KUALA LUMPUR, 2 Ogos — Persatuan Kontraktor Melayu Pulau Pinang
mengecam sambil mendakwa MCA memainkan sentimen perkauman dengan melabel
Ketua Menteri Lim Guan Eng sebagai anti-Cina hanya kerana kebanyakan
projek di bawah sistem tender terbuka diberi kepada kontraktor
Bumiputera.
Pemangku Yang Dipertua Persatuan Kontraktor Melayu Pulau Pinang Datuk
Izham Merican berkata, “nampaknya MCA begitu jahil sekali” kerana tidak
faham istilah tender terbuka yang membenarkan semua kontraktor tanpa
mengira kaum dan agama bersaing untuk projek kerajaan negeri, termasuk
yang melebihi nilai RM200,000 dan memilih yang paling baik dari segi
harga dan kualiti.
“Dengan hanya mempertikaikan pemberian kontrak kepada Melayu, adakah
MCA bersifat perkauman, dengan memandang rendah keupayaan kontraktor
Melayu yang dianggap tidak setaraf atau sebaik dengan kontraktor lain?
“Persatuan Kontraktor Melayu Pulau Pinang menolak dengan
sekeras-kerasnya sentimen perkauman MCA yang menghina kontraktor Melayu
dengan persepsi negatif ini,” kata beliau dalam satu kenyataan
dikeluarkan.
Mengulas kenyataan Ketua Wanita MCA Puan Tan Cheng Liang baru-baru,
Izham menegaskan, MCA harus ingat bahawa dalam semua kaum ada
golongan yang baik dan ada yang tidak sebegitu baik, begitu juga di
kalangan masyarakat Cina sendiri.
Dalam sistem tender terbuka, katanya, pemberian kontrak di bawah
kerajaan negeri Pulau Pinang dilakukan secara adil dan tidak
mengetepikan kaum lain.
“Saya sebagai Timbalan Yang Dipertua dan Pemangku Yang Dipertua telah
berjumpa dengan Ketua Menteri supaya membantu warga kontraktor
Bumiputera di Pulau Pinang dan ini disambut baik oleh Ketua Menteri.
“(Ia) menunjukkan sikap profesionalnya, beliau tidak mencampur aduk
hal politik dan tidak memilih kaum untuk membantu dan selalu bercakap
berdasarkan fakta dan ini amatlah disanjungi,” kata Izham lagi.
“Malah ahli-ahli persatuan saya amat menghargai pendekatan YAB Ketua
Menteri yang tidak mewajibkan sebarang kontrak kerajaan mesti mendapat
kebenaran ketua bahagian parti seperti yang dibuat sebelum ini.
“Saya hendak mengingatkan bahawa isu penawaran kepada kaum Bumiputera
tidak harus dipolitikkan dan atau dijadikan isu perkauman,” katanya
lagi.
Izham juga menambah, sebagai sebuah NGO yang mempunyai ahli daripada
pelbagai parti walaupun kebanyakannya terdiri daripada ahli Umno,
perjuangan pihaknya adalah menentukan warga kontraktor terbela.
Kata Izham, pada hari ini ramai kontraktor yang gulung tikar dan
keadaan yang dialami dalam industri pembinaan tidak lagi seperti suatu
ketika dahulu dan “kami merayu kepada kerajaan pusat supaya dapat
membantu menangani masalah ini.”
“Kami ucapkan terima kasih kepada kerajaan pusat dan ketua menteri
yang telah pun berusaha dan telah mengatasi masalah-masalah yang
dikemukakan oleh pihak persatuan,” katanya lagi.
Malah kata beliau, seperkara lagi untuk makluman sekiranya kontrak
ditawarkan kepada Bumiputera, harus diingat bahawa kebanyakan
pembekal-pembekal adalah bukan Bumiputera dan golongan pekerja-pekerja
juga kebanyakan bukan kaum Bumiputera.
“Oleh itu, bagi tiap-tiap projek yang ditawarkan oleh pihak kerajaan
kepada kontraktor Bumiputera dengan cara tersendirinya memberi peluang
kepada kaum-kaum lain.
“Saya sebagai Timbalan Yang Di Pertua dan Pemangku Yang Dipertua
persatuan ingin menyatakan bahawa setakat hari ini Ketua Menteri Pulau
Pinang tidak pernah mengetepikan kaum Bumiputera dalam industri
pembinaan dan sebagai pemimpin beliau bersikap terbuka walaupun dicemuh
oleh pihak-pihak tertentu yang sengaja tidak faham akan dasar kerajaan
negeri,” katanya lagi.TMI
1 ulasan:
Salam Ramadhan Daripada Saya Buat Semua Umat Islam Di Malaysia.Selamat Menunaikan Ibadah Puasa
Cityiklan
Iklancoffee
andaforex
iklan percuma Online Malaysia
Catat Ulasan