Sabtu, 29 Ogos 2009

Zamri lawan Nizar:Soo Nee janji beri khidmat terbaik



KULIM, 29 Ogos: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kulim, Lim Soo Nee berjanji akan memberi sokongan yang padu kepada kerajaan negeri Kedah pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak.


Beliau juga berjanji akan memberikan khidmat terbaik jika dilantik sebagai Exco Kerajaan Negeri Kedah nanti selepas diperkenankan oleh Tuanku Sultan Kedah.

Menurut beliau lagi sekiranya pelantikan sebagai Exco bagi menggantikan Adun Lunas, Mohd Radzhi Salleh diperkenankan oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Kedah maka beliau akan melaksanakan amanah dan tanggungjawab yang diberikan itu dengan sebaik mungkin.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak baru-baru ini telah mengumumkan bahawa Lim telah mendapat perkenan Sultan Kedah bagi menggantikan tempat Radzhi yang mengisytiharkan keluar dari Parti Keadilan Rakyat dan menjadi wakil bebas.

Ekoran daripada tindakan Radzhi itu maka situasi politik di negeri Kedah mulai hangat apabila Lim yang juga Adun daripada PKR sebelum ini banyak mempersoalkan tindakan kerajaan negeri.

Image"Saya tidak ada kena mengena dengan agenda lompat parti yang diuar-uarkan di negeri Kedah. Saya juga hairan kenapa nama saya dilibatkan dalam agenda lompat parti ini.

"Saya begitu kecewa dengan sesetengah pihak yang sengaja memburuk-burukkan nama saya. Saya sentiasa berada di Pusat Khidmat saya di Kulim. Sebagai seorang Adun yang diamanahkan maka saya akan melaksanakan tugas saya sebagai Adun," katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Lim meminta mereka yang sering membuat fitnah untuk menjatuhkan imejnya supaya menghentikan perbuatan tersebut dengan serta merta.

"Saya juga tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap sesiapa sahaja yang cuba untuk mencemarkan dan menjatuhkan nama baik saya.

"Sekiranya fitnah yang dilakukan tidak dihentikan oleh mana-mana individu atau pihak maka saya pasti akan mengambil tindakan bagi membersihkan nama baik saya," katanya.

Lim juga berkata sekiranya dilantik sebagai Exco maka beliau akan tetap dengan agenda untuk membela dan memperjuangkan nasib rakyat walaupun terpaksa membuat teguran kepada kepimpinan negeri yang membuat kesilapan.

Kerusi PKR di Kedah kini kurang satu apabila Adun Lunas, Mohd Radzhi Salleh mengisytiharkan dirinya sebagai wakil bebas setelah keluar daripada PKR.

Walau bagaimana pun Kedah kemungkinan akan menghadapi satu lagi pilihan raya kecil setelah Adun Kota Siputeh, Abu Hasan Sarif yang mewakili Barisan Nasional dikatakan melanggar undang-udang Tubuh Negeri Kedah berikutan ketidakhadirannya ke persidangan dewan pada 19 April dan 9 Ogos yang lalu. _ harakahdaily

Zamri lawan Nizar:Umno cabar Umno


JELUTONG, PULAU PINANG, 29 Ogos: Belum selesai dengan kekecewaan di Permatang Pasir, Umno Pulau Pinang menerima satu lagi tamparan apabila 17 cawangan Umno dalam bahagian Jelutong mencabar pimpinan Umno negeri berdebat dengan mereka mengenai kesahihan status mereka.


> Wakil kepada 17 cawangan Umno tersebut, Abdul Wahab Abdullah berkata, kemungkinan apa yang berlaku adalah satu konspirasi oleh sesetengah pihak yang mahu menyekat kemaraan mereka yang berwibawa dalam Umno bahagian Jelutong bagi bertanding jawatan Ketua Bahagian.

"Kenyataan oleh badan perhubungan yang menyatakan bahawa penutupan 17 cawangan Umno dalam bahagian Jelutong kerana hanya 40 peratus daripada ahlinya sahaja yang aktif adalah tidak munasabah kerana banyak daripada cawangan yang ditubuhkan sudah melewati 15 tahun. Jumlah keahlian seramai 4500 orang dalam 17 cawangan ini adalah bukti bahawa kami masih aktif.

"Kami juga berasa hairan dengan tindakan BPUNPP yang dilihat bertindak tanpa memikirkan hala tuju 4500 ahli Umno yang setia menyokong parti ini selepas penggantungan.

"Kami juga bersedia untuk mencabar mana-mana wakil BPUNPP untuk berdebat dengan kami bagi menjelaskan status kesahihan 17 cawangan Umno dalam bahagian Jelutong ini," katanya.

Masalah penggantungan 17 cawangan Umno dalam bahagian Jelutong ini sudah berlarutan sejak sekian lama. Namun begitu BPUNPP semasa krisis tersebut adalah dibawah teraju mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sebagai pengerusinya dan ketua pembangkang Dun Pulau Pinang, Datuk Azhar Ibrahim sebagai setiausahanya.

