KUALA LUMPUR, 28 Okt: PAS mengadakan mesyuarat khas AJK PAS Pusatnya jam 8.45 malam dengan dipengerusikan oleh presidennya, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang malam ini.
Turut serta di sebelahnya adalah Mursyidul Am yang juga Pesuruhjaya PAS Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Nik Aziz tiba ke pejabat agung PAS, Jalan Raja Laut jam 8.40 malam. Ia disambut oleh Abdul Hadi dan kedua-dua mereka berbual mesra sambil Abdul Hadi memerhatikan Nik Aziz makan malam.
Abdul Hadi sampai lebih awal dan telah selesai makan malam di situ.
Nik Aziz kelihatan makan nasi berlauk ayam goreng yang disediakan oleh pejabat Agung PAS untuk semua peserta mesyuarat itu.
Di pintu masuk Pejabat Agung, berpuluh-puluh wartawan dan jurugambar menunggu ketibaan para pimpinan PAS itu.
Bagi meraikannya, Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali telah memutuskan untuk membenarkan kesemua mereka mengambil gambar pimpinan PAS itu sebelum mesyuarat bermula.
Maka berlari-larilah para jurugambar memanjat anak tangga bangunan PAS itu ke tingkat lima, tempat mesyuarat berlangsung, menggunakan tangga.
Ini kerana, hanya satu lif sahaja yang ada di bangunan itu dan mereka bimbang tidak sempat merakamkan detik bersejarah dalam PAS itu.
Namun, para petugas PAS telah bersedia menghadapinya dan hanya membenarkan mereka masuk mengambil gambar apabila kesemua mereka sudah berada di tingkat 5 bangunan PAS itu.
"Waw ramainya," sungut para pemimpin PAS yang memenuhi Dewan Mesyuarat Utama Pejabat Agung PAS itu apabila jurugambar menyerbu masuk.
Pelbagai ragam mereka mengambil gambar para pimpinan PAS. Yang menjadi fokus adalah Andul Hadi dan Nik Abdul Aziz yang duduk sebelah menyebelah dalam mesyuarat ini.
Mereka meminta kedua-duanya senyum, bersalam, memandang kamera dan sebagainya.
Semuanya dipatuhi dengan baik oleh kedua-duanya di samping timbalan presiden, Nasharudin Mat Isa dan Setiausaha Agung, Datuk Mustafa Ali.
Mesyuarat ini dijangka selesai menjelang jam 12 malam. Adalah dipercayai satu sidang akhbar akan dibuat selepas itu kerana wartawan penuh di hadapan bangunan PAS bagi menunggu keputusan mesyuarat khas ini.harakahdaily
Tiada ulasan:
Catat Ulasan