PUTRAJAYA: Mahkamah Khas dijadualkan bersidang Isnin ini untuk mendengar permohonan habeas corpus Sultan Kelantan bagi mendapatkan kebenaran supaya dibawa keluar dari Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian.
Perkara itu dimaklumkan oleh salah seorang peguam baginda, Datuk Mohd. Haaziq Pillay pada sidang akhbar petang ini lapor Utusan Online.
Terdahulu, peguam yang mewakili Sultan Kelantan, Tuanku Ismail Petra pagi tadi memfailkan writ habeas corpus bagi memohon kebenaran untuk membawa baginda keluar dari HUSM di Kubang Kerian, Kelantan, di mana baginda menerima rawatan sejak Selasa lepas.
Writ itu difailkan di Pejabat Pendaftar Mahkamah Khas di sini kira-kira 11.45 pagi menerusi tetuan J.S. Pillay & Mohd Haaziq.
Afidavit bagi menyokong writ itu dibuat oleh Tengku Temenggong Kelantan Tengku Muhammad Fakhry Petra Sultan Ismail Petra, putera ketiga Sultan. Sultan Kelantan dinamakan sebagai pemohon.
Writ itu menamakan lima responden iaitu Ketua Polis Kelantan, Ketua Polis Negara, Ketua Pengarah Hospital Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian, Kelantan, Ketua Pengarah Kesihatan dan kerajaan Malaysia.
Peguam kanan Datuk Param Cumaraswamy yang hadir bersama Gobind dan Datuk Mohd Haaziq Pillay, berkata ini merupakan kes pertama di dunia apabila writ habeas corpus difailkan bagi memohon pembebasan seorang pemerintah negeri.
Mahkamah Khas ditubuhkan pada 1993 untuk mendengar sebarang prosiding oleh atau terhadap Yang di-Pertuan Agong atau pemerintah sesebuah negeri atas sifat peribadi baginda.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan