Isnin, 31 Disember 2012

Remaja mahu sambut hari lahir mati ditendang polis

Bapa mangsa ( kiri ) mahu polis bertanggungjawab menyebabkan kematian anaknya

PETALING JAYA 31 Dis: Seorang lagi mangsa kekejaman polis ketika menjalankan tugas. Kali ini, Mohd Azrul Zulkifli, 19, meninggal dunia akibat ditendang polis berpakaian preman.Kejadian berlaku berhampiran Petaling Jaya Selatan sekitar 3 pagi 25 Disember lalu.

Rakan mangsa, Asmawi (gambar), 28, berkata, Mohd Azrul dan kira-kira sembilan lagi rakan lain yang membonceng lima motosikal ketika itu dalam perjalanan ke pusat karaoke sempena hari jadi mangsa.

“Ketika lalu di jalan gelap, tiba-tiba dua motor tahan mereka. Mereka lari sebab takut ada orang cuba ragut atau rompak mereka. (Lagi pun) mereka berpakaian biasa,” katanya menceritakan semula kejadian itu selepas dihubungi salah seorang rakan yang terselamat.

Menurut Asmawi, polis yang mengejar berjaya menahan sebahagian dari mereka, manakala mangsa dan rakannya, Khairul Azri Sham Abu Kasim, 22, yang menaiki motor Honda EX5 sempat melarikan diri.

“Awalnya jarak mereka dengan polis lebih kurang 500 meter. Tapi polis pakai (motor) Yamaha 135 LC, mesti dapat kejar. Kemudian polis tendang mereka. Arwah meninggal sebab kepala terhentak pada divider jalan,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya hari ini.

Beliau kesal laporan akhbar menyatakan Mohd Azrul meninggal akibat terlanggar pokok, dan polis kononnya gagal mengejar mereka.

Memetik laporan Malay Mail 28 Disember lalu, Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Supritendan Tuah Masrom berkata, siasatan awal mendapati motorsikal Azrul hilang kawalan dan terlanggar pokok, dijumpai selepas polis meneruskan rondaan.

Pakatan yakin dapat 35 dari 60 kerusi Dun Sabah

KOTA KINABALU: Pakatan Rakyat Sabah yakin dapat menawan 35 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Sabah pada Pilihanraya Umum Ke-13 (PRU13) nanti.

Bekas Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk Lajim Ukin berkeyakinan penuh selain dari 35 kerusi Dun, Pakatan Rakyat juga turut dapat memenangi 15 kerusi Parlimen di negeri itu.

"Saya berkeyakinan pada PRU13 nanti kita (Pakatan Rakyat) dapat memenangi 32 hingga 35 kerusi Dun dari 60 kerusi yang dipertandingkan dan membolehkan kita mendapat majoriti mudah bagi membentuk kerajaan.

"Selain itu juga 15 kerusi parlimen akan turut kita perolehi bagi membantu Pakatan Rakyat menawan Putrajaya," jelas beliau kepada Harakahdaily.

Lajim yang dalam pada itu turut mempersoalkan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang masih mengganggapkan Sabah sebagai 'fixed deposit' mereka pada pilihanraya nanti.

Malah jelas Lajim lagi, jika Najib yang masih berkeyakinan kenapa sehingga sekarang beliau masih belum yakin untuk membubar parlimen dan memberi laluan kepada PRU13.

"Ketika saya di dalam Majlis Tertinggi Umno sebelum ini, ada agensi melaporkan kedudukan Umno-BN di sabah adalah 52 peratus memihak kepada mereka, manakala 48 peratus pula kepada Pakatan Rakyat.

"Tetapi maklumat tersebut bercanggah dengan  apa yang disalurkan oleh Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) dan juga Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) yang menyatakan Barisan Nasional akan kalah di Sabah," katanya.

Tambah beliau atas sebab percanggahan maklumat itulah menyebabkan Najib dan juga pemimpin tertinggi Umno termasuk Timbalan Perdana Menteri terpaksa berulang-alik ke Sabah untuk mencari undi mereka.

Beliau yang juga merupakan Pengerusi Pertubuhan Pakatan Perubahan Sabah (PPPS) juga memberitahu tiada sebab untuk rakyat Sabah menolak Pakatan Rakyat pada PRU13 nanti.

Ini kerana Pakatan Rakyat yang mendahului Barisan Nasional dalam mendengari masalah dan penderitaan rakyat Sabah sebelum ini terutamanya dalam pemberian 20 peratus royalti minyak kepada Sabah dalam usaha meningkatkan kebajikan rakyat.Hrkh

Kerajaan Berat Sebelah Sita Kontena Anti-Lynas

KUALA LUMPUR 31 Dis: Tindakan Jabatan Tanah dan Galian (PTG) Pahang menyita dua kontena menempatkan pusat kempen anti-Lynas sempena Himpunan Hijau di Gebeng bersifat berat sebelah, kata Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh.

“PTG beri alasan konon kontena diletak atas tanah kerajaan tanpa kebenaran dan ia bertentangan dengan Seksyen 425 Kanun Tanah Negara 1965.

“Mengapa PTG enggan bertindak terhadap pondok pengawal syarikat Lynas yang dibina di tapak sama kerana ia juga bertentangan di bawah seksyen ini,” katanya ketika dihubungi.

Sabtu lalu, PTG bersama Majlis Perbandaran Kuantan dan polis menyita kontena berukuran 10×20 kaki di kawasan seluas tiga ekar di Balok, Kuantan.

Kedua-dua kontena itu diletak di sebelah salah satu jalan utama menuju ke kawasan perindustrian Gebeng, lokasi operasi Lynas menghasilkan sisa radioaktif.

Fuziah berkata, apabila ditanya berhubung perkara itu, pegawai PTG hanya menjawab ‘ini arahan pihak atasan dan kami tidak boleh buat apa-apa’.“Ternyata undang-undang ini double-standard,” tegas Naib Presiden KEADILAN itu.

Tindakan pihak berkuasa tersebut bagaimanapun gagal dan setakat ini, peserta Himpunan Hijau masih tidak berganjak dari situ sejak minggu lalu.

“Pentadbiran Najib Razak lupa himpunan ini digerak atas kesedaran rakyat yang tahu betapa bahayanya operasi Lynas jika diteruskan. Apa juga taktik Najib untuk menghalangnya pasti gagal, malah mengundang simpati rakyat kepada mereka,” kata Fuziah.KD

Ahad, 30 Disember 2012

Antara Tuan Guru Hj Hadi Dan Najib,Siapa Sebenarnya Yang Takut Dan Tertekan


Oleh: Pak Dee Jantan (Pak Dee bukan Dee Pak)
Setelah diserang bertalu-talu dengan peluru kapur oleh media pro APCO, tiba-tiba Presiden PAS Tok Guru Haji Abdul Hadi Awang muncul untuk beri penjelasan terhadap apa yang ditohmahkan itu. Cuma dia minta dibenarkan buat siaran langsung dalam RTM atau TV3.

 Mengapa siaran langsung? Sebabnya beliau tak mahu media BN putarbelitkan kenyataannya... kalau siaran tertunda maka nanti hanya mukanya saja muncul terkumat kamit tapi suaranya adalah dari pengulas yang memutarbelit ucapan itu.

 Satu lagi mengapa live, ialah kerana rakyat Malaysia dari semua peringkat tiap2 hari ikuti fitnah yang disiarkan dalam TV secara live jadi berpeluanglah golongan yang telah tertipu ini untuk dibetulkan balik fahaman mereka. 

 Kalau buat live dalam internet, tak semua rakyat Malaysia akan berpeluang ikuti. Dalam hal ini Pak Dee kagum dengan keberanian tok guru untuk beri penjelasan apabila isu mengenai dirinya disensasikan.

Apa yang Pak Dee pelik ialah Perdana Menteri suami isteri (Najib Rosmah) yang didedahkan bertalu-talu oleh Deepak dengan pelbagai tuduhan dah berminggu-minggu tapi nampaknya hingga saat ini Najib nampaknya senyap sepi, haram sepatah pun tak jawab! kalau dia nak guna TV pilih saja siaran mana, TV apa, pukul berapa, lama mana? Tapi nampaknya peluang yang terbentang luas di hadapannya tak digunakan.

Presiden PAS merayu peluang kemudahan TV secara live untuk beri penjelasan tapi Presiden UMNO yang dah ada kemudahan tapi tak digunakan. Pakat pikiaglah noooo.... sapa sebenarnya penakut dan tertekan.Kedah La

Abang ipar TKM Sabah keluar Umno sertai PKR

KOTA KINABALU 30 DISEMBER: Abang ipar kepada Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Yahya Hussin mengetuai 136 ahli Umno dari Dewan Undangan Negeri Petagas, menyertai KEADILAN.

Ahmad Yunin menyerahkan borang keahlian kepada Datuk Seri AnwarIbrahim selepas Ketua Umum KEADILAN itu berucap di pusat beli-belah Tanjung Aru Plaza di sini, malam tadi.

Ahmad adalah abang kepada Datin Seri Jouyah Yunin – isteri Yahya.Beliau yang juga Pengerusi Sukarelawan Petagas turut menyerahkan cek RM10,000 untuk misi bantuan di Gaza pada majlis itu.

Program anjuran Wanita KEADILAN Sabah yang dihadiri lebih 1,000 penduduk tempatan itu sebahagian daripada siri Jelajah Demi Rakyat di Sabah.

Keadilan Daily difahamkan, pidato Anwar itu adalah adalah pertama kali dijalankan dalam sesebuah pusat beli-belah di negeri berkenaan.

Sabah yang dianggap fixed deposit Umno BN, hampir pasti  ditawan Pakatan Rakyat pada PRU 13.Ia berikutan ramai pemimpin berpengaruh di kalangan masyarakat Islam dan Kristian di Negeri Di Bawah Bayu itu mengisytihar sokongan kepada Pakatan, beberapa bulan lalu.KD

Bukti Yahudi Zionis Bangsa Yang Pengecut !!


Punyalah penakut bangsa Yahudi Zionis. Saksikanlah!! Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, berucap di hadapan pengikut dan penyokongnya sendiri dikelilingi cermin kalis peluru serta berpuluh pengawal peribadi.

Benarlah.. pejuang Islam hendakan mati syahid tetapi Yahudi Zionis laknatullah berperang takut mati. Salah satu kumpulan pejuang Palestin yang amat digeruni oleh Yahudi Zionis ialah  Briged Izzudin Al Qassam..

Allah SWT sentiasa bersama mereka.. dan janji Allah SWT.. Islam pasti menang dan kemenangan itu amat rugi sekiranya kita tidak bersama mata rantai kemenangan tersebut.Addin

Sabtu, 29 Disember 2012

Amanat Hadi : Kenyataan ' Bijak ' Presiden Pas

 Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang

KUALA TERENGGANU – Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang meminta kerajaan memberi beliau peluang siaran secara langsung sejam menerusi RTM untuk menjelaskan isu Amanat Haji Hadi yang kembali menjadi polemik semasa.

Selain RTM, Abdul Hadi turut meminta rangkaian Kumpulan Media Prima terutama TV3 juga memberinya peluang yang sama.

Ahli Parlimen Marang itu enggan menyatakan pendirian sama ada amanat itu harus ditarik balik atau tidak dalam sidang media kerana percaya kenyataannya tidak akan disiarkan penuh sebagaimana diharapkan selain berlakunya diputar belit fakta.

“Saya minta supaya diberi peluang secara langsung sejam oleh RTM dan TV3. Beri satu jam biar saya jelas, lepas itu masyarakat boleh nilai,” kata beliau selepas melancarkan Petugas Muslimat Marang PRU13 di Dewan Tok Guru, Rusila, Marang, pagi tadi.SH

Ulasan Tinta Hijau DKB

 Satu kenyataan bijak oleh Tuan Guru Presiden Pas yang pasti membuatkan Umno serba salah.Jika diberi tentunya tembelang mereka akan pecah.Jika tidak diberi dikata tidak demokratik dan takut kih kih kih.

Tapi Kalau puak umno ni benar benar berani,beri je Tuan Guru siaran langsung dan kita pakat dengar apa sebenarnya penjelasan beliau.Pastu pakat pakat fikir.Jangan hanya main tuduh tuduh je.

Jika tak diberi dengan bermacam alasan,bermakna Satu Kemenangan besar bagi Tuan Guru dan Pas. Ia juga menjelaskan tahap ketakutan mereka.Ada berani ke Umno bagi peluang pada Tuan Guru !!

Rafizi bawa bekas tentera ‘serbu’ syarikat bayar kepada Deepak

KUALA LUMPUR 28 DISEMBER: Pengarah Strategi KEADILAN, Rafizi Ramli akan mengunjungi pejabat Bakti Wira Development Sdn Bhd di Wisma Bousted, Kuala Lumpur, Isnin depan untuk mendapatkan dokumen pelaburan syarikat itu.

“Kita akan ke Bakti Wira jam 3 petang, Isnin depan. Sebab itu kita bawa pencarum. Kita harap syarikat berkenaan beri kerjasama.“Kita ada hak untuk bertanya. Macam mana mereka boleh guna duit rakyat? Itu hak kita,” katanya pada sidang media di ibu pejabat KEADILAN, hari ini.

Bakti Wira adalah syarikat pelaburan hartanah milik penuh Boustead Holdings Berhad yang dipunyai Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT).Modal dan aktiviti Boustead pula bergantung kepada modal kepada caruman dari potongan gaji anggota tentera yang disalur melalui LTAT.

Namun, dana Bakti Wira  dalam bentuk wang pencen tentera dikesan digunakan dalam urus niaga melibatkan bayaran RM30 juta untuk membeli 80 peratus saham terbitan Astacanggih milik Deepak dan RM130 juta untuk membeli 200 ekar tanah dari Awan Megah Sdn Bhd milik seorang pemimpin Umno.

Rafizi berkata, bekas anggota tentera memiliki hak meneliti dokumen itu kerana peranan syarikat hartanah itu hanya sebagai perantara bagi Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) membuat pelaburan a mengikut garis panduan dan amalan pelaburan baik.

“Ini lebih teruk daripada bail out,” katanya.Beliau juga akan menghantar surat rasmi surat kepada kerajaan Selangor Isnin depan bagi mendapatkan status terkini pindah milik 200 ekar tanah kepada Awan Megah Sdn Bhd.

“KEADILAN akan memohon kerajaan Selangor gunakan kuasanya untuk halang,” katanya sambil menyatakan kuasa pindah hak milik tanah terletak di tangan kerajaan negeri.“Sekurang-kurangnya RM30 juta boleh diselamatkan,” kata Rafizi.KD

Kalendar Hina Hudud Tersebar !!

 Muka depan kalendar yang menyentuh skop kesan hukum hudud ke atas bukan Islam jika dilaksanakan

SHAH ALAM - Dewan Pemuda Pas Selangor mengecam tindakan memperkecilkan undang-undang hudud dengan membawa mesej mengelirukan orang bukan Islam menerusi penerbitan kalendar 2013.

Sayap muda Pas itu mendakwa penerbitan kalendar dalam dwibahasa iaitu Mandarin dan Inggeris itu secara jelas membawa mesej mahu menakut-nakutkan orang bukan Islam terhadap hukum hudud.

“Dewan Pemuda Pas  Selangor merasakan tindakan biadap ini adalah suatu tindakan bacul dan pengecut pihak-pihak yang pastinya mempunyai akal fikiran yang tidak waras," kata Ketua Pemuda Pas Selangor, Hasbullah Mohd Ridzwan.

Katanya, tindakan itu juga satu penghinaan dan pengkhianatan terhadap Yang di-Pertuan Agong sebagai ketua agama Islam negara ini.

Justeru, kata beliau, pihaknya tidak menolak kemungkinan tindakan itu ditaja oleh parti tertentu negara ini, yang juga merupakan sekutu rapat kepada kerajaan pusat yang memerintah.

Menurut Habbullah, cukup jelas penerbitan itu juga merupakan tindakan terdesak puak tersebut untuk meraih simpati masyarakat bukan Islam yang telah menolak mereka di dalam pilihanraya umum lalu.

“Dewan Pemuda Pas Selangor dengan ini mendesak pihak polis dan jabatan agama dapat mengambil tindakan segera untuk melakukan siasatan serta mengambil tindakan tegas terhadap pihak-pihak yang cuba untuk mencetuskan ketegangan antara kaum dan agama dengan isu ini,” ujarnya.SH

PAS P.Pinang nafi terlibat demo berhampiran Komtar

KUALA LUMPUR: PAS Pulau Pinang menafikan sebarang penglibatan mereka dalam demonstrasi yang diadakan berhampiran Komtar hari ini.
 
Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Datuk Saleh Man, berkata pihaknya tidak ada kena-mengna dengan sebarang penganjuran demonstrasi tersebut.

Malah, beliau tidak tahu menahu mengenai demonstarsi tersebut yang diadakan di Masjid Simpang 6, selepas solat Jumaat tadi.

Saya tidak tahu-menahu tentang demo ini.  Tiada sebarang penganjuran daripada PAS Pulau Pinang untuk berbuat demikian," kata beliau ketika dihubungi Harakahdaily.

Difahamkan sekumpulan pemuda mengadakan demonstrasi di Masjid Simpang 6 bagi dipercayai membantah Ketua Menteri, Lim Guan Eng, berkaitan isu penggunaan kalimah Allah.

Selain membawa kain rentang mengecam DAP dan Guan Eng, kumpulan itu juga dilihat membawa bendera PAS.

Mengulas lanjut Saleh berkata PAS mempunyai saluran tertentu jika mempunyai perbezaan pendapat dengan mana-mana rakan di dalam Pakatan Rakyat.

"Kita ada saluran kita sendiri," katanya yang juga Adun Permatang Pasir.

Ditanya tentang kehadiran bekas Ketua Pemuda PAS Pulau Pinang, Mohamed Hafiz Nordin pada demonstrasi tersebut, Saleh enggan mengulas lanjut, bagaimanapun berkata ramai mengenali 'siapa' Hafiz.

Justeru, beliau berharap tidak ada pihak yang sengaja mencetuskan kekeliruan di kalangan rakan Pakatan Rakyat dengan mengatakan demonstrasi tersebut adalah anjuran PAS.Hrkh

Himpunan Raksasa Pemandu Teksi Bersama Anwar


 Sebahagian dari pemandu teksi yang hadir

PETALING JAYA 28 DISEMBER: Pemandu teksi memainkan peranan penting dalam membawa perubahan politik di negara ini berikutan merekalah antara kelompok yang paling dekat dengan rakyat, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Sebab itu saya ‘salute’ pemandu teksi. Mereka inilah yang menyampaikan derita rakyat,” katanya sambil ‘tabik’ kepada 400 pemandu teksi pada Himpunan Raksasa Pemandu Teksi bersama Pakatan Rakyat di Dewan Svik, Petaling Jaya, malam tadi.

“Saya tahu orang teksi benci kezaliman. Dari 1998 sampai sekarang, ketika TV3, Utusan tutup berita tentang kita (pembangkang), pemandu teksilah yang sebar cerita sebenar,” katanya yang menyifatkan isu berkaitan pemandu teksi bukan perkara kecil walaupun selalu dipandang enteng oleh pemimpin Umno BN..

“Sebab ini isu ‘human dignity’, soal maruah manusia. Untuk pemimpin BN, pemandu teksi seolah-olah tidak ada harga. Mereka (BN) bermati-matian pertahan kontrak berbilion.

“Pemandu teksi tak minta balak, IPP, kontrak. Hanya mahu permit. Permit pun mahu disapu pemimpin Umno-BN!” katanya disambut teriakan Reformasi.

Beliau juga mengulangi hasrat Pakatan untuk mengembalikan hak pemandu teksi dengan pemberian permit individu sebaik sahaja menawan Putrajaya.

Artis Ni Sebak Jumpa Tuan Guru Nik Aziz


KOTA BHARU: Artis Diana Amir atau nama sebenarnya Nur Diyana Amir Hashim, tidak dapat menahan sebak apabila bersua dan mula berbicara dengan Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Pertemuan 25 minit itu berlangsung di Pejabat Menteri Besar kira-kira jam 11.35 pagi semalam.

Diana terpaksa berdiam diri seketika mengumpul ketenangan agar sebak berlalu pergi sebaik sahaja dijemput duduk di hadapan Tuan Guru dan mendengar bicara.

Diana yang akhirnya tenang semula akhirnya sebak kembali apabila Tuan Guru bertanya  apa kisah di sebalik sehingga Diana berhasrat untuk berhijrah.

“Saya teringat pesanan Rasulullah s.a.w. sebelum baginda wafat, pesanan terakhir baginda ummati…ummati…di saat kematian baginda, masih lagi mengingati umatnya, betapa sayangnya baginda pada umatnya, tetapi kita…” ujarnya dengan nada yang tersekat-sekat.

Tuan Guru tidak menafikan perkara itu, malah baginda sebenarnya adalah rujukan yang sebenar untuk manusia di dunia ini.

“Baginda tidak berpesan pada saudara mara terdekatnya, tetapi pada umat baginda termasuk kita semua,” ujarnya.

Beliau juga berkata tidak kira artis atau sesiapa sahaja rujukan atau model sebenarnya yang patut dijadikan contoh adalah baginda Rasulullah.

Diana ketika ditemui selepas itu, mengakui tidak dapat menahan sebak sebaik sahaja melihat wajah Tuan Guru Nik Aziz.

“Hati saya lagi tersentuh sebaik sahaja mendengar suaranya seorang ulama yang lemah lembut,” ujarnya.

Khamis, 27 Disember 2012

Foto Terbaik : Tok Guru Menyantuni Mangsa Banjir




Tok Guru Nik Aziz menyantuni bayi dan kanak kanak ketika melawat mangsa banjir di Pusat Pemindahan Banjir Sekolah Kebangsaan Gual Tinggi Rantau Panjang Kelantan.Lagi gambar DISINI ~ Tinta Hijau DKB

Rebat RM200 hanya untuk telefon pintar harga RM500

KUALA LUMPUR 27 DIS:  Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menjelaskan bahawa rebat RM200 untuk telefon pintar  yang diumumkan dalam Bajet 2013 hanyalah untuk telefon pintar yang berharga maksimum RM500.

SKMM telah menerbitkan kriteria berikut dalam laman webnya:

-    Warganegara Malaysia berumur 21 tahun hingga 30 tahun.

-  Berpendapatan bulanan RM3000 ke bawah.

-    Model telefon pintar 3G yang diluluskan dengan harga maksimum RM500.

-    Pelanggan jalur-lebar mudah-alih sedia ada atau pakej baru.

-    Hanya satu telefon pintar untuk seorang belia.

Menurut notis yang disiarkan semalam, program rebat di bawah Inisiatif Jalur Lebar Kebangsaan (NBI) telah diperuntukkan sejumlah RM300 juta oleh kerajaan yang akan memberi manfaat kepada 1.5 juta belia, lapor Malaysiakini.

Permohonan untuk rebat adalah terbuka dari 1 Januari hingga 31 Disember 2013 dan para belia yang berminat boleh memohon melalui lamanweb SKMM.

Setem biru kelihatan di sudut kanan laman web yang bertulis Janji Ditepati, Mulai 1 Januari 2013, Bajet 2013.Bagaimanapun, Malaysiakini mendapati lamanweb tidak boleh diakses sejak pagi ini.

Pada 28 September, di bawah Bajet 2013, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan rebat RM200 bagi pembelian telefon pintar 3G untuk belia berumur 21 hingga 30 tahun, dengan pendapatan bulanan RM3,000 ke bawah atau tanpa pendapatan bulanan, daripada peniaga yang dibenarkan bawah Pakej Komunikasi Belia.KD

Rabu, 26 Disember 2012

K’jaan perlu jelaskan ‘latihan undi BN’ untuk Orang Asal Perak

IPOH 26 Dis: Pakatan Rakyat Perak memohon penjelasan kerajaan berhubung satu program yang disifatkan ‘latihan mengundi BN’ kepada masyarakat Orang Asal di Tapah yang membabitkan kerjasama Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA).

Mereka mendakwa program tersebut diadakan secara bersiri sejak bulan lalu di semua perkampungan Orang Asal di sepanjang Jalan Pahang Tapah.

Dalam program yang turut dihadiri pemimpin BN itu kata mereka, penduduk Orang Asal diberikan dua kertas undi (gambar), mirip kertas undi sebenar untuk pilhan raya umum.

Kemudian ujar mereka, masyarakat Orang Asal itu dipaksa memangkah BN dalam kertas undi itu di hadapan pegawai JAKOA dan seorang Adun BN yang turut serta dalam program itu.

“Satu kertas undi adalah undian untuk Parlimen Tapah dan satu lagi kertas undi DUN Chenderiang.“Penduduk dipaksa memangkah Barisan Nasional dalam kedua-dua kertas undi kemudiannya diberikan beras lima kilogram sebagai ganjaran,” kenyataan media mereka dipetik dari Harakah Daily.

Selepas Orang Asal selesai memangkah BN pada kedua dua kertas undi, mereka dikehendaki mengambalikan semula kertas-kertas tersebut, kata mereka lagi.

Sidang media mendedahkan perkara itu juga dibuat di Perak hari ini yang dihadiri Exco Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Pusat, Sandrea Ng; Timbalan Setiausaha MPN Perak Tan Kar Hing, Bendahari MPN Perak Dato Dr Yap Yit Thong dan YDP PAS Kawasan Tapah Mohd Rahim Nordin.

Turut sama pada sidang media itu termasuk Peguam Orang Asli, Bah Tony dan Ketua Biro Orang Asli MPN Perak, Bah Arsian.

Rasmi : Draf Perlembagaan Mesir Diterima

KAHERAH - Rakyat Mesir telah memberi 'lampu hijau' kepada draf perlembagaan menerusi referendum yang diadakan dalam dua peringkat baru-baru ini, dengan lebih 60 peratus menyokongnya.

Lebih 10 juta atau 63.8 peratus mengundi menyokong berbanding 36.2 peratus atau lebih enam juta membantah.

Keputusan rasmi diumumkan semalam (awal pagi tadi, waktu Malaysia) oleh Presiden Suruhanjaya Pilihan Raya Mesir, Hakim Samir Abou El Maaty.

Samir menolak dakwaan pembangkang bahawa ada individu yang menyamar sebagai hakim, yang dilantik, untuk memantau perjalanan proses referendum. Ia antara aduan dibuat oleh pembangkang kepada suruhanjaya itu,

Keputusan referendum sepatutnya diumumkan kelmarin tetapi ditangguhkan sehingga semalam ekoran aduan-aduan yang diterima.Referendum diadakan dalam dua peringkat ekoran kekurangan hakim.

Referendum pada 15 dan 22 Disember lalu diadakan di sebalik ketegangan, yang berakhir tumpahan darah dan demonstrasi termasuk di hadapan istana presiden, ekoran pembangkang dan kumpulan minoriti merasakan hak mereka telah diketepikan dalam perlembagaan baru.

Malah, ada yang beranggapan penggubalan perlembagaan baru bercanggah dengan aspirasi kebangkitan rakyat yang membawa kepada penggulingan kepimpinan tiga dekad Presiden Hosni Mubarak, awal tahun lalu.

Keputusan diumumkan menerusi stesen televisyen kerajaan, Nile News TV.Susulan keputusan rasmi yang diumumkan itu, pilihan raya Parlimen perlu diadakan dalam tempoh dua bulan.

Seramai 17,058,317 atau 32.9 peratus orang mengundi dalam referendum kali ini. Seramai 52 juta orang layak mengambil bahagian proses pengundian kali ini.

Selepas keputusan referendum diumumkan, puluhan penunjuk perasaan berhimpun di jambatan-jambatan utama di ibu negara Mesir dan membakar tayar.

Selasa, 25 Disember 2012

Bekas Pegawai Kanan Polis Tidak Menyesal Sertai Pas

SHAH ALAM - Bekas Pengarah Jabatan Siasatan Bukit Aman, Datuk Fauzi Shaari menafikan ada mengeluarkan kenyataan mengatakan beliau menyesal menyertai Pas.

“Kenapa saya perlu menyesal bersama Pas. Saya sudah buat pilihan yang tepat. Kenapa masih ada yang pertikai dan ragu-ragu dengan tindakan saya ini.

“Saya rasa tindakan saya menyertai Pas membuatkan ada beberapa pihak tidak senang hati. Sebab itu mereka sengaja mencipta isu ini,” katanya, semalam.

Sebelum ini, terdapat mesej melalui khidmat pesanan ringkas (SMS), yang mendakwa Fauzi menyatakan penyesalannya menyertai Pas.

Mesej itu berbunyi: “Kalau saya tahu begini keadaan Pas taubat saya tidak akan menyertainya. Masuk Pas umpama masuk parti DAP. Belum apa-apa saya disuruh bersumpah baiah cerai isteri talak tiga jika saya tinggalkan Pas.”

Fauzi, yang bakal dicalonkan bertanding Parlimen Larut berkata, kenyataan itu tidak benar.“Saya amat gembira dan bersyukur atas apa yang saya hadapi dan nikmati sejak bersama Pas,” katanya.SH

Isnin, 24 Disember 2012

Tok Guru Nik Aziz Jawab Tuduhan Muhyiddin

KOTA BHARU: Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyifatkan tuduhan terhadapnya sebagai mulut celupar seperti kenyataan daripada anak-anak muda di jalanan dan bukan tindakan seorang pemimpin negara.

 Menurutnya, kenyataan Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin amat tidak wajar memandangkan beliau orang kedua pemimpin parti dan negara.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz pada mulanya enggan mengulas, kerana tidak mahu melayan kenyataan seperti orang tidak cerdik itu.

Bagaimanapun, apabila ditanya lagi dia terus menjawab ringkas: “bukan taraf orang nombor dua untuk bercakap begitu”.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung perkara itu di pejabatnya petang semalam selepas mengadakan pertemuan dengan pimpinan Dewan Muslimat PAS Pusat berhubung Agenda Berkebajikan Wanita Malaysia.

Katanya, kalau anak-anak muda di jalanan munasabah untuk keluar kenyataan sedemikian.“Tapi kalau orang nombor dua parti atau nombor dua pemimpin negara memang bukan taraf dia,” ujarnya yang juga Menteri Besar Kelantan.

Kelmarin, pemimpin kedua parti Umno itu berkata Tuan Guru Nik Aziz sebagai mulut celupar apabila mengatakan orang Melayu yang menyokong Umno adalah mungkar.Hrkh

Tawaran 6+3: Pakatan sedia pakej kemakmuran buat rakyat Pahang

KUALA LUMPUR 24 Dis: Pengumuman tawaran Pakatan Rakyat (Pakatan) untuk mewujudkan negeri berkebajikan di Pahang amat dialu-alukan.

Tawaran enam perkara itu bakal mengubah taraf hidup rakyat secara keseluruhan, berbanding sewaktu pemerintahan BN yang mengabaikan aspek sosio-ekonomi rakyat.

Timbalan Pengerusi Biro Masyarakat Felda dan Orang Asal KEADILAN, Bob Manolan berkata, janji Pakatan bukan mustahil untuk dipenuhi berdasarkan hasil bumi Pahang yang banyak, seperti balak, bijih besi dan petroleum.

“Kerajaan BN sebenarnya boleh melaksanakan perkara itu jika ada iltizam meningkatkan taraf hidup rakyat. Tetapi mereka tidak mahu melakukannya.“Bagi kita, enam janji itu sesuatu yang mampu dilaksanakan apabila kita memerintah kelak.

“Selama ini BN gagal berikan kediaman yang selesa kepada rakyat. Permohonan tanah pula terlalu lama sehingga pemohon meninggal dunia dan waris sukar meneruskannya. Pakatan akan merombak dasar tidak menguntungkan ini,” katanya ketika dihubungi.

Beliau juga yakin melalui sistem tender terbuka, hasil negeri akan bertambah sepertimana di Pulau Pinang dan Selangor.

Warta rizab orang Asal

Pewartaan tanah Rizab Orang Asal pula, menurut Bob, akan memberi lebih pembelaan kepada kaum itu yang teraniaya di bawah pemerintahan BN.

Enam tawaran Pakatan seperti yang diumumkan dalam Himpunan Kebangkitan Rakyat Pahang pada 9 Disember lalu ialah menyediakan lot-lot rumah kepada rakyat yang tidak bertanah; menyelesaikan permohonan tanah tertunggak; mewartakan tanah rizab orang Asal; memudahkan urusan pertukaran status tanah dari pertanian kepada kediaman/komersial; menurunkan kadar cukai pintu dan melaksana sistem tender terbuka.

Tiga tawaran Pakatan peringkat pusat pula berkisar kepada pemberian tanah kepada generasi kedua dan ketiga Felda; 20 peratus royalti minyak kepada Pahang dan peruntukan khusus pembangunan prasarana kemudahan asas di kawasan pedalaman.KD

Video : Kembara Oren Diserang,Seorang Pengsan

 Storm milik Anak diserang dengan kayu sehingga cerminnya pecah
Ketua Penerangan Anak, Naraza Muda cedera di bahagian kepala dipercayai dipukul



Occupy Dataran : Hukuman Penjara Keatas Umar Ditangguh

KUALA LUMPUR, 24 Dis — Aktivis pelajar “Occupy Dataran” yang dihukum penjara satu bulan dan didenda RM1,000 dibenarkan untuk diikat jamin, serta akan merayu di Mahkamah Rayuan bagi kesalahan Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang pegawai kerajaan melakukan tugas.

Umar Mohd Azmi, hari ini dibenarkan untuk diikat jamin dengan seorang penjamin dengan nilai RM5,000 jaminan, dan diwajibkan hadir di mahkamah bila kes disebut dan perbicaraan bermula, kata peguam yang mewakilinya, Syahredzan Johan.

Menurut Syahredzan, Umar tidak boleh terlibat lagi dalam apa-apa kesalahan yang sama, jika beliau terlibat, pihak pendakwaraya boleh memohon untuk tarik balik jaminan serta merta.

“Sekarang Umar akan merayu di Mahkamah Rayuan bagi kesalahan Seksyen 186,” kata Syahredzan ketika dihubungi The Malaysian Insider.

Umar dihukum penjara selama satu bulan selepas mahkamah mendapati beliau bersalah pada April lalu, ketika menyertai demonstrasi “Occupy Dataran”, di Dataran Merdeka.

Majistret Zaki Asyraf Zubir menjatuhkan hukuman itu ke atas Umar yang juga merupakan pelajar tahun akhir sebuah kolej swasta dan hukuman penjara selama sebulan dan denda sebanyak RM1,000.

Dalam penghakimannya, Zaki Asyraf berkata, tertuduh tidak sepatutnya berada terlalu dekat dengan rakannya, Mohd Fahmi Reza untuk mengambil gambar sehingga menghalang penguatkuasa DBKL menjalankan tugas.TMI

Tahniah !! 64% Rakyat Mesir Terima Draf Perlembagaan Baru

 Antara rakyat Mesir yang mengundi dalam referendum semalam. - Foto ihsan CNN

KAHERAH - PAS merakamkan ucapan tahniah kepada seluruh rakyat Mesir kerana telah membuat keputusan dengan majoriti 64 peratus mengatakan 'ya' dan menyokong dalam pilihan raya 'referundum' perlembagaan.

Setiausaha Jabatan Pilihanraya PAS negeri Terengganu, Ustaz Mohd Soud Said( gambar kiri ) berkata  ia melambangkan majoriti rakyat Mesir mahukan kepada Islam dan kepimpinan Islam menerajui negara tersebut.

"Atas kejayaan (itu) kita (PAS) ucapkan tahniah kepada Dr Mohammad Morsi dan seluruh rakyat mesir samaada di dalam atau di luar Mesir diatas kemenangan dalam referendam perlembagaan baru Mesir,

"ini melambangkan majoriti rakyat Mesir mahukan kepada Islam menerajui Mesir,"ujarnya.

Beliau berkata demikian sebagai respons sebaik keputusan tidak rasmi diumumkan pihak Parti Keadilan dan Kebebasan selepas pusingan kedua referundum tersebut pada kira-kira jam 11 malam 22hb Disember, di sini.

[Gambar - Ustaz Soud menunjukkan salah satu buku perlembagaan palsu yang diedarkan di kalangan rakyat Mesir, dipercaya salah satu usaha menggagalkan  referendum terbabit]

Dengan itu, beliau berharap semua pihak dapat menerima keputusan tersebut dengan 'lapang dada' khususnya pihak pembangkang yang dilaporkan akan menolak keputusan referundum itu.

Menurutnya, keputusan tersebut amat penting bagi membangunkan negeri Mesir yang baru, yang lebih aman, stabil dan maju.

Himpunan Hijau sertai perkhemahan mahasiswa di Dataran Merdeka

KUALA LUMPUR 23 DIS: Himpunan Hijau peserta perkhemahan ‘Solidariti Untuk Omar’ di Dataran Merdeka mulai petang ini, kata Pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Safwan Anang.

“Kita sedang tunggu mereka. Perkhemahan dijangka bermula petang ini. Difahamkan sayap pemuda Himpunan Hijau yang akan sertai kita. Tujuannya untuk beritahu orang ramai mengenai perjuangan pendidikan percuma dan hukuman penjara sebulan terhadap Omar.

“Esok kita akan beramai-ramai ke Mahkamah Jalan Duta memberi sokongan kepada Omar yang memfail rayuan hukuman,” katanya kepada Keadilan Daily, hari ini.

Ketua Pemuda DAPSY, Teo Kok Seong yang berada di Dataran Merdeka pagi ini menyelar kerajaan yang menggunakan Akta Majlis Perbandaran Tempatan bagi menyekat demokrasi dan hak berhimpun secara aman.

“Isunya tentang pendidikan. Mereka ‘Occupy’ untuk bersuara memansuhkan PTPTN. Itu cuma permintaan. Kerajaan patut turun dengar. Anak muda ada idea berbeza tentang pendidikan,” katanya.
Kira-kira 30 mahasiswa dan orang ramai berkhemah di depan penjara Kajang sejak Jumaat lalu dengan malam tadi diadakan acara BBQ dan nyanyian lagu protes.

Mereka turut diawasi kira-kira sepuluh anggota Unit Keselamatan Penjara (UKP) Kajang yang membuat sekatan di depan pagar dan 12 anggota polis beruniform dan preman.

Terdahulu pada sebelah petang. UKP menghalang peserta perkhemahan menggunakan masjid untuk solat sehingga mengundang rasa simpati penduduk setempat.

Sebahagian mereka turut membawakan makanan, minuman dan ubat nyamuk. Selain itu, Adun Kajang, Lee Kim Sin menaja lima set khemah baru.KD

PAS Perak cabar Zambry

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Isu dan Strategik PAS Negeri Perak mencabar Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir membuktikan salah guna kuasa yang telah dilakukan oleh pimpinan Pakatan Rakyat (PR) negeri ketika memerintah Kerajaan selama sebelas bulan sebelum rampasan kuasa oleh Barisan Nasional (BN).

Zambry mendakwa terdapat bukti itu ketika memberikan ucapan penggulungan di dalam sidang Dewan Undangan Negeri (Dun) Perak baru-baru ini.

“Kami merasakan, sepanjang persidangan Dun Perak selepas rampasan kuasa sehingga sekarang, Datuk Seri Zambry sering memberikan ugutan akan membongkarkan salah guna kuasa terutamanya Datuk Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin.

“Oleh yang demikian, kami mencabar agar Datuk Seri Zambry mendedahkan salahguna kuasa yang telah dilakukan oleh Datuk Seri Nizar kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),” ujar koordinatornya, Dr Raja Ahmad Iskandar Al-Hiss (gambar).

Sebenarnya, kata beliau Zambry terlalu bimbang pendedahan yang telah dibuat terhadapnya berkaitan salahguna kuasa yang telah dilaporkan kepada SPRM kerana ianya telah mengejutkan ramai pimpinan Umno dan Barisan Nasional (BN) negeri termasuk pegawai-pegawai tinggi kerajaan.

Selama ini, ujarnya Zambry melemparkan pelbagai tuduhan salah guna kuasa kepada Nizar bagi memburukkan imejdan ianya kini terpalit kepadanya sendiri setelah dibuktikan.“Bagi kami, adakah tindakan yang dilakukan oleh Datuk Seri Zambry benar-benar 'bersih'.

“Adakah Datuk Seri Zambry tidak mengamalkan sikap kronisme? Adakah juga Datuk Seri Zambry memelihara semua aset rakyat dengan betul?” katanya dalam satu kenyataan.

Bagi PAS Pera, jelas beliau sebenarnya Zambry bimbang tentang projek Rumah Perak, Batu Feringghi, Pulau Pinang yang telah diberikan kepada pegawai khasnya.Hrkh

Panas !! Ketua Muslimat Pas Berbahas Dengan Ustaz Umno

 Untuk besarkan KLIK imej
Dipetik dari FB Siti Zailah Mohd Yusuf :
Malam ini Kak Lah berbahas dgn ustaz umno. Kebetulan kak lah singgah disurau kampung kawasanoang umno.

Ustaz umno mendakwa Datin Rosmah tak tutup aurat tak pa sebab ukuran iman tengok dari hati bukan fizikal. Ustaz umno menjawab soalan Kak Lah dlm majlis kuliah magrib di Repek kebetulan Kak Lah singgah solat disurau kg tersebut.Tanpa diduga bertembung.
Selepas ustaz umno kuliah Kak Lah tanya apa dalil umno mempertkaikan Pas kerjasama dgn DAP sedangkan sekian lama umno kerjasama dgn MCA dan MIC. 
Dia jawab MCA kafir zimmi.Bila Kak Lah soal balik tentang penentangan hudud Chua soi Lek.Dia tak boleh jawab.Ustaz Umno kata kita mesti bela Islam dan bela org Melayu.Kak Lah tanya dia Negeri Kelantan 95% org melayu Islam.
Kenapa umno sekat Royalti? Kenapa tak bela Melayu Islam diKelantan dlm isu royalti?.ustaz umno tak boleh jawab...buat malu saja! !!!!
Tahniah !! terbaik dari YB Siti Zailah Mohd Yusof ,Ahli Parlimen Rantau Panjang merangkap Ketua Dewan Muslimat Pas Pusat ~ Tinta Hijau DKB

Sabtu, 22 Disember 2012

Bekas Presiden Gerakan meninggal dunia

 Lim Keng Yaik

KUALA LUMPUR - Bekas Presiden Gerakan, Tun Dr Lim Keng Yaik, 73, meninggal dunia di kediamannya di Tropicana Petaling Jaya pada pukul 4.45 petang ini.

Perkara ini disahkan oleh Pengerusi Gerakan Pulau Pinang, Datuk Dr Teng Hock Nan kepada Bernama. - Bernama

Mahasiswa kembali berkhemah di Dataran mulai esok

KAJANG 22 Dis: Mahasiswa akan kembali berkhemah di Dataran Merdeka bermula esok sebagai solidariti kepada  rakan mereka, Umar Muhammad Azmi yang dipenjara sebulan.

Pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Muhamad Safwan Anang berkata, ia juga bertujuan memberi mesej tentang hak pendidikan percuma kepada orang awam.

“Esok (Ahad) kita akan berkumpul semula di Dataran sehingga Isnin untuk ke Mahkamah memfailkan rayuan Umar. Tak kira sama ada DBKL benarkan bina khemah atau tidak, kita tetap berkumpul,” jelasnya.

Bagaimanapun katanya, pada malam ini, mahasiswa  akan berkampung di hadapan penjara Kajang selepas membina khemah di situ sejak semalam.

Dalam pada itu, Safwan berkata, bapa dan ibu Umar yang melawat jam 10 pagi ini  memaklumkan anak mereka  diasingkan daripada banduan lain.

“Kita tak dimaklumkan sebabnya. Tapi yang penting kita tahu keadaan Omar selamat. Omar juga memberitahu bapanya, dia terharu dengan apa yang dilakukan kawan-kawan aktivis siswa di luar penjara.

“Bapa Omar turut membawa pesan dari dalam penjara. Kata Omar; ‘Dunia belum kiamat. Lawan sampai tamat’. Sebab itu kami tulis atas banner ini,” kata Safwan.

Beliau juga kesal hukuman penjara sebulan dikenakan ke atas Omar, namun samseng ‘Jalan Kebun’ yang menyerang khemah siswa dan ‘Occupy Dataran’ dibebaskan.

“Kita rasa pelik dengan kehakiman di negara ini.  Penjenayah macam kes rogol, atau gangster ‘Hang Kebun’ dibebas dengan bon berkelakuan baik. Sedangkan mereka mengaku bersalah,” katanya kecewa.

Perkhemahan siswa di depan penjara Kajang bermula semalam dengan kehadiran hampir 100 aktivis SMM dan Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM).

Turut hadir memberi sokongan  ialah Ahli Parlimen Hulu Langat, Dr Che Rosli dan Adun Kajang, Lee Kim Sin dan pelakon, Abby Abadi.

Umar Mohamad, lulusan Diploma Keselamatan Industri yang kini menjalani latihan praktikal di Johor Bahru, dipenjara sebulan dan denda RM1,000 kerana dikatakan menghalang tugas penjawat awam.KD

Kantoi !! Utusan Pembohong Besar

Untuk besarkan KLIK imej

Satu je aku nak sebut,setahu aku yang mengikuti perkembangan Pas sejak sekian lama aku tak pernah dengar adanya Pemuda Tahan Lasak Pas.

Tanyalah pemimpin Pemuda Pas sejak dulu sampai sekarang,memang takde !!Yang ada hanya Pemuda Tahan Lasak Umno di tahun 60 an - 70 an dulu.

Dalam bab ni Utusan memang membohong !!! Utusan pembohong besar !!! ~ Tinta Hijau DKB

Presiden Indonesia tolak alasan Najib

Dakwaan kontroversi bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Zainuddin Maidin bahawa bekas Presiden Indonesia, BJ Habibie pengkhianat kepada negaranya, terus hangat minggu ini apabila Presiden Susilo Bambang Yudhoyono membangkitkan perkara itu semasa pertemuannya dengan Datuk Seri Najib Abdul Razak.

Presiden Indonesia itu menyentuh perkara berkenaan semasa lawatannya ke Kuala Lumpur pada 18 dan 19 Disember, dengan memberitahu Najib bahawa beliau kesal kerana seorang pegawai Malaysia boleh dipetik berkata sedemikian terhadap bekas Presiden Indonesia dalam akhbar tempatan.

“Saya berharap, dan saya menyuarakan ini kepada Najib, bahawa kita boleh mencegah perkara-perkara seperti ini daripada terus berlaku,” kata Susilo dalam satu sidang akhbar di Lapangan Terbang Halim Perdanakusumah di Jakarta Timur, dipetik Malaysia Kini yang memetik The Jakarta Globe.

Perdana Menteri Malaysia dilaporkan memberitahu Susilo bahawa kenyataan Zainuddin adalah pendapatnya sendiri dan telah dibuat selepas bekas menteri itu bertemu dengan Habibie.Najib memberitahu presiden Indonesia itu bahawa ia adalah musim pilihan raya di Malaysia dan banyak isu telah menjadi sensitif.

Susilo memberitahu sidang akhbar tersebut bahawa beliau tidak nampak sebarang sebab untuk menghina bekas presiden Indonesia itu.“Bagi saya, sama ada akan ada pilihan raya atau tidak, semua orang saling harus melindungi satu sama lain dan tidak perlu memburukkan ketua negara atau bekas ketua negara lain,” katanya.

Zainuddin telah dipanggil Habibie pengkhianat kepada negara yang tunduk kepada tekanan Barat untuk mengeluarkan satu referendum yang membenarkan Timor Timur keluar daripada republik itu, demikian menurut petikan yang disiarkan dalam akhbar Utusan Malaysia.Zainuddin memanggil Habibie dan bekas Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai “anjing imperialisme”.KD

Jumaat, 21 Disember 2012

Cantik !!! Pembaca Berita Wanita Amerika Pertama Yang Bertudung


Cantik ! Dia merupakan pembaca berita wanita yang pertama memakai tudung di Amerika. Bertugas sebagai pembaca berita di ABC 7 News.
 
Gadis berusia 19 tahun ini menjadi terkenal setelah memecahkan monopoli pembaca berita wanita pertama di Amerika dengan memakai hijab ketika membaca berita.

Siapakah gerangan gadis cantiktersebut..?Noor Tagouri merupakan seorang gadis Muslim-Amerika yang berasal dari Maryland, Amerika.

