Isu mengenai pengundi pos yang kononnya akan dimanipulasi oleh Barisan Nasional pada pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri Negeri Sembilan kawasan Bagan Pinang pada 11 Okt ini dijangka digembar-gemburkan oleh pembangkang.
Ini kerana terdapat 4,604 pengundi pos, yang merupakan 33.7 peratus daripada 13,644 pemilih berdaftar, di kawasan berkenaan yang mempunyai beberapa kem dan pusat latihan tentera.
“Perkara ini harus ditangani kerajaan, khususnya SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya) supaya ketelusan agensi itu dapat dilihat,” kata penganalisis politik Prof Madya Dr Mohamad Agus Yusoff kepada Bernama di sini.Pas sejak dari awal lagi mengatur langkah mendesak SPR mengkaji sistem undi pos yang digambarkan dimanipulasi oleh BN.
Hari ini, Pemuda Pas mendesak agar parti itu dibenarkan berkempen di kem-kem tentera di kawasan itu, dengan mendakwa kerajaan menggunakan Kementerian Pertahanan bagi mengadakan aktiviti dalam kem sedangkan pembangkang tidak diberi ruang.
Mohamad Agus berkata dakwaan kononnya BN memanipulasi undi pos, hanya suatu persepsi tetapi BN dan SPR perlu memandangnya secara serius kerana rakyat akan menilai.
Katanya setiap kali apabila bilangan undi pos di sesuatu kawasan pilihan raya banyak, maka timbul dakwaan “kerajaan menang kerana undi pos”.
Pada pilihan raya umum 2008, tidak semua 5,191 undi pos di kawasan itu dibolot oleh calon BN yang meraih 3,080 manakala Pas mendapat 1,189.
Mohamad Agus berkata selain persepsi negatif mengenai undi pos, isu lain yang akan timbul di Bagan Pinang ialah nasib penduduk Kampung Buah Pala, isu kematian Teoh Beng Hock dan insiden “kepala lembu” di Seksyen 23, Shah Alam.
Seorang lagi penganalisis politik, Prof Dr Ahmad Atory Hussein berkata, beliau berpendapat isu di Bagan Pinang akan lebih tertumpu kepada soal calon bertanding.
“Siapa yang akan diletakkan oleh BN dan Pas akan menjadi perkiraan,” katanya.
Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian Azman Mohammad Noor dari BN pada 4 Sept lepas akibat jangkitan dalam darah. -Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan