Oleh Mohd Sayuti Omar
APABILA terpampang gambar Penyelaras Pakatan Rakyat, Zaid Ibrahim bersama Raja Petra Kamarudin dan Balasubaramaniam di internet, terbelak mata pemimpin Umno dan kuncu-kuncunya. Sekalian orang termasuk yang 'dibaptiskan' kali kedua menjadikan ahli parti itu jadi naik angin. Dada mereka tetiba disongsong angin biru lautan. Mereka emosi menggesa polis supaya menangkap segera kedua orang itu.
Pemaparan gambar itu juga menyebabkan mereka kesal dan marah dengan polis yang gagal bertindak dan mengesan Raja Petra dan Bala sebelum ini. Kata mereka dengan terpampangnya gambar kedua 'pelarian' itu, Raja Petra dan Balasubramniam polis perlu segera bertindak menjejaki dan menangkap mereka.
Tidak ada alasan lagi bagi polis berdolak dalih untuk tidak memberkas mereka. Bagi mereka kalau Raja Petra dan Bala tidak ditangkap dan diseret ke mahkamah atau dikurung dalam lokap semacam mata mereka tidak akan terkatup rapat kalau mereka mati. Marah betul...
Memang apa yang berlaku juga memalukan polis sebagai pasukan keselamatan. Sebelum ini polis mengatakan mereka sedang menjejaki Raja Petra dan memberi jaminan tidak akan melepaskannya. Orang mempercayai bahawa polis sedang membuat kerja itu. Orang, terutama kuncu-kuncu yang baru dibaptiskan itu hanya menunggu masa untuk bersorak saja bila Raja Petra digiring ke tanah air. Mungkin mereka akan buat sepanduk terpanjang di dunia bagi mengalu-alukan kepulangan secara paksa ke atas Raja Petra dan Bala itu.
Orang cukup marah dan kesal dengan polis ialah, Ketua Pemda Umno, Khairy Jamaluddin. Di parlimen semalam beliau mengkritik polis atas kegagalan menangkap Raja Petra Kamaruddin. Polis mungkin tersentak dengan bidasan pedas Khairy Jamaluddin itu. Ia mencabar wibawa dan imej polis. Iya... tak iya juga kenapa polis diam membisu dan seolah tidak mahu sentuh Raja Petra. Apakah kerana dia berbau kerabat dengan istana?
Khairy ada sebab kenapa dia mahukan Raja Petra disumbat dalam penjara. Dia ada dendam peribadi lama terhadap Raja Petra kerana bloger itu mendedahkan keaibannya serta lubang-lubang cari makan secara bersiri dalam blog bloger berkenaan. Itulah sebabnya.
Tidak saja Khairy sebenarnya, mungkin ramai yang bingung melihat telatah dan sikap polis mengenai isu Raja Petra ini. Kenapa kali ini polis menjadi sangat lemah dan kurang agresif untuk memburu Raja Petra. Apakah waran tangkap yang dikeluarkan mahkamah ke atas Raja Petra tidak cukup kuat dan kebal untuk menangkapnya?
Sebenarnya jika dilihat dari tugas dan tanggungjawab polis, apa yang dirasai oleh Khairy itu dirasai juga oleh banyak orang. Orang ramai merasa pelik dengan lagak dan laku polis. Sebelum ini Ketua Polis, Musa Hassan bukan mainkan bermadah, polis akan bertindak tegas dan akan membawa pula untuk dihadap ke mahkamah. Cara polis membuat kenyataan dan memberi reaksi bila ditanya soal Raja Petra seolah-olah polis akan mengusung Raja Petra dalam tempoh 24 jam.
Orang percaya dengan kenyataan itu dan mengira polis sedang giat memburu Raja Petra. Sesetengah orang jadi takut untuk berjumpa atau berhubung dengan Raja Petra bimbang dikaitkan sama. Manakala setengah mereka yang lurus bendul berdoa agar polis selamat menjalankan kerja mereka untuk kebaikan Umno dan kerajaan itu.
Malangnya tunggu punya tunggu, tak ada apa-apa hasil. Macam tunggu buah durian putik saja. Orang mengira polis belum mengetahui di mana Raja Petra bersembunyi. Tetapi bila wajah Raja Petra terpampang bersama Zaid di London orang mula naik angin dan marahkan polis. Apa lagi Zaid berjenaka pula dia pergi tengok bola dan belanjakan Raja Petra bersama Bala aiskrim kacang.
Sebenarnya bukan saja kuncu-kuncu Umno dan Khairy akan marah apabila ternampak wajah Raja Petra, orang lain juga yang mengharapkan Raja Petra ditangkap yang yakin dengan 'jenayah' dilakukan akan marahkan polis. Akan beranggapan polis lembab atau tidak berdaya memberkas seorang Raja Petra.