Dia mengejutkan masyarakat antarabangsa selepas muncul di kaca televisyen sebagai pembaca berita dan talk show wanita pertama yang mengenakan tudung semasa membaca berita di Channel ABC 7 News, Amerika.

Remaja perempuan bertudung ini mendapat sokongan besar bukan sahaja daripada rakan-rakannya tetapi juga dari orang Islam yang lain kerana pemakaian hijab olehnya.

Selain itu gadis cantik turut ini mendapat beribu-ribu pandangan mengenai pemakaian hijab yang dilakukannya itu melalui laman rangkaian Sosia ~ Paapaada

Minyak: Awang Adek dianggap persenda titah sultan


KOTA BHARU: Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Dr Awang Adek Hussain diberi tempoh sehingga 27 Disember ini bagi menarik balik kenyataannya sebelum ini yang disifatkan cuba mempersendakan titah Sultan Kelantan.

Anak-anak muda yang bergabung di bawah Gabungan Profesional Menuntut Royalti, Hak Pendaratan Minyak dan Gas Ke Kelantan (R) mendesak Ketua Umno Bachok itu memohon maaf kerana kenyataannya tidak selari dengan hasrat sultan dan rakyat Kelantan.

Baru-baru ini Awang Adek yang juga Timbalan Menteri Kewangan dilaporkan berkata, kerajaan pusat tidak pernah berjanji mendaratkan minyak di telaga di perairan antara sempadan Malaysia dan Thailand di Bachok.
Menurutnya perjanjian mendaratkan minyak yang diperolehi di telaga perairan antara sempadan kedua-dua buah negara hanya dibuat kerajaan pusat dan Thailand pada tahun 1990-an dan dipersetujui didaratkan di Songkla.

Sedangkan kata Presiden R, Nazri Deraman, titah Sultan Kelantan pada Mac lalu mengharapkan gas asli yang terdapat di Telaga Bumi Selatan dan Telaga Surya Selatan (blok PM301) didaratkan di negeri ini.

Menurut baginda gas itu dapat didaratkan kerana Kelantan telah menyediakan zon industri petroleum di Bachok seluas 4,000 ekar sejak tahun awal 1990-an.

“Ini sangat-sangat berbeza dan tersasar jauh dengan kenyataan yang dikeluarkan Datuk Dr Awang Adek Hussain yang menyifatkan kerajaan pusat tidak pernah berjanji mahu mendaratkan gas di Bachok.

“Tuanku berharap gas yang terdapat di perairan Kelantan didaratkan di Bachok. Kenyataan pemimpin terbabit jelas seperti tidak mengendahkan apa yang dititah baginda,” katanya pada demontrasi aman di perkarangan Masjid Telipot selepas solat Jumaat petang ini.

Aktivis R yang diketuai Nazri berhimpun biar pun dalam keadaan hujan bagi menuntut Awang Adek meminta maaf kerana kenyataannya jelas bertentangan dengan ikehendak rakyat Kelantan.

Panas !!! Samseng Umno Sertai Pas


 Dari FB Mazlan Aliman :

5 hari demam, terubat dan berasa lega hari ini apabila saya menerima borang PAS dari 78 orang yang sebahagian besarnya bekas pemimpin dan ahli Umno dari Felda Bkt Permai.

Ketua penaja PAS Cawangan, En Kamal Hamzah mewakili yang lain2 menyerahkan borang kepada saya sambil disaksikan Yang DiPertua PAS Kawasan Kulaijaya, Sdr Hisham Mohd Zin dan Ketua Dewan Pemuda, Sdr Ahmad Tabrani. Ia disusuli takbir yang bergema beberapa kali mengiringi peristiwa bersejarah tersebut.

Hampir 90% peratus yang menyertainya adalah orang muda berusia antara 25-50 tahun. Ada dikalangan mereka dulunya adalah samseng Umno 'berdengung' yang menghalang PAS daripada apa jua aktiviti. Kini, kata mereka, kami dah tobat. Kami mahu mati dalam Perjuangan Islam!

Majlis diselangi dengan sumbangan peralatan sekolah kepada hampir 100 pelajar dari Felda Bkt Permai dan Kg Murni Jaya.

Kalau ramai tokoh2 hebat dah masuk PAS, orang biasa nak tunggu apa lagi?ALLAHUAKBAR 3x

Jom Lihat !!! Foto Menarik Berkaitan Umno

 Jom kita tengok bagaimana puak puak Umno mengikat bata :

 Pemimpin kecil
Pemimpin besar

Dalam hal ni ada persamaan antara mereka.Lucu dan melucukan,bapa borek anak rintik ~ Tinta Hijau DKB

Presiden PAS diserang kerana nama dicadang sebagai PM

KUALA LUMPUR: Serangan terhadap Presiden PAS berhubung 'Amanat Haji Hadi' dipercayai dibuat semata-mata kerana ada ura-ura nama Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang disenaraikan sebagai calon Perdana Menteri (PM).

Ketua Penerangan PAS Pusat Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, memang menjadi tradisi bahawa sesiapa sahaja selain Umno yang disebut-sebut menjadi calon perdana menteri akan diserang habis-habisan.

“Sudah tentu, rakyat masih ingat bagaimana Datuk Seri Anwar Ibrahim diserang kerana namanya disenarai sebagai PM.

"Kini Tuan Guru Haji Hadi pula diserang, sedangkan namanya hanya disebut oleh perwakilan di dalam Muktamar PAS bagi menolak tohmahan Umno bahawa kalau Pakatan Rakyat menang, DAP akan jadi PM,” katanya dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Tuan Ibrahim yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang berkata, doktrin Umno di kalangan pengundi Melayu di kampung-kampung bahawa DAP akan menjadi Perdana Menteri gagal apabila timbul isu Presiden PAS disebut sebagai calon PM.

“Hasilnya, kini muncung senapang Umno mula dihalakan kepada Presiden PAS pula.

"Kita yakin selepas ini pelbagai tohmahan, tuduhan, fitnah akan dibuat ke atas beliau, kerana di Malaysia sesiapa yang dicadangkan sebagai PM, akan menjadi sasaran serangan media BN,” kata beliau lagi.

Tuan Ibrahim juga mengimbau kembali sejarah pertubuhan al-Arqam yang diserang habis-habisan setelah mengeluarkan sebuah buku yang menggambarkan Ashaari Mohammad sebagai bakal Perdana Menteri Malaysia.

“Sedangkan asal bantahan hanya kepada amalan Aurad Muhammadiah sahaja. Begitulah nasib sesiapa yang disenarai sebagai Perdana Menteri.

"Walaupun kita mengakui ada beberapa amalan dan keyakinan bertentangan dengan syarak, tetapi antara sebab hebatnya serangan adalah kerana disebut untuk menjadi PM,” kata beliau.

Justeru katanya, rakyat mempunyai satu peluang yang cerah untuk menghentikan mitos bahawa jawatan perdana menteri ini hak eksklusif Umno sahaja dengan menyokong Pakatan Rakyat sebagai kerajaan persekutuan yang baru.Hrkh