Kini masalah tersebut masih berterusan walaupun Pengerusi BPUNPP sudah diterajui oleh Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Azhar masih lagi menjadi setiausahanya.

"Sekiranya masalah perpecahan dalam parti ini masih berterusan dan tabiat kronisme masih lagi berterusan dan menjadi amalan kepada kepimpinan Umno yang ada maka saya tidak nafikan bahawa Umno akan tumbang dalam pilihan raya umum yang ke-13 yang akan datang.

"Oleh kerana itu saya merayu kepada Majlis Tertinggi Umno supaya segera menyelesaikan masalah ini terlebih dahulu supaya ia dapat mengembalikan keyakinan rakyat kepada parti Umno yang dilihat semakin menurun dan terhakis," katanya. _harakahdaily

Zamri lawan Nizar:Pas tunggu kemenangan ke 8


SHAH ALAM - Pas akan memastikan momentum kemenangan Pakatan Rakyat (PR) akan berterusan di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Siputeh jika Sur uhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan pilihan raya kecil di kawasan tersebut diadakan dalam masa terdekat.

Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub berkata, menjadi hasrat parti itu mahu melihat Barisan Nasional (BN) tumbang buat sekian kalinya setelah mengharungi lapan pilihan raya hanya sekali kemenangan.

“Pas tidak meminta pilihan raya itu, kerana kesilapan yang dilakukan wakil rakyat BN, kemungkinan terjadi pilihan kecil ada.

“Pas akan memastikan kerusi ini akan bertukar milik dari BN dan akan menjadi kekalahan yang kelapan buat parti itu,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Beliau berkata demikian ketika mengulas persiapan parti itu bagi menghadapi pilihan DUN Kota Siputeh jika SPR menetapkan pilihan raya kecil diadakan berikutan ketidakhadiran wakil rakyatnya dalam dua persidangan DUN Kedah.

Sebelum ini, SPR memutuskan pihaknya akan mengumumkan status kerusi itu sejurus tamat pilihan raya Permatang Pasir 25 Ogos lalu.

Salahuddin berkata, pihaknya kini sudah memperkemaskan jentera-jentera parti di kawasan itu dan hanya menunggu keputusan SPR.

“Yang jelas ‘mood’ rakyat akan berterusan di DUN Kota Siputeh, ia jelas mesej yang disampaikan Datuk Seri Najib, termasuk gagasan 1 Malaysia tidak diterima rakyat,” katanya.

Pada pilihan raya umum lalu, Datuk Abu Hasan mewakili (BN) berjaya mempertahankan kerusi itu bagi penggal keempat selepas menewaskan calon Pas, Ismail Wan Teh. sinarharian

Zamri lawan Nizar:Cadangan Najib yang melucukan

Oleh SALMIYYAH HARUN

KUALA LUMPUR:Perdebatan berhubung hukuman sebatan terhadap model sambilan Kartika Sari Dewi Shukarno timbul apabila peruntukan di dalam Kanun Acara Jenayah yang dikuatkuasakan di Mahkamah Sivil dijadikan kayu pengukur dalam menilai pelaksanaan undang-undang janayah Islam.

Sedangkan adalah jelas dengan berdasarkan semangat dari Perkara 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan, apa jua keputusan dan perjalanan prosiding di Mahkamah Syariah adalah tidak tertakluk kepada mahkamah sivil.

Pengamal Undang-undang Abdullah Abdul Karim berkata, hukuman yang dijatuhkan oleh Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan, Yang Arif Dato’ Haji Abd Rahman Yunos pada 20hb Julai 2009 yang lalu adalah satu hukuman yang sah yang berdasarkan kepada peruntukan undang-undang yang masih berkuatkuasa.

Iaitu Seksyen 136 Enakmen Pentadbiran Agama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang 1982 dan dibaca bersama Seksyen 4 Enakmen Pantadbiran Agama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (pindaan 1987) yang memperuntukkan bahawa bagi sesiapa yang didapati bersalah meminum minuman yang memabukkan boleh dijatuhkan hukuman denda tidak lebih RM5,000.00 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau disebat tidak melebihi enam kali sebatan.

Katanya, mana-mana pihak yang menyatakan hukuman itu kejam, tidak berperikemanusiaan atau mendikskriminasikan wanita seperti yang dibayangkan oleh Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Abd Jalil agar mencadangkan Kerajaan Pahang yang dikuasai Barisan Nasional meminda atau memansuhkan peruntukan tersebut di Dewan Undangan Negeri Pahang.

"Selagi peruntukan berkaitan dengan kesalahan meminum arak tersebut dan hukumannya tidak dipinda atau dimansuhkan oleh Dewan Undangan Negeri Pahang, maka peruntukan di dalam enakmen tersebut adalah kekal menjadi undang-undang yang sah yang boleh dikuatkuasakan," tegas Abdullah yang juga Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Pahang.

