Rabu, 23 November 2011

Antara Sebab Kenapa Kelantan Bubar Dun Ikut Pusat

KOTA BHARU, 23 Nov: Kelantan akan membubarkan Dewan Undangan Negeri (Dun) bersama dengan kerajaan Pusat sekiranya pengumuman pembubaran parlimen dilakukan pada masa terdekat.

Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, adalah tidak berbaloi sekiranya pilihan raya diadakan berasingan antara parlimen dan Dun.

“Kalau kita buat berasingan segala ‘iblis syaitan’ sana akan tertumpu pada satu kawasan.

“Apabila dah banyak sangat, susah kita nak kawal nanti,” katanya.

Tambahnya, dengan pengalaman lebih 20 tahun memerintah Kelantan, sebaiknya pilihan raya parlimen dan Dun diadakan sekali.

Tuan Guru berkata demikian sewaktu diminta mengulas oleh pemberita mengenai kenyataan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang tidak akan membubarkan Dun Selangor sehingga Jun 2012 bagi memastikan belanjawan negeri dapat dilaksanakan pada tahun depan.Hrkh

SPR Jangan Menyibuk Urusan Parti Politik

Pewan Pemuda PAS Malaysia (DPP Malaysia) membidas tindakan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) yang ‘menyibuk’ terhadap urusan parti politik lain dengan mengusahakan agar  Pilihanraya Umum di Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) di seluruh negara kecuali Sarawak didakan serentak.
DPP Malaysia berpendapat SPR tidak berhak masuk campur terhadap urusan pihak lain sedangkan urusan kendaliannya banyak lagi yang tidak selesai. Dari segi undang-undang tidak menyekat mana-mana kerajaan negeri untuk mengadakan pilihanraya umum secara berasingan, mengapa SPR pula ‘terhegeh-hegeh’ mahu menasihati parti politik untuk mengadakan PRU secara serentak?
Sepatutnya urusan mengadakan pilihanraya umum secara serentak atau berasingan diputuskan oleh Pakatan Rakyat atau Barisan Nasional, dan SPR tidak berhak mempertikai atau campurtangan terhadap perkara ini. Tugas utama SPR adalah melaksanakan perjalanan pilihanraya agar ia berlangsung dengan baik, sistematik, telus, dan adil. Mencampuri urusan parti-parti politik terutama pembangkang akan dilihat oleh rakyat bahawa SPR terikat dengan arahan pihak tertentu yang berkepentingan.
DPP Malaysia mengesyorkan, jika SPR benar-benar mahu menasihati pemimpin parti politik, adalah lebih baik Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohamad Yusof menasihati dahulu Perdana Menteri agar mengumumkan tarikh pilihanraya umum kepada rakyat daripada awal. Ini lebih penting supaya semua pihak dapat membuat  persiapan bagi menghadapinya. Merahsiakan tarikh pilihanraya merupakan suatu tindakan yang tidak bijak kerana boleh mengganggu jadual parti politik dan rakyat keseluruhannya.
DPP Malaysia juga mencadangkan agar SPR menasihati Perdana Menteri untuk mewujudkan Kerajaan Sementara selepas pembubaran parlimen sehingga tarikh pengundian. Ini akan lebih adil kepada semua pihak yang bertanding dalam PRU ke 13 nanti. Ia boleh mengekang budaya rasuah, projek segera, penyalahgunaan kuasa dan wang dan lain-lain lagi.

RIDUAN MOHD NOR
Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS Malaysia

Bukti PRU 13 Awal Tahun Hadapan


KHABAR angin yang bertiup kencang bahawa Pilihanraya Umum ke 13 akan berlangsung pada bulan Disember ini, bolehlah dianggap sebagai sesuatu yang tidak tepat berdasarkan satu keratan notis pekeliling yang menunjukkan situasi yang sebaliknya akan berlaku.

Dalam satu notis yang dikeluarkan oleh Pegawai Daerah Klang itu mengarahkan supaya semua sewaan Dewan Serbaguna Pejabat Daerah Klang untuk sebarang majlis termasuk perkahwinan bagi bulan Januari, Februari, Mac dan April 2012 ditutup buat orang rama


Ini adalah bertujuan untuk persediaan Pilihanraya Umum ke 13 yang bakal berlangsung pada bila-bila masa sahaja.

Sudah pastilah Pegawai Daerah tersebut telah menerima 'hint" atau isyarat dari pihak atasan mereka sebelum bertindak mengeluarkan arahan tersebut.

Nampaknya rakyat Malaysia terutamanya di Daerah Klang harus mengatur semula jadual perkahwinan jika merancang berkahwin pada sekitar empat bulan tersebut.

Demi mengelakkan masalah-masalah yang bakal timbul kelak jika terdapat kekangan untuk menyewa dewan serbaguna ini.

Mungkin mereka terpaksa mengeluarkan lebih perbelanjaan untuk mengadakan resepsi perkahwinan di hotel-hotel terkemuka jika perubahan jadual tidak dielakkan.

Nampaknya bajet juga akan bertambah, kecuali mereka berlumba-lumba untuk mengadakan majlis pada dua bulan terakhir ini, November dan Disember 2011.

Umno terus dera rakyat Kelantan


Oleh M FAQIH

PADA 2009 Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani mengumumkan program subsidi beras kepada rakyat miskin. Ia juga dikenali sebagai SUBUR. Dato’ Seri Noh Omar mengumumkan penerimanya dipilih dari senarai E-Kasih.
Selepas pengumuman dibuat, macam-macam kenyataan dikeluarkan pemimpin Umno.Akhirnya, seorang pemimpin Umno dari Kelantan mahu program itu ditangguh kerana isu senarai penerima dipertikaikan. Kata orang Bachok, mereka berebut pusaka orang miskin.

Tragedi itu memperlihatkan wajah Umno sebenar. Program untuk rakyat miskin pun mereka bertelagah. Akhirnya, program itu hanya terperap di atas kertas.

Cadangan menteri mahu SUBUR dilaksanakan pada awal 2010 sekadar manis di bibir. Sekarang 2011 menghampiri senja, namun program SUBUR tidak lagi menjadi subur.
Maka ada pihak berhujah, bantuan untuk tok fakir pun Umno berebut-rebut. Timbul isu orang aku, orang kamu. Isu seperti itu sebenarnya tidak menjadi pelik di Kelantan.
Selagi dikenali sebagai ahli atau penyokong Umno segala bantuan kerajaan pusat mereka bolot. Contohnya bantuan kepada mangsa banjir di sebuah kampung di Kuala Krai turut dibolot penyokong Umno, sedangkan rumahnya terletak di atas bukit.
Inilah Umno, wajah mereka berbalam-balam. Siang nampak  jalur di dahi, malam hitam di hati. Di Dun Manek Urai ramai penyokong Umno mendapat bantuan membaiki rumah. Ada rumah yang masih elok dan zink belum berkarat diberi zink baru.
Rumah bukan penyokong Umno yang tiris di sana-sani dibiarkan. Habuan projek bernilai lebih RM5,000 merubah wajah rumah penyokong Umno.
Itu belum lagi diungkit rumah program pembangunan rakyat termiskin (PPRT). Cerita ketua wanita cawangan atau Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) bolot rumah PPRT bukan cerita baru. Lebih menariknya rumah itu bukan diduduki, sebaliknya disewakan. Buktinya ada di mana-mana termasuk di Dun Bunut Payong, Kota Bharu.