IPOH, 16 Ogos: Adun Pakatan Rakyat Perak menggesa
Timbalan Ketua Polis negeri, Datuk Zakaria Yusof menarik balik kenyataan
terhadap mereka dan memohon maaf kepada rakyat.
Gesaan itu dibuat oleh Adun Pasir Panjang, Datuk Seri Mohammad Nizar
Jamaluddin yang mewakil semua Adun Pakatan Rakyat di dalam laporan polis
di Ibu pejabat Polis Daerah Ipoh, di sini, hari ini.
“Maka dengan ini, saya gesa Datuk Zakaria menarik balik kenyataannya
terhadap kami wakil rakyat dan memohon maaf kepada rakyat dan kami wakil
rakyat dalam tempoh bulan Ramadzan ini dan berhenti menjadi pekakas dan
alat Umno BN.
“Jangan cemarkan nama baik PDRM dan pulihkan nama baik PDRM di kaca
mata rakyat!” ujarnya yang juga AJK PAS Pusat dalam laporan polis itu.
Berikut adalah laporan polis tersebut.
Adalah dengan ini satu laporan polis dibuat di IPD Ipoh, Perak pada
16 Ogos 2011 (Selasa) terhadap Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk Zakaria
Yusof mengenai kenyataan beliau terhadap kami Adun sebagaimana terpapar
di muka depan di dalam akhbar Sinar Harian, semalam.
Dengan tajuk “JAGA ADAB” beliau menyatakan “saya harap ahli-ahli
dewan menjaga tingkah laku ketika membentangkan suara rakyat. Sekiranya
berlaku provokasi, kita akan atasi sebaik mungkin”.
Saya dengan ini bertegas menyatakan bahawa kenyataan ini melanggar
serta bertentangan dengan Kanun Keseksaan (Akta 574) perkara 124.
Kenyataan melampau dan keterlaluan ini juga membuat saya berasa
terguris, marah, terhina, takut, cemas, bimbang, malu, dan dukacita.
Sekaligus beliau mengenepikan Undang-undang tubuh Kerajaan Perak
(Perlembagaan Perak), Perlembagaan Persekutuan dan Peraturan Tetap Dun
yang mana saya dan semua Adun telah mengangkat sumpah memelihara dan
mendukungnya.
Sebagai wakil rakyat dan ahli dewan, saya juga tertakluk kepada semua
perkara yang terkandung didalam Peraturan Tetap dewan bagi mentadbir
perjalanan mesyuarat termasuk adab, tatasusila, peraturan persidangan
dewan serta tingkah laku kami. Dewan mempunyai Tuan Speaker dan
pengawalnya tersendiri. Doktrin pengasingan kuasa dan sistem demokrasi
berparlimen menjadi ikutan saya dan rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat.
Kenyataan Datuk Zakaria di dalam laporan akhbar tersebut juga
mengesahkan bahawa sejak rampasan kuasa oleh Umno BN pada bulan Februari
2009, kesemua persidangan Dun Perak telah dicerobohi oleh PDRM dengan
kehadiran begitu ramai anggota serta kenderaan polis. Saya ingin
mengingatkan bahawa PDRMlah yang telah masuk dan menceroboh Dun Perak
pada 7 Mei 2009, sedang Speaker YB Sivakumar mengendalikan persidangan
dan YB Sivakumar telah diheret dan diangkat serta digulingkan oleh
anggota polis dan beliau telah dikunci selama satu jam di bilik belakang
dewan.
Sementara kami Adun Pakatan Rakyat dibelasah dan dikasari oleh polis
didalam dewan dan ditonton oleh media, rakyat, Orang-orang Besar Negeri,
Pengarah-pengarah kerajaan Negeri dan Persekutuan. Siapa yang
sebenarnya biadap bila Datuk Zakaria menyuruh kami “Jaga Adab”?
Kenyataan ini juga menimbulkan keluh-kesah dan berupa ugutan serta
pencerobohan terhadap bidang kuasa kami sebagai wakil rakyat. Sedarlah
bahawa tahap kejadian mungkar, jenayah, rasuah, pembunuhan, kemalangan,
salah guna kuasa, pecah amanah di Perak yang menjadi-jadi kini,
memerlukan PDRM melaksanakan tugas mereka bagi menjaga keselamatan
rakyat dan negeri. Jangan sibuk menjaga persidangan Dun Perak dan
berlagak seperti Perdana Menteri. Sebagai eksekutif, PDRM ada tugasan
mereka yang mesti dilaksanakan. Laporan polis yang dibuat oleh rakyat
masih bertimbun yang belum disiasat!
Kenyataan Datuk Zakaria yang tidak bertanggungjawab, niat buruk,
berbau ugutan serta mencerminkan sikap diperalatkan oleh UMNO BN amat
menyedihkan kami. Lihat saja kekejaman yang dibuat Polis terhadap rakyat
semasa himpunan aman Bersih 2.0 di KL pada 9 Julai 2011! Bilik hotel
saya diceroboh oleh polis dari IPD KL pada jam 12.45 tengah malam pada 9
Julai 2011!
Persidangan yang sepatutnya berjalan selama 2 hari telah ditamatkan
oleh Speaker haram pada jam 1 tengah hari pada 15 Ogos 2011. Banyak
soalan lisan dan bertulis kami tidak dijawab. Pembesar suara/microphone
kami selalunya ditutup. Peraturan Tetap tidak dipatuhi oleh Speaker
haram! Bagaimana kami boleh “menimbulkan banyak perkara” dalam
persidangan yang tak sampai 3 jam? Speaker haram telah tidak upaya
mengendalikan dewan serta hilang kawalan dan akhirnya Dun Perak gagal
sebagai badan Legislatif yang dimuliakan!
Maka dengan ini saya gesa Datuk Zakaria menarik balik kenyataanya
terhadap kami wakil rakyat dan memohon maaf kepada rakyat dan kami wakil
rakyat dalam tempoh bulan Ramadzan ini dan berhenti menjadi pekakas dan
alat Umno BN. Jangan cemarkan nama baik PDRM dan pulihkan nama baik
PDRM di kacamata rakyat.Hrkh
1 ulasan:
macam macam hal
Catat Ulasan