Abdullah berkata, berdasarkan kepada peruntukan terperinci di dalam Seksyen 125 Enakmen Tatacara Jenayah Syariah Pahang 2002, jelas menunjukkan hukuman sebat yang dilaksanakan di Mahkamah Syariah adalah berbeza dengan hukuman sebat di Mahkamah Sivil.

Kebimbangan pihak-pihak tertentu kononnya hukuman sebat itu adalah zalim serta tidak berperikemanusiaan, katanya tuduhan itu tidak berasas sama sekali.

Cara perlaksanaan (mode of execution) hukuman tersebut telah diperincikan dengan jelas sekali di dalam Seksyen 125 (2) dan (3) Enakmen Tatacara Jenayah Syariah Negeri Pahang 2002 yang antara lain memperuntukkan bahawa:

1. Alat sebatan yang digunakan hendaklah diperbuat dari rotan atau ranting kecil pokok yang tiada ruas atau buku dan panjangnya tidak melebihi 1.22 meter dan tebalnya tidak melebihi 1.25 sentimeter.
2. Kalau pesalah itu hamil, hukuman itu hendaklah dilaksanakan selepas 2 bulan dia melahirkan anaknya.
3. Pesalah hendaklah diperiksa tahap kesihatannya oleh Pegawai Kesihatan Kerajaan sebelum hukuman tersebut boleh dijalankan.
4. Hukuman sebat itu hendaklah dengan kehadiran Pegawai Perubatan Kerajaan.
5. Sebatan tidak boleh kena muka, kepala, perut, dada atau bahagian sulit.
6. Pesalah lelaki disebat berdiri manakala perempuan dalam keadaan duduk
7. Sebatan hendaklah dijalankan dengan kekuatan sederhana iaitu tukang sebat itu tanpa mengangkat tangannya melebihi kepala supaya tidak melukakan kulit pesalah.
8. Jika semasa perlaksanaan hukuman sebab itu Pegawai Perubatan Kerajaan memperakui bahawa pesalah itu tidak lagi dapat menerima sebatan, sebatan itu hendaklah ditangguhkan sehingga Pegawai Perubatan Kerajaan itu memperakukan bahawa pesalah itu sihat tubuh badannya untuk menjalani baki sebatan yang tinggal.
9. Selepas mengenakan satu sebatan, tukang sebat hendaklah mengangkat alat sebatan itu ke atas dan tidak menariknya.10. Semasa disebat, pesalah hendaklah memakai pakaian menurut Hukum Syarak.

Bahkan, jelasnya, peruntukan Seksyen 125 jauh lebih mendalam dan terperinci berbanding dengan peruntukan berkaitan dengan cara perlaksanaan hukuman sebat yang terdapat di dalam Kanun Acara Jenayah.

Justeru, beliau berpendapat, segala kritikan dan kecaman yang dihamburkan kepada Mahkamah Syariah Kuantan dan juga Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) bersabit dengan isu Kartika ini adalah lahir daripada sikap prejudis dan buruk sangka terhadap apa jua perkara yang berkait dengan perlaksanaan hukum Islam.

Sedangkan katanya, hukuman yang dijatuhkan ke atas Kartika bukanlah hukuman yang menurut hukum Islam sebenar yang berkait dengan minum arak sebagaimana yang diperuntukkan di dalam hukum hudud.

"Sikap prejudis dan buruk sangka ini telah lama tertanam di dalam minda mereka yang anti kepada perlaksanaan hukum Islam ke atas umat Islam di negara ini dan pelbagai alasan dikemukakan bagi menggambarkan betapa zalim dan buruknya hukuman yang dibuat atas nama Islam," katanya.

Saranan Perdana Menteri supaya Kartika membuat rayuan, katanya ianya saranan yang melucukan dan 'ill advised'.

"Bagaimana Perdana Menteri boleh memberikan saranan sedemikian sedangkan Kartika sendiri memilih untuk tidak memfailkan rayuan ke Mahkamah Rayuan Syariah di atas hukuman yang dijatuhkan ke atasnya. Jika beliau sendiri memutuskan untuk tidak merayu, maka kenapa Perdana Menteri pula yang sibuk-sibuk?" tambah Abdullah.

Oleh itu, Abdullah menggesa Mahkamah Syariah dan Hakim-Hakim Syarie supaya menjalankan tugas dengan adil dan amanah serta tidak tunduk kepada ‘serangan psikologi’ oleh pihak-pihak yang memang sentiasa bersikap prejudis terhadap hukum Islam dengan memberikan pelbagai gambaran negatif.

Katanya, dalam masa yang sama, usaha dakwah bagi memberi penerangan berkaitan dengan hukum Islam terus dijalankan bagi mendidik masyarakat dan menghapuskan sebarang kesangsian serta pandangan buruk mereka terhadap undang-undang Islam.detikdaily