BAYAN LEPAS, 14 Julai: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pulau Betong, Muhamad Farid Saad perlu memohon maaf kepada keseluruhan penduduk Kampung Binjai kerana mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah sehingga menimbulkan kekeliruan di kalangan masyarakat setempat serta sanak saudara mereka yang berada di luar.
Pengerusi Badan Bertindak Perpindahan Penduduk Kampung Binjai, Hashim Ismail (kanan) berkata, Adun berkenaan hanya memperbetulkan kenyataanya dua hari selepas kenyataan pertama dikeluarkan tanpa menyebut pun perkataan 'pohon maaf' cuma mengakui mendapat fakta yang salah.
Para penduduk, kata beliau menjadi gelisah ekoran kenyataan berbaur fitnah itu walhal setahu penduduk tiada apa-apa pembangunan di situ.
“Cuma poster dari Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) yang meminta bantahan penduduk di lot bersebelah iaitu 791 dan 792 sekiranya projek dilaksanakan di lot 792.
"Jika beliau ada maruah, YB Farid kena pohon maaf secara terbuka kerana silap memberikan fakta hasil daripada maklumat yang entah dari mana. Kami penduduk bukan nak marah sekiranya YB bersikap begitu," tegasnya ketika tinjauan Harakahdaily ke kampung berkenaan kelmarin.
Beliau mempersoalkan kenapa secara tiba-tiba isu itu menjadi panas sedangkan belum berlaku pengusiran penduduk seperti mana yang didakwa Adun itu yang juga naib ketua Umno Balik Pulau.
Akibat daripada kenyataan palsu itu, katanya penduduk menjadi cemas manakala sanak saudara yang tinggal di luar Pulau Pinang acap kali menghubungi keluarga di kampung tersebut kerana bimbang dihalau memandangkan tanah yang didiami sejak puluhan tahun itu milik swasta.
Menurutnya, walaupun kawasan itu berstatus komersial dan harganya cukup tinggi tetapi masih belum ada apa-apa pembentangan pelan rancangan pembangunan di kampung itu.
“Jangan pula kerana terlalu bencikan Kerajaan Pakatan Rakyat, Umno dan Barisan Nasional (BN) menabur fitnah.
"Apa yang ditaburkan semata-mata mencari pengaruh atau menjadi hero bagi jadikan batu loncatan untuk mencari tempat bertanding di Parlimen Balik Pulau," tambahnya.
Ahli Jawatankuasa Badan Bertindak Penduduk Kampung Binjai, Mohd Faizal Abd Rahman pula berkata, masalahnya sekarang tanah yang didiami seramai 46 keluarga merupakan tanah milik swasta.
Kata beliau, sekiranya hendak dibangunkan, hanyalah mengharapkan ehsan perpindahan sebagaimana yang termaktub dalam Akta Tanah Negara yang diluluskan di Parlimen pertengahan tahun 1990-an.
Ini bermakna, katanya BN dan Umno merupakan pengkhianat kerana menyokong pindaan tersebut dan natijahnya dirasai oleh rakyat sekarang.
"Inilah padah Akta Tanah Negara yang ditentang oleh pembangkang waktu dulu. Sekarang apa boleh buat. Bukan boleh salahkan Kerajaan Pakatan Rakyat pimpinan Lim Guan Eng," ujarnya.
Penduduk pertama Kampung Binjai, Puan Zaharah Sidek (kiri) berkata, jika sekiranya pemaju Palm Development Sdh Bhd mahu memajukan tanah itu, biarlah penduduk diberikan pampasan yang setimpal atau menempatkan kediaman sekitar kampung itu juga.
Menceritakan keadaan itu, beliau memberitahu, waktu itu, pada 1982 kawasan itu adalah hutan rimba.
“Mak Cik datang bersama keluarga menebas dan membelinya daripada Encik Hasan, selepas itu baru ada orang lain pula datang membeli tanah untuk diduduki," terangnya.
Sementara itu, Yang Dipertua PAS Balik Pulau, Ustaz Fauzi Yusuf yang turut turun padang menjelaskan, BN dan Umno sengaja berbuat demikian untuk kepentingan politik mereka menjelang pilihan raya umum ke-13 nanti.
“PAS yakin Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat akan membantu menyelesaikan konflik setakat mana yang boleh demi kepentingan penduduk asal.
"Kerajaan berjiwa rakyat tidak sekali-kali bersikap dendam sebaliknya melakukan pembelaan yang sewajarnya, itupun sekiranya jalan penyelesaian ditemui. Maklumlah tanah swasta," katanya.Hrkh
ARTIKEL BERKAITAN BACA DISINI
Tiada ulasan:
Catat Ulasan