Kelab Anwar Ibrahim (AIC) melihat ketidakupayaan Barisan Nasional
sebagai peneraju negara semakin terserlah apabila dengan sengaja
mencetuskan perbalahan moral dengan negara serumpun iaitu Indonesia
melalui satu penulisan ‘sampah’ yang ditulis oleh Zainuddin Maidin,
mantan Menteri Penerangan dalam Kabinet Tun Abdullah Ahmad Badawi.
AIC
melihat penulisan Zainuddin atau lebih dikenali sebagai ZAM ini sebagai
penuh rasa sombong dan marah, serta tidak menggunapakai etika penulisan
yang sebenar dan malas untuk menggali data-data sebenar bagi
menerangkan keadaan. Ini turut menggambarkan Barisan Nasional sebagai
betul-betul panik menghadapi pilihanraya umum ke 13 yang akan datang.
Zainuddin Maidin sebagai seorang ahli politik veteran dan pengalaman
sebagai bekas editor Kumpulan Utusan tidak menulis artikel itu
semata-mata sebagai kolum bacaan biasa, tetapi lebih tertumpu sebagai
menipiskan upaya politik dan peluang Dato Seri Anwar Ibrahim dan
kekuatan Pakatan Rakyat.
Malah tiada permohonan maaf serta sikap berdiam diri Barisan Nasional
menggambarkan artikel itu adalah seolah-olah adalah pendirian rasmi
regim Malaysia itu, dan tidak menggambarkan langsung usaha Datuk Seri
Najib Razak yang berpendidikan terbuka di Britain, untuk membawa satu
pembaharuan dalam “tranformasi’ yang dilaungkan, dengan cara rendah
mengekang pembangkang dalam pilihanraya.
Sebagai bekas Presiden Republik Indonesia, Prof. Dr. Ing BJ Habibie
pastinya salah seorang tokoh yang membawa imej negara republik itu ke
mana-mana sahaja negara yang beliau kunjungi, dan menjadi satu imej
terhormat di dalam dunia yang terbuka ini untuk beliau rapat dengan
sesiapa sahaja yang beliau inginkan tanpa ada sifat prejudis.
Menghina BJ Habibie adalah laksana menghina bangsa Indonesia itu
sendiri secara keseluruhannya, meski semasa era pentadbiran beliau tetap
menerima kritikan dan perbalahan isu dalam negara, tetapi beliau tetap
dihormati sebagai bekas Presiden yang membawa Indonesia melalui zaman
reformasi dengan begitu baik, adil dan saksama.
Ternyata Barisan Nasional sebagai pemerintah gagal memainkan peranan
diplomatik yang diperlukan sebagai sebuah kerajaan berdaulat. Mencipta
konfrontasi dengan negara luar apatah lagi di saat banyak isu dua hala
yang tidak selesai, menggambarkan kerajaan Najib Razak sudah begitu
lemah dan pura-pura bertenaga untuk memimpin lima tahun ke hadapan.
AIC bertegas bahawa penulisan dan etika Zainuddin Maidin itu sama
sekali tidak boleh diterima, dan hanya mewakili pandangan individu dan
parti komponen Barisan Nasional sahaja, jauh sekali menggambarkan
pendirian rakyat Malaysia secara menyeluruh. Rakyat Malaysia menjunjung
hubungan baik dengan Republik Indonesia sebagai sahabat terdekat, yang
sentiasa bersama-sama negara ini dalam suka dan duka sepanjang
penubuhannya sejak dulu.
Justeru, penulisan Zainuddin Maidin harus dipandang sepi, sebagai
satu interpertasi seorang penulis, dan bekas Menteri yang akhirnya telah
bertukar menjadi satu penulisan yang cukup bodoh dan kurang ajar,
berniat mencemarkan hubungan dua hala semata-mata mencuba untuk
memburuk-burukkan imej Dato Seri Anwar Ibrahim sebagai pemimpin Malaysia
yang sebenar diterima oleh pimpinan dunia terutama di Asean.
Saifuddin Shafi Muhammad
Presiden AIC Malaysia
Presiden AIC Malaysia
Tiada ulasan:
Catat Ulasan