Kerana kita suka mencacari yang berbeza kita tidak mahu mencari yang serupa.

... malah kita lebih banyak serupa daripada yang berbeza. Kita Islam, kita sembahyang, kita berpuasa, kita bayar zakat , kita mengejakan haji, kita mengucap kalimah syahadah dan bahyak lagi cuma satu sahaja yang berbeza 'kita' hijau dan yang lainnya berbagai warna.

oleh Acilut

mamat berkata...

macam sedap aje acilut senget berhujah. Tapi satu saja yang saya nak tanya bagaimana boleh kita bercakap tentang perpaduan sedang pada yang sama apa yang hak tak dikembalikan. Semua hukum ada dua kayu ukurnya. Padang permainan masih x sama rata. Kalau ikhlas untuk berpadu kembalikan hak yang dirampas. Kemudian barulah boleh bicara tentang perpaduan. Kalau tidak, campak saja ke longkang. Kesian tengok Nizar di Changkat Lada dan Anuar Ibrahim di Johor. Demokrasi kita sudah mati....

Acilut berkata...

Banyak sangat alasan... tidak iklas? Mana tahu tidak iklas. Rusdiyk macam kasyaf pula, boleh baca hati manusia...
Ramai Pengikut PAS suka membuat andaian terhadap orang bukan 'kita', kemudian berdasarkan andaian tersebut membuat kesimpulan kemudian syok sendiri!. Itulah sikap kebanyakkan jamaah PAS, daripada pemimpin hnggalah pengikut marhaen!
Siapa sebenarnya iklas dan siapa yang tidak...

Hudud : Kenyataan Najib VS Kenyataan Tok Guru Nik Aziz

Bermula 31/7/2009

Pengunjung Ambo dari....