Saya
memerhatikan pergolakan Selangor sambil mendisiplinkan diri dengan membisu
sekian lama. Diharapkan ia tidak menambahkan kekeruhan sedia ada sekalipun
sekian ramai awak-awak mengharu-birukan lagi keadaan dengan komen yang
sesetengahnya tidak bertanggungjawab, bahkan mencederakan nama baik PAS.
Tikus
lebih mudah merosakkan labu kerana menghancurkan lebih mudah daripada membina.Namun
begitu, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai seorang insan gentleman dan
berakhlak mulia mesti tahu batas beliau boleh menumpang PAS.
Beliau
boleh mendapatkan simpati, perlindungan sementara dan sokongan PAS dalam
lingkungan semangat Pakatan Rakyat (PR). Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi
Awang sudah menghulurkan ranting zaitun untuk beliau. Episod itu sudah berlalu.
Perkembangan
lain berlaku selepas episod itu. Di mana PAS tidak wajar timbul tenggelam
dengan Khalid dan menggorbankan prinsipnya yang lebih besar, nama baiknya,
akhlak politik dipegangnya dan amanah atas nama PR yang ia perolehi daripada
rakyat Selangor.
Tan Sri
sudah dipecat sebagai ahli PKR. Oleh kerana beliau belum diterima menjadi ahli
mana-mana parti gabungan dan bukan mewakili PR lagi.Tan Sri
sedar sepenuhnya hal ini?Kerajaan
Selangor adalah kerajaan PR. Bukan kerajaan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
Bagaimana
seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bebas bukan anggota PR boleh terus
menjadi menteri besar PR?Tan Sri
memecat exco daripada PKR dan DAP. Juga mengambil pelbagai langkah politik lain
lagi yang ikut memalitkan PAS tetapi PAS tidak pernah tahu mengenainya.
Tindakan
ini boleh memecahbelahkan PR kerana seakan-akan menunjukkan PAS terus mendokong
menteri besar yang sudah hilang legitimasi.Ia
merosakkan PAS dan Tan Sri tidak berhak berbuat demikian kepada PAS.
Untuk
memecat exco daripada PKR dan DAP dan mengekalkan PAS, ia mesti dibincangkan
lebih dulu dengan PAS (Jawatankuasa PAS Pusat) dan mendapat persetujuan
gabungan yang lain.
Saya
selaku salah seorang naib presiden tidak pernah dimaklumkan mana-mana pihak
tentang hal ini. Setahu saya, PAS Pusat juga tidak pernah memberikan mandat
kepada sesiapa untuk memutuskan perkara ini.
Dengan
ini, Tan Sri sudah melibatkan PAS untuk survival Tan Sri sebagai menteri besar
dengan cara yang menjejaskan nama baik PAS di mata rakyat Selangor. Ini sangat
tidak wajar.
Bagaimana
Tan Sri boleh kekal sebagai menteri besar dengan tidak melepaskan jawatan
secara bermaruah pada hari sama Tan Sri dipecat sebagai ahli PKR? Sultan
menitahkan untuk Tan Sri kekal adalah kebijaksanaan baginda tetapi Tan Sri
mempunyai pilihan untuk menolak perkenan itu atas pilihan Tan Sri sendiri.
Apa lagi
bertindak seakan-akan Tan Sri masih berkuasa penuh padahal asas
legitimasi Tan Sri sudah runtuh. Untuk kekal sebagai menteri besar, Tan
Sri tidak boleh mencaturkan 15 Adun PAS untuk menggenapkan cukup bilangan bagi
pembentukan kerajaan Selangor PAS + Umno + Khalid + lompat parti DAP/PKR.
Itu
sangat tidak bermoral. Itu meniru gaya Umno di Perak. Perbuatan terkutuk dan
ditolak amalan demokrasi yang mulia. Memasukkan perkongsian kuasa PAS dan Umno
melanggar banyak prinsip yang dipegang PAS selama ini.
Umno
adalah lawan PAS dan tidak ada mana-mana kuasa dalam PAS boleh mengizinkan PAS
berkongsi kuasa dengan Umno tanpa melalui kelulusan Muktamar Agung PAS.
Tidak
mungkin dilakukan dalam jangka masa Tan Sri membilang jumlah Adun untuk
mengekalkan Tan Sri sebagai menteri besar sekarang. Tan Sri sudah tidak
mempunyai cukup bilangan sekarang.Jika itu
dilakukan PAS, bermakna PAS menerima hubungan 'sodomy'.
15 Adun
PAS dipilih rakyat Selangor atas tiket kerja sama PR. Umno ditolak majoriti
rakyat Selangor kecuali di 12 DUN. Kedudukan Umno adalah sebagai pembangkang
dan PAS adalah sebahagian kerajaan Selangor.
Membawa
Umno daripada pembangkang dan duduk sebagai kerajaan bersama PAS dengan menolak
dua lagi parti gabungan yang dipilih secara sah oleh rakyat adalah perbuatan
terkutuk yang tidak dizinkan Islam.
Islam
tidak mengizinkan pengkhianatan. Islam tidak mengizinkan pecah amanah. Dalam
hal ini, amanah majoriti pengundi Selangor memilih PR sebagai kerajaan dan
menolak Umno.
Tan Sri
sebagai tokoh korporat yang biasa dengan angka tentu tahu, sekalipun 15 Adun
PAS campur 12 Adun Umno campur Tan Sri, ia hanya berjumlah 28 Adun daripada 56
jumlah Adun.
