KUALA LUMPUR 30 Oktober: KEADILAN akan membuat laporan polis Khamis
ini mendesak siasatan terhadap pengambilan hutan simpan untuk aktiviti
pembalakan haram yang dilakukan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk
Seri Mohammad Hassan.
“Sehingga kini Mohammad masih belum memberi sebarang jawapan mengenai
perkara ini dan hanya mendiamkan diri. Oleh itu, saya dan pimpinan
Pakatan Rakyat serta aktivis NGO akan membuat laporan polis di Seremban
pada 1 November ini jam 3 petang agar siatan dapat dimulakan segera,”
kata Pengarah Strateginya, Rafizi Ramli pada sidang media di Parlimen
hari ini.
Beliau berkata, Mohammad perlu mendedahkan segera semua maklumat
skandal konsesi pembalakan di negeri itu melibatkan kuota 4,800 hektar.
“Rakyat berhak tahu siapa yang mendapat konsesi balak ini, berapa
hasilnya kepada kerajaan negeri dan status hak milik tanah-tanah ini
setelah diterokai.
“Sebaliknya
jika keadaan ini tidak berlaku, KEADILAN akan terus mendedahkan
individu-individu yang mendapat ‘durian runtuh’ dari kegiatan pembalakan
di atas tanah hutan simpan ini dan kaitan mereka dengan pimpinan Umno
BN,” kata Rafizi.
8,616 hektar hutan simpan dibatalkan status
Menurut Rafizi, pendedahan tersebut berdasarkan Laporan Audit 2010
yang menegur kerajaan negeri berhubung penggantian kawasan hutan simpan.
“KEADILAN menyemak dokumen-dokumen rasmi secara jelas menunjukkan
Kerajaan Negeri Sembilan, mempunyai rekod paling buruk dari segi
kegagalan menggantikan hutan simpan yang diambil untuk kegunaan lain.
“Walaupun ada sedikit penggantian sebanyak 2,400 hektar seperti yang
disebut oleh Mohammad, jumlah keluasan hutan simpan di Hutan Simpan
Jeram Padang Selatan yang dibatalkan statusnya bagi tujuan pembalakan
adalah jauh lebih besar, yang mencatat 8,616 hektar tanah hutan hilang,”
katanya.
Rafizi berkata, jika kegiatan pembalakan dan penerokaan hutan di
negeri itu berterusan dan di luar kawalan akibat tidak dapat
menggantikan hutan simpan yang dibatalkan, Negeri Sembilan bakal
kepupusan tanah hutan.
“Pada kadar kehilangan hutan simpan lima peratus setiap lima tahun,
KEADILAN menjangkakan kawasan hutan dan tadahan hujan di Negeri Sembilan
boleh pupus sepenuhnya dalam tempoh 50 tahun, terutamanya apabila
semakin tahun hutan simpan makin berkurangan,” katanya.KD
Tiada ulasan:
Catat Ulasan