KOTA BARU, Jan 16 — Bapa Ilyani, isteri kedua bekas ketua penerangan Pemuda PAS Kelantan, Mohd Noor Che Man masih tidak dapat menerima Dr Rosli Allani Abdul Kadir sebagai ‘anggota keluarganya’ walaupun mereka dikatakan sudah bernikah semula baru-baru ini.
Esok, Mahkamah Tinggi Syariah di sini akan mendengar permohonan membatalkan tuntutan pembatalan perkahwinan Rosli-Ilyani pada Dis 2008.
Kedua-dua pasangan itu kini hidup berpisah sementara ekoran keputusan mahkamah dan juga selepas rumah mereka dikepung selama 19 jam oleh Mohd Noor akhir bulan lalu.
Dalam pertemuan dengan The Malaysian Insider hari ini, Mohd Noor masih melahirkan rasa kecewa terhadap tindakan Rosli menikahi anaknya tidak mengikut peraturan dan tidak menghormati adat resam keluarga.
“Saya dan keluarga mempunyai maruah seperti orang lain juga.
“Perbuatan itu sekali gus telah mencalarkan maruah keluarga,” kata beliau semasa ditemui.
Beliau yang bertegas tidak pernah memilih status seseorang bagi menjadi menantunya, tidak dapat menerima Rosli memandangkan tindak tanduknya tidak menampakkan ciri-ciri sebagai seorang yang jujur dan ikhlas.
“Cara dia (Rosli) itu tak kena. Hanya jumpa saya di masjid cakap nak nikah dengan Ilyani.
“Adakah patut buat begitu nak minta anak orang? Itu bukan budaya kita orang Melayu. Kenapa tak boleh datang terus ke rumah?
“Saya ada keluarga. Dan, ini adalah urusan keluarga,” kata Mohd Noor yang selama ini meletakkan pengharapannya kepada Ilyani untuk mengemudi syarikat miliknya satu hari nanti.
Selain itu, Mohd Noor tidak nampak kejujuran Rosli untuk berpoligami apabila Rosli dikatakan cuba berbohong apabila mendakwa perkahwinan keduanya ini telah mendapat persetujuan isteri pertama.
Menurutnya, beliau dan isterinya pernah menemui isteri pertama Rosli bagi mendapat penjelasan sebenar berhubung perkara tersebut demi kebahagiaan semua pihak.
“Isterinya nafikan semua itu. Tapi dia beritahu kami isterinya izin. Itu bukti menunjukkan dia tidak jujur. Jadi macam mana saya nak terima orang yang tak jujur begini?
“Kebahagiaan sesebuah rumah tangga berdasarkan kepada kejujuran.
“Tanpa kejujuran sampai bila-bila pun rumah tangga tak akan senang. Kita boleh tengok sendiri contoh-contoh akibat daripada sikap yang tidak jujur berlaku dalam hidup ini.
“Kadang-kadang saya kesian dengan isteri dan anak-anak Rosli. Mereka inginkan sepenuh tanggungjawab seorang suami dan ayah. Mustahil Rosli tidak faham perkara itu.
“Begitu juga Ilyani, dia pun perlu faham bahawa perjalanan dia masih panjang,” ujarnya.
Semasa menjawab keadaan Ilyani yang didakwa sudah pun tinggal berasingan daripada Rosli, beliau berkata anaknya itu memerlukan ketenangan.
Rosli telah melepaskan jawatannya sebagai ketua penerangan Pemuda PAS Kelantan ekoran perintah mahkamah meminta mereka hidup berpisah sementara.
Mohd Noor memaklumkan pasangan berkenaan telah pun tinggal berasingan selepas mereka membuat permohonan bantahan awal terhadap kes tuntutan membatalkan perkahwinan yang difailkan oleh bapanya tahun lalu.
“Dia tak pulang ke rumah ini. Tapi dia ada maklumkan kepada ibunya untuk pergi ke KL (Kuala Lumpur) rumah mak saudaranya. Ibunya dah pergi jumpa dia di sana.
“Namun saya sendiri tidak mahu ganggu dia dulu.
“Biarlah dia bertenang. Saya tak hendak bagi dia rasa tertekan kalau terlalu banyak sangat bercakap pasal peristiwa yang dilaluinya itu.
“Sebab itu saya sendiri tidak maklumkan perkara ini kepada sesiapa. Saya tak mahu dia diganggu.
“Biarlah dia bertenang,” katanya yang lupa tarikh Ilyani mula tinggal berasingan dengan Rosli.
Beliau juga enggan memaklumkan tempat tinggal Ilyani di kuala Lumpur.
Mohd Noor juga tidak pasti kedudukan terkini Rosli.
Pernikahan Rosli dan Ilyani dilihat menjadi lebih kontroversi apabila mereka bertindak
‘melarikan diri’ selepas 19 jam kediamannya yang terletak di Lorong Masjid Mustaqim, Jalan Long Yunus dekat sini dikepung.
Mohd Noor mengepung kediaman pasangan berkenaan kerana mendapati pasangan berkenaan telah mengingkar perintah mufarakah dikeluarkan mahkamah 21 Dis lalu.
Ketua Pendaftar Mahkamah Tinggi Syariah Kelantan, Abu Bakar Abdullah Kutty pernah dilaporkan berkata sepatutnya pasangan terbabit sedar bahawa perbuatan tinggal bersama selepas perintah dikeluarkan oleh mahkamah adalah salah daripada segi agama.
Pasangan umat Islam yang mengingkari perintah Mahkamah Syariah supaya bermufarakah susulan kesahihan perkahwinan mereka diragui boleh didenda sehingga RM2,000 atau penjara 12 bulan atau kedua-duanya sekali.
Ditanya harapannya terhadap pasangan tersebut selepas ini Mohd Noor enggan mengulas lanjut perkara itu memandangkan ia telah menjadi kes mahkamah.
“Saya percaya dengan kebijaksanaan mahkamah. Mahkamah sentiasa bertindak bukan untuk kepentingan pihak tertentu, sebaliknya akan memberi pengajaran kepada umum,” kata Mohd Noor.
Bagaimanapun semasa diminta mengulas tindakan pasangan berkenaan yang bertindak telah berkahwin semula di negara jiran mengikut hukum syarak, Mohd Noor berkata, itu adalah isu baru dalam kes perkahwinan mereka yang diragui sebelum ini.
Oleh itu katanya kes induk perkahwinan yang meragukan mesti didengar bagi menjaga kehormatan hukum syarak dan undang-undang syariah.
Pada 4 Jan lepas Rosli, melalui peguamnya Mustafa Kamal Mat Hassan mengemukakan notis bantahan awal bagi membatalkan kes tuntutan pembatalan perkahwinannya yang difailkan Mohd Noor dan perintah mufarakah oleh mahkamah.
Pada prosiding yang sama juga Rosli memohon mahkamah membenarkan pendaftaran dan mengesahkan perkahwinan mereka di luar negara mengikut peruntukan Seksyen 12 (2) Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Negeri Kelantan No 6 Tahun 2002.
Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Mohd Yusof Awang menetapkan esok berhubung keputusan permohonan bantahan awal pasangan berkenaan.
Difahamkan Rosli dan Ilyani bernikah semula di kampung Wakseng, Yarang, Pattani, Thailand pada 22 Dis lalu selepas pernikahannya di Masjid Lapangan Terbang Subang pada 26 Dis 2008 diragui kerana disyaki terlibat dengan perkahwinan sindiket.TMI
Tiada ulasan:
Catat Ulasan