KUALA LUMPUR, 20 April: Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia pagi ini menolak usul yang dikemukakan oleh Fuziah Salleh (PKR-Kuantan) bagi membincangkan perubahan tempat mengundi yang melibatkan 14,000 pengundi pada pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor yang didakwa boleh mencetuskan suasana kelam kabut pada hari mengundi.
Fuziah (gambar) yang mengemukakan usul berkenaan di bawah Peraturan Mesyuarat 18(1) dan (2) berkata, usul itu perlu dibincangkan kerana ia melibatkan kepentingan pengundi-pengundi di Hulu Selangor yang akan menghadapi masalah dengan perubahan tempat mengundi itu.
"Saya memikirkan mengenai 14,000 pengundi yang akan mengalami masalah pada Ahad ini kerana mereka tidak tahu tempat mengundi mereka," katanya.
Bagaimanapun, usul berkenaan ditolak Pandikar atas alasan ianya bersifat politik dan hal-hal berkaitan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan suruhanjaya-suruhanjaya lain tidak boleh dibincangkan di Dewan Rakyat kerana ianya merupakan badan bebas.
Fuziah yang juga Pengarah Pilihan raya PKR bagaimanapun menegaskan ianya bukan atas kepentingan politik kerana suasana kelam kabut seperti yang didakwanya pernah berlaku di Selangor pada pilihan raya umum ke-11 pada 2004 lalu.
"Perkara ini harus kita bincang implikasinya. Kalau keselamatan para pengundi bukan tanggungjawab ahli Parlimen, apa lagi tanggungjawab kita?" soalnya.
"Ini bukan dakwaan yang tidak berasas. Tapi pada pilihan raya ke-11 2004 yang lalu, perkara ini telah berlaku di Selangor.”
Datuk Mohamed Aziz (BN-Sri Gading) selepas itu bangun mencelah dengan mendakwa Fuziah sengaja membangkitkan perkara itu sedangkan tempat mengundi telah ditetapkan oleh SPR pada awal lagi.
Fuziah membalas dakwaan itu dengan menyuruh Mohamed tidak bercakap apa-apa jika tidak tahu apa yang berlaku.
"Sri Gading kalau tidak tahu apa-apa, jangan cakaplah," katanya.
SPR telah mengubah tempat mengundi pengundi-pengundi berkenaan dari tempat mengundi mereka pada Mac 2008 lepas.
SPR akan menggunakan Daftar Pemilih yang digazetkan pada 5 April lepas.Hrkh
Tiada ulasan:
Catat Ulasan