Pemimpin Pakatan Rakyat (PR) hari ini mengatakan Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) Datuk Ibrahim Ali (gambar)
dalam keadaan “cemas” hingga terpaksa mengarahkan ahlinya menyokong MCA
dalam pilihan raya nanti walaupun parti tersebut sering mengguris hati
orang Islam dan kaum Melayu.
Walaupun
menyedari MCA sebagai lantang mengkritik orang Melayu dan Islam,
Ibrahim menyeru ahlinya mengenepikan perkara tersebut demi kemenangan
Umno dan BN pada persidangan Perkasa hujung minggu lalu.“Dia (Ibrahim) sudah cemas.
“Pilihan raya kali ini mungkin yang terakhir buatnya sebab itu dia
berkata demikian, kariernya politiknya akan terkubur,” kata Senator Dr
Ariffin SM Omar kepada The Malaysian Insider.
Ariffin juga mengecam Ibrahim yang sering menuduh DAP sebagai anti
Melayu dan Islam, tetapi demi kepentingan diri sendiri sanggup
mempertahankan MCA hanya kerana mahu menang pilihan raya nanti.
“Ibrahim Ali perlu beri sebab kenapa orang Melayu perlu sokong MCA.
Atau adakah ini kerana kepentingan politik?” kata Ariffin yang baru
dilantik ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP.
Ahli parlimen Shah Alam (PAS) Khalid Samad pula memberitahu The
Malaysian Insider kenyataan Ibrahim bukan sesuatu diluar jangkaan
memandangkan kesetiaan ahli parlimen Pasir Mas itu kepada Umno dan BN.
Khalid mendakwa presiden Perkasa tersebut tidak mempunyai “wawasan
politik” dan masih lagi mengamalkan sikap politik “lapuk” untuk meraih
sokongan.
“Ini membuktikan Ibrahim Ali tidak mempunyai wawasan politik, kaedah yang digunakannya sudah lapuk dan lama,” kata Khalid.
“Ia bukan sesuatu yang menghairankan, ini membuktikan beliau
menyokong kezaliman sekalipun melanggar prinsip Islam dan menghina orang
Melayu.”
Menurut Khalid, perkara tersebut adalah formula Umno dalam BN yakni
penguasaan ke atas MCA dan MIC membolehkan mereka menjadi tuan kepada
kedua-dua parti tersebut.
“Inilah formula Ketuanan oleh Umno dalam BN, mereka menguasai MCA dan MIC supaya dapat menjadi tuan kepada mereka.“Ia bukti beliau sanggup mengadai apa sahaja demi Umno,” tegas Khalid.
Pada Oktober lalu, media melaporkan Naib Pengerusi Wanita MCA Senator
Heng Seai Kie berkata bahawa PAS menggalakkan rogol kepada wanita yang
tidak menutup aurat dalam ucapannya pada perhimpunan agung MCA.
Kenyataan tersebut juga mendapat sokongan oleh presidennya Datuk Seri
Chua Soi Lek hingga menyebabkan tercetus kecaman hebat daripada parti
Islam tersebut dan penyokongnya.
Walaubagaimanapun, tiada satu pun badan bukan kerajaan Melayu yang
pro-Umno seperti Perkasa, Pekida, Jati dan lain-lain tampil mengulas
mengenai isu tersebut.
“Tuan-tuan jangan terasa atau terguris hati, saya lagi terguris bila pemimpin-pemimpin MCA buat macam-macam kenyataan.
“Tapi saya tahu, kenyataan-kenyataan oleh MCA itu demi menangkis
sikap Chauvinis daripada DAP,” kata Ibrahim pada persidangan NGO
tersebut hujung minggu lalu.
“Justeru saya akan pastikan dan menyeru anggota Perkasa di peringkat
akar umbi supaya memberi sokongan kepada calon BN termasuk calon MCA.”
Walaupun menggesa supaya memberi sokongan kepada MCA, Ibrahim pada
masa sama mengatakan komuniti Cina akan menjadi ancaman kepada
keselamatan negara sekiranya mereka berkuasa dalam politik dan ekonomi
dan akan mengulangi insiden 13 Mei 1969.
Beliau turut menafikan dirinya dan Perkasa sebagai rasis kerana
mendakwa mereka hanya mempertahankan apa yang dijamin oleh Perlembagaan
Persekutuan.
Dalam pada itu, ketua penerangan PKR Dr Muhammad Nur Manuty berkata
presiden Perkasa itu berhak untuk berkata apa sahaja tetapi yakin
pengundi sudah matang untuk memilih.
“Itu adalah hak Ibrahim Ali tapi rakyat Malaysia juga mempunyai hak
untuk memilih. Jadi rakyat juga berhak memilih,” ujar beliau.TMI
1 ulasan:
Kalau dia tak buat kenyataan bagini siapa dan wartawan dari akhbar mana yang akan muatkan kenyatan yang tak masuk akal tu sedang kenyataan yang dikeluarkan itu pun dicaci oleh ahli-ahli dia sendiri , jadi yang YB-yb PR dok pi buat ulasan bauat kejadah apa, biarkan dia dengan gila talaq nak balik kepada UMNO tu usah dilayan orang yang tak tau kenang budi, ibarat kata pepatah yang memang patah,Kayu yang dijadikan arang akan bakar apa saja walau pun dirinya sudah dua kali dibakar.Carilah sendiri maksudnya.
Catat Ulasan