KUALA LUMPUR 16 Oktober: Perbicaraan insiden kes mata lebam oleh
Datuk Seri Anwar Ibrahim akibat dibelasah ketika dalam tahanan polis 14
tahun lalu yang dijadual bermula hari ini dibatalkan, setelah Tan Sri
Musa Hassan menarik balik saman fitnah terhadap Ketua Umum KEADILAN itu
pagi tadi.
Penarikan balik saman oleh bekas Ketua Polis Negara itu adalah
berkaitan laporan polis oleh Anwar berhubung pemalsuan bukti dalam
perbicaraan kes Fitnah 1.
Ia direkodkan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Asmabi Mohamad
di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang penuh sesak dipenuhi penyokong
Anwar.
Peguam Kamarul Hisham Kamaruddin dan Hasnal Rezua Merican yang
mewakili Musa, memaklumkan kepada Asmabi mengenai penarikan balik saman
tersebut.
Peguam
Latheefa Koya yang mewakili Anwar berkata, penarikan balik saman
tersebut membuktikan tuduhan fitnah ke atas Anwar tidak berasas.
“Musa Hassan telah tarik balik saman beliau kerana berpuas hati
dengan semua kenyataan Datuk Seri (Anwar) selama ini, jadi tiada kes
untuk diteruskan,” katanya.
“Jelas apa yang dipertahankan Datuk Seri Anwar Ibrahim tentang
konspirasi dan fitnah itu benar, kerana Musa Hassan telah menarik
dakwaan beliau,” kata seorang lagi peguam, N Surendran ketika ditemui.
Sepatutnya, Surendran akan mula menyoal balas Musa pagi ini dalam kes
saman ke atas laporan polis berkenaan pemalsuan keterangan laporan
perubatan oleh beliau dan Ketua Pasukan Pendakwa Raya, Tan Sri Abdul
Gani Patail.
Merujuk laporan Keadilan Daily sebelum ini, Surendran
berkata, sehingga hari ini, tidak ada siasatan bebas mengenai
penglibatan Umno BN dalam serangan terhadap bekas Timbalan Perdana
Menteri itu pada malam 20 September 1998 oleh Ketua Polis Negara ketika
itu, Tan Sri Abdul Rahim Noor.
“Selepas 14 tahun, serangan mengerikan itu masih menjadi trauma seluruh negara,” kata Naib Presiden KEADILAN itu.
Surendran berkata, ketika ditangkap, Anwar diikat tangan, ditutup
mata, ditampar dan ditumbuk berulangkali sehingga jatuh ke lantai.
“Dalam keadaan separuh sedar, darah keluar dari mulut dan hidung,
Anwar dinafikan hak mendapat rawatan. Malah dipaksa menandatangani
perintah tahanan ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri).
“Pegawai tertinggi polis ada di tempat kejadian. Namun tidak seorang pun yang mengambil tindakan membuat laporan,” ujarnya.
Pada malam tersebut, Anwar ditangkap secara salah oleh pasukan khas
polis yang menerima arahan kerajaan Umno BN diketuai Perdana Menteri, Dr
Mahathir Mohamad ketika itu.
Tangkapan
dan serangan itu sebahagian dari perancangan Umno BN mensabitkan Anwar
dengan salah laku seks dan pertuduhan rasuah, selepas beliau dipecat
pada 2 September 1998.
Namun kes berkenaan mendapat liputan meluas antarabangsa dan desakan
berterusan mengheret Rahim ke penjara serta dipecat dari jawatannya
sebagai ketua nombor satu dalam PDRM.
Lebih teruk, kata Surendran, Anwar hanya diberi rawatan selepas empat
hari serangan dan dalam keadaan itu, beliau dipaksa memberi keterangan.
“Pada 1 Oktober 1998, Dr Mahathir berbohong kepada rakyat Malaysia
dengan mengatakan bahawa kecederaan itu dilakukan Anwar sendiri,”
katanya.
Bekas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (CID), Mat Zain Ibrahim sebelum
ini mengesahkan bukti-bukti yang digunakan terhadap Anwar dalam kes
Fitnah 98 dipalsukan.
Mat Zain, pegawai yang menyiasat insiden mata lebam Anwar itu membuat
pendedahan tersebut dalam surat-surat terbukanya kepada Ketua Polis
Negara sekarang, Tan Sri Ismail Omar.
Beliau mengesahkan pemalsuan bukti itu dilakukan pegawai penyiasat
polis pada masa itu, Musa dan Ketua Pasukan Pendakwa Raya, Gani.
Dalam surat terbuka kepada Ismail 12 September 2011, Mat Zain
menyatakan pemenjaraan Anwar adalah ketidakadilan yang dirancang Musa
dan Gani.
Pemalsuan bukti diperoleh berdasarkan perbezaan di antara fail rasmi
kes pada tahun 1998 dengan kenyataan bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir
di dalam autobiografinya, ‘A Doctor in The House’.
Beliau mendedahkan Musa dan bekas Ketua Polis Melaka, Datuk Mohd
Rodwan Yusof, ‘mencuri’ sampel darah Anwar daripada doktor Hospital
Kuala Lumpur (HKL), Dr Zahari Noor sewaktu siasatan peristiwa mata lebam
dibuat.
Mat Zain mengakui bertemu dan berinteraksi dengan watak utama dalam
konspirasi ini, termasuk Mahathir, Gani dan Musa selain pesuruhjaya
Suruhanjaya Diraja Siasatan insiden mata lebam.
Surendran menambah, Umno BN terus memanipulasi undang-undang dengan
memperalatkan polis apabila mensabitkan Anwar dengan kes Fitnah II.
“Serangan terhadap bekas Timbalan Perdana Menteri dan campur tangan
pihak tertinggi membuktikan tidak ada rakyat Malaysia yang selamat di
bawah Umno BN,” katanya.
Bagaimanapun, mahkamah membebaskan Anwar daripada tuduhan Fitnah II pada 9 Januari lalu.KD
1 ulasan:
setiap kejadian ada pengajaran bagi golongan yang datang kemudian
Catat Ulasan