Dalam satu kenyataan media, beliau menegaskan perbezaan antara Yahudi sebagai bangsa dengan ideologi Zionis yang menubuhkan negara Israel dan menindas umat Islam di Palestin.
“Yahudi sebagai individu dan manusia tidak menggalas apa-apa beban kesalahan, hanya kerana dirinya berbangsa Yahudi. Malah Rasulullah SWT sendiri pernah berurusan dengan Yahudi”, kata Nik Aziz.
Beliau merujuk hadis sahih riwayat Imam Bukhari, yang mengatakan Baginda menggadai baju besinya kepada seorang Yahudi bagi mendapatkan 30 sho’(ukuran berat di zaman tersebut) gandum untuk keperluan harian baginda dan keluarga.
“Jika ada yang menyatakan berurus niaga dengan Yahudi adalah haram, ternyata ia disebabkan kejahilannya tentang Islam,” kata Menteri Besar Kelantan itu.
Beliau menjelaskan, apa yang menjadi kesalahan adalah urus niaga dengan kerajaan Zionis Israel, yang merampas tanah dan membunuh umat Islam Palestin.
“Urus niaga dengan Israel bererti mengiktiraf kewujudan mereka, dan itu merupakan satu jenayah yang tidak boleh dimaafkan,” kata beliau yang mesra dengan panggilan Tok Guru.
Nik Aziz turut meluahkan rasa hairan dengan sesetengah pihak yang cuba menjadi juara menentang Israel, namun pada masa sama menjalinkan hubungan dagang dengan mereka.
Beliau merujuk jawapan Menteri Kewangan di Dewan Rakyat minggu lepas, yang mengatakan Larangan Mutlak ke atas barangan dari Israel dibawah Jadual Pertama Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) dipinda kepada Larangan Bersyarat di bawah Jadual Kedua Perintah yang sama pada tahun 1994.
Sejak itu, barangan yang diimport dari Israel dibenarkan tertakluk kepada Lesen Import dari Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri.
20 Februari lalu, NGO Jingga 13 pula mendedahkan dokumen Jabatan Kastam, Westport menunjukkan kapal Zim Atlantic dan Zim USA, milik syarikat Zim Integrated Shipping Services Ltd, yang berlabuh di Pelabuhan Klang datang terus dair Ashdod, Israel.
98 peratus saham syarikat yang berpengkalan di Haifa, Israel itu dimiliki kerajaan Zionis Israel. Sahamnya turut tersenarai di Bursa Tel Aviv.Keadilandaily
Tiada ulasan:
Catat Ulasan