50:50. Ia
tidak membolehkan Tan Sri mendapat majoriti mudah dari awal, sekalipun jika PAS
dan Umno sanggup bersekongkol untuk mendaulatkan seorang insan bernama Khalid
Ibrahim lebih daripada segala-galanya.
Sementara
PAS dan Umno kedua-duanya, secara pendirian parti yang rasmi, tidak pernah
memberikan persetujuan itu sehingga hari ini. Hari Jumaat yang mulia - 15 Ogos
2014 - hari ini.
Jika Tan
Sri mengharapkan Rodziah Ismail dan Datuk Teng Chang Kim yang disebut-sebut
kononnya akan bersama Tan Sri sehingga Tan Sri melewatkan pemecatan Rodziah
berbanding yang lain, namun mereka mengambil pendirian insan bermaruah dan
pendekar terbilang kerana kekal bersama parti masing-masing.
Syabas!
Saya amat bangga dengan mereka dan ia memberikan hiburan bagi hati yang gundah
di tengah kecenderungan menggunakan "jual beli kuda taruhan".
Kentalnya
Rodziah menolak tawaran kekal dalam exco sekalipun berkereta besar dan bergaji
lumayan adalah satu tamparan yang patut menyedarkan Tan Sri pada saat itu juga.Legitimasi
Tan Sri sebagai menteri besar sudah berakhir.
Harapan
mendapatkan sekurang-kurangnya seorang Adun untuk mendapatkan majoriti mudah
sudah tertutup.
Apa lagi
bila dua Adun PAS mengambil langkah bersendiri mereka menolak Tan Sri sebagai
menteri besar secara terbuka.
Sekalipun
jika jarum jam boleh berpatah ke belakang, saya akan menasihatkan mereka untuk
terlebih dulu mendapat restu parti. Itu yang terbaik.
Tetapi
tindakan mereka meletakkan usaha pihak mana jua untuk mewujudkan sebuah
kerajaan gabungan PAS, Umno, Khalid dan Adun lompat gagal dan mustahil.Tan Sri
tahu ini.Lantas,
apa lagi yang ditunggu?
Tidakkah
mulia untuk Tan Sri bermaruah melepaskan jawatan menteri besar?Atau Tan
Sri kini berfikir untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN)?Bukankah
tindakan itu akan menyusahkan Tuanku Sultan Selangor?
Kenapa
tidak pada tarikh Tan Sri mengadap Sultan Selangor baru-baru ini Tan Sri
mencadangkan DUN dibubarkan?
Jika
kerana Tan Sri gagal mendapatkan cukup bilangan Adun dan Sultan Selangor
mengambil langkah membubarkan DUN, ia pada hemat saya, akan mencemarkan
istitusi diraja.
Model
Perak di mana tokoh yang mendapat sokongan majoriti dilantik tanpa pembubaran
DUN dan tanpa sidang DUN hendaklah menjadi cermin.
PAS sudah mengalami
pengalaman pahit bila menteri bedar Kelantan yang dilantik atas tiket PAS dan
hendak ditukar oleh PAS, antara lain bukan kerana kesalahan jenayah rasuah
tetapi semata-mata kerana gagal mengikut semangat dan arahan parti, mencetuskan
krisis disebabkan Umno melanggar konvensyen urusan parti lain tidak boleh
dicampuri parti gabungan yang lain.
Malangnya
Umno melanggar konvensyen itu. Lama PAS mengutuk tindakan jahat Umno itu. Dari
dulu hingga kini. Ia tercatat dalam dokumen rasmi PAS, ucapan pemimpinnya dan
tesis para mahasiswa.
Oleh itu,
Tan Sri tidak harus mengheret PAS dalam krisis Tan Sri.Parti Tan
Sri berhak menukar Tan Sri dengan calon lain.PAS boleh
memberikan pandangan tetapi harus akur prerogative itu adalah hak PKR.
Itulah
yang berlaku di Kedah semasa ada pandangan Tan Sri Azizan Abdul Razak wajar
ditukar daripada terus menjadi menteri besar.PKR tidak
menjamah urusan itu.
Jika Tan
Sri berterusan mengheret PAS, seakan Tan Sri mahu PAS dilihat melanggar
konvensyen yang sudah dijunjung sejak ia kehilangan kuasa di Kelantan 1978.
Jika budi PAS yang sudah menunjukkan setia kawan bersama Tan Sri dihargai,
janganlah PAS diseret lebih jauh.
Meletakkan
jawatan adalah langkah terhormat. Ia bukan akhir sebuah karier politik.Bertindak
secara tidak bermaruah itulah sebenarnya akhir sebuah karier politik. Dan
hitamnya rekod kehidupan.Pada hari
Jumaat yang berkat ini, kita memohon panduan Allah.
Husam
Musa,
Naib
presiden PAS, 15 Ogos 2014.
4 ulasan:
Alhamdulillah . Pencerahan yg amat bermunafaat drp YB Husam . Semoga PAS tidak berlengah utk meleraikan sokongan kpd TSKI . Agama mesti dijunjung , prinsip mesti dipertahankan
Lebih baik bayak berdiam dan berkata-kata. Dah nampak musang berbulu ayam.
Setuju. Nasihat dan pandangan yg sangat bertanggungjawab.
PR dah tiada di hati kami dah. Last last jadi parti laki bini je..
Catat Ulasan