Ketika kita menghampiri hari keputusan perbicaraan kes liwat 2 yang
bukan sahaja melibatkan masa depan karier politik Datuk Seri Anwar
Ibrahim, semakin banyak telahan siapakah pemimpin yang paling layak
mengepalai Pakatan Rakyat sekiranya beliau dipenjarakan nanti.
Rata-rata tentunya bersetuju, keputusan mahkamah itu nanti dianggap
akan mempengaruhi masa hadapan Pakatan termasuklah dalam isu menentukan
siapakah bakal PM pertama Pakatan sekiranya mereka memenangi Pilihan
Raya Umum ke 13 (PRU-13) nanti.
Selain isu bakal PM Pakatan, juga penting untuk dicongakkan, siapakah
yang paling mampu menjana kebangkitan Pakatan sekiranya sekali lagi
mereka tertewas dalam PRU-13 nanti.
Bagi pengunjung blog milik pengamal media popular, Mohd Sayuti Omar,
Naib Presiden PAS, Dato’ Husam Musa dianggap sebagai calon popular
untuk menerajui Pakatan sekiranya ketua pembangkang itu didapati
bersalah dan dipenjarakan.
Sekurang-kurang demikianlah menurut keputusan undian yang melibatkan
seramai 2,246 pengunjung blog Merah Tinta MSO sehingga hari ini.
Dalam tinjauan tersebut, Husam memperolehi undian tertinggi dengan
796 undian atau 35 peratus meninggalkan lima calon lain di belakang
beliau.
Usia beliau yang dianggap masih muda dan majoriti pengunjung blog
terbabit yang dipercayai di kalangan penyokong PAS mungkin boleh
dianggap sebagai faktor yang mendorong kepada keputusan tersebut.
Hadi di belakang Husam
Agak menarik juga untuk diperhatikan, Presiden PAS, Datuk Seri Haji
Hadi Awang sendiri turut berada di belakang Husam dengan 521 undian
atau 23 peratus.
Manakala Mursyidul Am PAS, Dato Nik Aziz Nik Mat yang mengumpul 487 undian atau 21 peratus mengekori di tempat ketiga.
Meskipun Nik Aziz dikatakan seorang tokoh PAS yang paling berpengaruh
dalam parti itu dan turut disenangi oleh rata-rata pemimpin dari parti
lain dalam Pakatan, faktor usia dan kesihatan beliau dipercayai
mempengaruhi undian pengunjung blog tersebut.
Sementara itu, Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar menduduki tangga keempat dengan 261 undi atau 11 peratus, diikuti Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali, 91 undian dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, 90 undian.
Sedikit sebanyak keputusan tersebut mampu memberi gambaran penerimaan
pengunjung blog tersebut terhadap Nurul Izzah lebih baik berbanding
Azmin Ali.
Guan Eng pula, meskipun dianggap seorang pemimpin muda berkaliber dan
memiliki rekod prestasi baik dalam mentadbir Negeri Pulau Pinang,
masyarakat Melayu negara ini dikatakan masih kurang bersedia menerima
seorang pemimpin dari kalangan bukan Melayu.
Selain itu, faktor untuk mengelakkan serangan dari Barisan Nasional
khususnya Umno turut memberi kesan terhadap undian yang diterima Guan
Eng.Bagaimanapun, saya percaya, umum tentu bersetuju bahawa semua
keputusan tersebut yang masih berbaki tiga hari sebelum undian ditutup
tidaklah boleh dianggap sebagai gambaran keadaan sebenar dalam Pakatan.
* Penulis adalah penulis/wartawan bebas. Selain di FMT, artikel lain beliau boleh dicapai di bedukcanang.blogspot.com
1 ulasan:
Hangpa nak bunuh Husam dengan berita macam ni. Nanti riuh Nik Abduh le.
Catat Ulasan