Orang akan menuduh polis Malaysia tidak 'intelligent' sebab untuk membawa pulang Raja Petra pun tidak mampu. Itulah tuduhan yang dibuat tanpa mengambil kira kesan dan implikasi tindakan ke atas penangkapan Raja Petra. Sebaliknya mereka yang boleh membaca kilat dalam kilau akan menerima apa yang polis lakukan itu adalah terbaik.
Polis kita tidak naif untuk menangkap Raja Petra. Saya yakin sejak mula lagi polis sudah tahu di mana Raja Petra berada. Begitu juga cara Raja Petra keluar meninggalkan Malaysia, polis, imigresen dan segala macam pasukan keselamatan tahu dan maklum. Kita tidak boleh merendahkan keupayaan polis.
Tetapi kenapa di sini melihatkan polis sebagai lemah tidak berkeupayaan menjejak Raja Petra ialah kerana ada pertimbangan lain yang lebih penting. Perkara pokok perlu difaham kesalahan dilakukan Raja petra ialah kesalahan bermotifkan politik? Begitu juga tujuan polis diarah menangkap Raja Petra bermotifkan politik. Hal Raja Petra dan Bala bukan membabitkan jenayah atau kesalahan biasa yang boleh memburukkan negara. Kesalahan dilakukan mereka berangkaian dan berangkaian. Kena faham. Mungkin polis sendiri kurang berminat kerana kes itu membabitkan individu dan bukan kepentingan negara!
Tujuan polis menangkap seorang penjenayah adalah untuk keselamatan. Di sini kaedah yang sama juga dilakukan polis. Polis mengkura-kurakan diri dari berbuat begitu mungkin untuk menjaga keselamatan dan kedamaian orang lain yang dirasakan lebih perlu. Kalau pun polis silap di sini ialah kerana mereka nampaknya mengutamakan kepentingan individu dari kepentingan watan.
Apa yang saya dapat rumuskan atas kelemahan polis yang kini sedang dimarahi oleh kuncu-kuncu Umno termasuk ahli yang baru dibaptiskan itu, sekiranya Raja Petra dibawa balik sudah tentu beliau akan dihadapkan ke mahkamah atas beberapa kesalahan yang dituduhkan terhadapnya. Kesalahan terbesar ialah memfitnah isteri Perdana Menteri, Rosmah Mansor yang dikaitkan dengan pembunuhan kejam menggunakan C4 ke atas Altantuya.
Mungkin itu tuduhan palsu? Tetapi dengan membawa Raja Petra ke mahkamah ia boleh memberi kesan lain dan menyekasakan jiwa orang tertentu. Sesuatu yang mungkin tidak pernah didengar umum mungkin akan tersebut di mahkamah. Sesuatu yang belum terdedah mungkin akan terbongkar. Jadi inilah yang mungkin hendak ditutup dan dielakkan sehingga polis sanggup menulikan telinga dari menerima cemuhan kuncu-kuncu Umno yang kemetot akal politik itu.
Penangkapan atau pun pengurungan Raja Petra dalam lokap pula akan dijadikan isu oleh pembangkang. Pembangkang akan menggunakan penangkapan itu untuk menceritakan kepada rakyat akan kekejaman polis, walaupun tangkapan itu berasas. Inilah juga yang cuba dikendurkan.
Polis juga sedar pywar atau provokasi pembangkang memburukkan polis mudah diterima rakyat. Kenapa pasukan polis jadi buruk ialah kerana polis dicucuk hidung untuk mempertahankan individu tertentu semasa meletuskan refomasi 10 tahun lalu. Sebelum itu dajat polis tinggi, megah dan gah di mata rakyat. Tetapi individu itulah yang membuat kehebatan dan keagungan polis.
Selain itu usaha membawa balik 'bangkai bernyawa' kepada negara 1 Malaysia itu memerlukan wang yang banyak. Dalam keadaan negara tidak mempunyai untuk apa ia dihabiskan hanya melayan kerenah Raja Petra ataupun penyiasatan privet itu.
Justeru Khairy dan orang-orang yang sama waktu dengannya, dan sewana kulit dengannya tidak arif akan muslihat itu. Polis Malaysia saya percaya mampu untuk menangkap dan mengheret Raja Petra balik. Mereka ada peruntukkan undang-undang untuk berbuat demikian. Bukankah polis Malaysia antara polis terbaik didunia? Kepada Khairy usahlah menjerit dan mengherdik polis. Sesungguhnya anda masih mentah untuk memahami sepak terajang politik orang dewasa terutama seorang Perdana Menteri anda. http://msomelayu.blogspot.com/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan