KOTA BHARU: Timbalan
Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Dr Awang Adek Hussain diberi
tempoh sehingga 27 Disember ini bagi menarik balik kenyataannya sebelum
ini yang disifatkan cuba mempersendakan titah Sultan Kelantan.
Anak-anak muda yang bergabung di bawah Gabungan Profesional Menuntut
Royalti, Hak Pendaratan Minyak dan Gas Ke Kelantan (R) mendesak Ketua
Umno Bachok itu memohon maaf kerana kenyataannya tidak selari dengan
hasrat sultan dan rakyat Kelantan.
Baru-baru ini Awang Adek yang juga Timbalan Menteri Kewangan
dilaporkan berkata, kerajaan pusat tidak pernah berjanji mendaratkan
minyak di telaga di perairan antara sempadan Malaysia dan Thailand di
Bachok.
Menurutnya perjanjian mendaratkan minyak yang diperolehi di telaga
perairan antara sempadan kedua-dua buah negara hanya dibuat kerajaan
pusat dan Thailand pada tahun 1990-an dan dipersetujui didaratkan di
Songkla.
Sedangkan kata Presiden R, Nazri Deraman, titah Sultan Kelantan pada
Mac lalu mengharapkan gas asli yang terdapat di Telaga Bumi Selatan dan
Telaga Surya Selatan (blok PM301) didaratkan di negeri ini.
Menurut baginda gas itu dapat didaratkan kerana Kelantan telah
menyediakan zon industri petroleum di Bachok seluas 4,000 ekar sejak
tahun awal 1990-an.
“Ini sangat-sangat berbeza dan tersasar jauh dengan kenyataan yang
dikeluarkan Datuk Dr Awang Adek Hussain yang menyifatkan kerajaan pusat
tidak pernah berjanji mahu mendaratkan gas di Bachok.
“Tuanku berharap gas yang terdapat di perairan Kelantan didaratkan di
Bachok. Kenyataan pemimpin terbabit jelas seperti tidak mengendahkan
apa yang dititah baginda,” katanya pada demontrasi aman di perkarangan
Masjid Telipot selepas solat Jumaat petang ini.
Aktivis R yang diketuai Nazri berhimpun biar pun dalam keadaan hujan
bagi menuntut Awang Adek meminta maaf kerana kenyataannya jelas
bertentangan dengan ikehendak rakyat Kelantan.
Mereka mengangkat pelbagai sepanduk yang mengecam kenyataan Awang
Adek, antaranya berbunyi “Awang Adek Derhaka”, “Awang Adek Lidah
Bercabang”, “Kami Benci Penderhaka” dan pelbagai lagi.
Turut kelihatan Setiausaha R, Hisyamuddin Ghazali dan Ketua Penerangan Pemuda PAS Kelantan, Ahmad Fadhli Shaari.
Orang ramai yang keluar dari masjid juga turut memberi sokongan
dengar mendengar ucapan aktivis R. Malah ada aktivis yang mengedar
kelendar 2013 yang diterbit R, tertera gambar Menteri Besar, Tuan Guru
Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Ramai anggota dan pegawai polis berada di kawasan dan luar masjid memerhati perhimpunan tersebut dari dekat.
Nazri berkata, R akan mengadakan perhimpunan yang lebih besar
sekiranya pemimpin Umno terbabit enggan memohon maaf dan menarik balik
kenyataannya yang dianggap menghina titah Sultan Kelantan.
Menurutnya juga R akan menganjurkan satu perhimpunan di Bazar Tok
Guru pada 27 Disember ini bermula jam 12 tengahari sehingga petang.Hrkh
Tiada ulasan:
Catat Ulasan